Syarikat AS J&J dan Cepheid mesti menjanjikan akses kepada ubat dan ujian TB yang menyelamatkan nyawa buat semua yang memerlukan
© ARIS MESSINIS/Matternet
12 September 2023, Geneva/New York – Minggu depan, pemimpin dunia bertemu untuk Mesyuarat Peringkat Tinggi tuberkulosis (TB) global di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, untuk menyokong komitmen bercita-cita tinggi bagi mempertingkatkan ujian, rawatan dan pencegahan TB berdasarkan alat perubatan yang inovatif yang telah tersedia sejak sedekad lalu namun masih tidak sampai kepada ratusan ribu orang yang memerlukannya – sebahagian besarnya disebabkan oleh monopoli syarikat.
Médecins Sans Frontières/Doctors Without Borders (MSF) dengan tegas menyeru syarikat AS Johnson & Johnson (J&J) dan Cepheid untuk mengumumkan secara terbuka ketika Mesyuarat Peringkat Tinggi pada 22 September bahawa mereka akan mengambil tindakan untuk meningkatkan akses kepada ujian bedaquiline dan ujian GeneXpert ubat TB yang menyelamatkan nyawa, supaya ia dapat dipastikan tersedia untuk semua orang yang memerlukannya, di mana-mana sahaja. Doctors Without Borders menyeru J&J untuk tidak menguatkuasakan sebarang paten 'sekunder' untuk bedaquiline di mana-mana negara dengan beban TB yang tinggi, dan untuk menarik balik serta mengabaikan semua permohonan paten sekunder yang belum selesai untuk ubat kritikal ini di mana-mana sahaja. Doctors Without Borders juga menyeru Cepheid, dan syarikat induknya Danaher, untuk menurunkan harga ujian TB GeneXpert dari AS$15 dan A$10, kepada A$5.*
Doctors Without Borders mengalu-alukan penurunan harga untuk bedaquiline baru-baru ini kepada $130 bagi setiap kursus rawatan 6 bulan yang diumumkan oleh Stop TB Partnership/Kemudahan Ubat Global (GDF), yang mana ia terhasil daripada pesaing generik yang memasuki pasaran, yang mana ia akhirnya memastikan harga lebih hampir kepada sasaran $0.50 sehari seperti dianggarkan pada 2017. Namun, akses kepada ubat generik paling murah akan disekat pada masa hadapan untuk negara dengan beban TB tinggi di Eropah Timur dan Asia Tengah yang masih dikecualikan daripada perjanjian disebabkan halangan paten.
Selepas melalui jurang setengah abad, kami akhirnya mempunyai ubat TB oral yang berkesan seperti bedaquiline dan ujian diagnostik penting termasuk GeneXpert, namun mereka di negara dengan beban TB tinggi terus mati atau mengalami penderitaan yang tidak perlu disebabkan monopoli korporat yang menghalang mereka daripada mengakses alatan yang menyelamatkan nyawa ini. Kami menyeru Johnson & Johnson, Cepheid dan syarikat induknya Danaher seboleh mungkin untuk melakukan perkara yang betul sekarang dan berjanji menjadikan bedaquiline serta ujian GeneXpert tersedia secara universal dan mampu untuk membantu negara menangani penyakit yang sekian lama membunuh ini serta menyelamatkan banyak lagi nyawa di seluruh dunia.Dr Christos Christou, Presiden Antbangsa
Ubat TB bedaquiline, yang dibangunkan J&J, adalah tulang belakang kepada rejimen rawatan TB rintang ubat (DR-TB) yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dan membolehkan rawatan lebih baik, lebih singkat, bertoleransi lebih baik dan lebih berkesan untuk penghidap DR-TB. Namun, akses kepada versi generik yang lebih berpatutan bagi ubat ini akan terus disekat oleh 'paten sekunder' tambahan yang diperoleh J&J di beberapa negara dengan beban TB, TB-HIV atau DR-TB yang tinggi. Strategi paten agresif ini digunakan J&J untuk melanjutkan monopolinya ke atas ubatan ini melangkaui paten utama 20 tahun dan ia amat keterlaluan mengambil kira pelaburan awam dalam pembangunan bedaquiline itu mencecah lima kali ganda berbanding pelaburan perbadanan itu sendiri.
Susulan kejayaan usaha dua wanita untuk menyekat percubaan J&J mendapatkan paten tambahan yang lebih panjang pada bedaquiline di India, Doctors Without Borders menggesa J&J untuk menarik balik semua paten sekunder yang mungkin ada di mana-mana sahaja, supaya semua negara boleh mengimport versi generik yang lebih mampu milik yang dibuat di India. Nandita Venkatesan dan Phumeza Tisile kedua-duanya terselamat daripada DR-TB tetapi tidak dapat mengakses bedaquiline dan terpaksa mengambil ubat lama yang menyebabkan mereka pekak. J&J baru-baru ini mengumumkan perjanjian dengan Stop TB Partnership/Global Drug Facility (GDF) yang membenarkan akses kepada generik di banyak negara dan menawarkan penurunan harga $130 bagi setiap kursus rawatan 6 bulan. Namun, perjanjian itu mengecualikan negara utama dengan beban tinggi TB.
"Tiada sesiapa pun yang perlu menanggung apa yang kami lalui dengan ubat-ubatan yang lebih lama, apabila pilihan yang lebih berkesan kini tersedia yang boleh menyelamatkan lebih banyak nyawa dan menjadikan rawatan lebih boleh diterima oleh orang ramai," kata Phumeza Tisile, seorang aktivis TB dari Khayelitsha, Afrika Selatan. "Apa gunanya mempunyai kemajuan perubatan jika mereka tidak sampai kepada orang yang paling memerlukannya? Kita perlu melihat J&J dan Cepheid melakukan perkara yang betul sekarang.”
Teknologi ujian diagnostik GeneXpert yang dihasilkan syarikat AS Cepheid (dimiliki oleh syarikat induk Danaher) telah merevolusikan ujian TB sejak memasuki pasaran pada 2010. Namun disebabkan harga tinggi yang terus dikenakan Cepheid untuk ujian GeneXpert, mempertingkatkan ujian TB kepada semua yang memerlukannya kekal mencabar dan banyak penyedia penjagaan TB masih dipaksa bergantung kepada ujian lebih murah tetapi kurang sensitif menggunakan mikroskop, kaedah yang dibangunkan pada 1800-an. Analisis Doctors Without Borders menganggarkan kos Cepheid kurang daripada $5 untuk mengeluarkan satu ujian TB GeneXpert, manakala Cepheid mengenakan bayaran kepada Doctors Without Borders serta negara berpendapatan rendah dan sederhana yang memiliki beban TB tinggi dua atau tiga kali ganda bagi setiap ujian TB, malah sehingga empat kali ganda untuk ujian penyakit lain*. Berdasarkan bukti ini Doctors Without Borders menyeru Cepheid untuk menurunkan harga kartrij GeneXpert kepada $5 setiap satu untuk semua penyakit.
Walaupun kemajuan dalam menangani TB dicapai, realiti teruk adalah TB kekal penyakit berjangkit paling membawa maut, dengan kira-kira 10.6 juta kes baharu dan 1.6 juta kematian pada 2021. Hanya kira-kira satu pertiga daripada mereka yang menghidap DR-TB dapat mengakses rawatan, dengan majoriti masih tidak didiagnosis dan oleh itu tidak dirawat.
“Dalam usaha gigih kami untuk menyediakan rawatan bagi TB rintang dadah yang paling sukar, kami tetap kecewa dengan kehilangan nyawa yang ketara terutamanya dalam kalangan mereka yang paling terdedah, termasuk yang hidup dengan HIV, mereka yang terjejas akibat konflik, dan kanak-kanak di negara dengan beban TB tinggi,” kata Dr Cathy Hewison, Ketua Kumpulan Kerja TB untuk Doctors Without Borders.
“Walaupun peningkatan segera bagi rawatan dan ujian yang dipertingkatkan adalah keperluan masa kini, harga tinggi masih dikenakan sesetengah syarikat bukan sahaja mengehadkan akses untuk mereka yang memerlukannya dengan segera, tetapi juga bermakna kurang wang tersedia dalam belanjawan kesihatan untuk menampung keperluan penjagaan penting TB yang lain. Cepheid dan Danaher mesti berhenti mengutamakan keuntungan mereka berbanding orang ramai, dan J&J mesti berundur daripada strategi paten agresifnya yang berterusan, supaya lebih banyak nyawa dapat diselamatkan hasil revolusi alat perubatan TB ini.”
Doctors Without Borders ialah penyedia rawatan TB bukan kerajaan terbesar di seluruh dunia dan terbabit dalam penjagaan TB selama 30 tahun, sering bekerja bersama pihak berkuasa kesihatan negara untuk merawat orang ramai dalam pelbagai persekitaran, termasuk zon konflik, kawasan setinggan bandar, penjara, kem pelarian dan kawasan luar bandar. Pada 2022, Doctors Without Borders merawat lebih 17,000 penghidap TB, termasuk 2,300 penghidap DR-TB, dalam lebih 60 projek TB di 41 negara.
*Cepheid mengenakan caj kira-kira $10 untuk TB dan $15 untuk ujian XDR-TB (TB rintang dadah secara meluas); $15 untuk ujian HIV, hepatitis dan COVID; $16-19 untuk ujian penyakit bawaan kelamin; dan kira-kira $20 untuk ujian Ebola.