Doctors Without Borders desak tindakan segera: Kerajaan dan penderma-penderma gagal menyelamatkan kanak-kanak dengan TB
Seorang nenek bersama cucunya di salah satu lokasi pengesanan aktif tuberkulosis oleh Doctors Without Borders di Tondo, Manila. Filipina, Mac 2023. © Ezra Acayan
Geneva, 15 Oktober 2024 - Satu laporan baharu yang dikeluarkan hari ini oleh Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF), menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menghidap tuberkulosis (TB) terus terpinggir dalam usaha global untuk menamatkan penyakit ini. Laporan tersebut, TACTIC: Test, Avoid, Cure TB in Children, meninjau garis panduan polisi TB di 14 buah negara* yang mempunyai bebanan tinggi TB, mendedahkan bahawa banyak negara ketinggalan dalam menyelaraskan polisi TB kebangsaan mereka dengan garis panduan terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Doctors Without Borders menyeru semua negara supaya mengemaskini garis panduan kebangsaan mereka agar selari dengan saranan WHO bagi penjagaan kanak-kanak dengan TB, serta memperuntukkan sumber yang mencukupi—di samping membangunkan pelan yang jelas dengan garis masa untuk melaksanakan polisi dan meningkatkan akses kepada pencegahan, diagnosis, dan rawatan TB bagi kanak-kanak. Doctors Without Borders turut menggesa para penderma antarabangsa dan agensi sokongan teknikal untuk menyediakan pembiayaan yang mencukupi kepada negara-negara untuk menyokong reformasi dan pelaksanaan polisi TB pediatrik.
“TB boleh dirawat, termasuk di kalangan kanak-kanak. WHO telah mengemaskini polisi untuk membimbing negara-negara dalam menyediakan rawatan terbaik bagi kanak-kanak yang menghidap TB, salah satu penyakit berjangkit yang amat berbahaya serta membawa maut di dunia,” kata Stijn Deborggraeve, Penasihat Diagnostik di Doctors Without Borders' Access Campaign.
Namun, banyak negara masih ketinggalan dalam mengguna pakai dan melaksanakan penyelesaian untuk menguji, mencegah, dan merawat TB dalam kalangan kanak-kanak. Kami menyeru negara-negara, penderma, dan agensi teknikal untuk menamatkan status quo yang mematikan ini dan mempertingkatkan usaha mereka bagi memastikan diagnosis dan rawatan TB yang tepat pada masanya bagi kanak-kanak. Kita tidak mampu lagi untuk berdiam diri—setiap kelewatan bermakna lebih ramai kanak-kanak mati tanpa sebab yang perlu.Stijn Deborggraeve, Penasihat Diagnostik
Daripada 14 indikator polisi yang diukur dalam laporan Doctors Without Borders, hanya satu negara yang polisi-polisi sepenuhnya selari dengan panduan WHO, sementara tujuh negara mencapai lebih daripada 80% keselarasan, dan empat negara masih di bawah 50% keselarasan. Jurang terbesar ditemui dalam polisi berkaitan diagnosis TB dalam kalangan kanak-kanak. Sebagai contoh, hanya 5 daripada 14 negara telah mengadaptasikan garis panduan mereka untuk memulakan rawatan TB pada kanak-kanak apabila gejala-gejala menunjukkan penyakit TB, walaupun ujian bakteriologi negatif. Tambahan pula, hanya 4 daripada 5 negara ini mempunyai sumber yang diperlukan untuk melaksanakan garis panduan ini dengan berkesan.
Berdasarkan bukti saintifik terkini, WHO menyemak semula garis panduan mereka pada tahun 2022 untuk pengurusan TB dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, dengan beberapa cadangan utama, termasuk penggunaan algoritma keputusan rawatan yang membolehkan ramai kanak-kanak didiagnosis berdasarkan gejala semata-mata tanpa pengesahan makmal, serta menawarkan rejimen rawatan lisan pendek untuk merawat dan mencegah penyakit TB dalam kalangan kanak-kanak. Jika diterima pakai dan dilaksanakan, cadangan WHO ini akan memperbaiki diagnosis dan kualiti penjagaan bagi kanak-kanak dengan TB secara drastik.
“Sejak kami mula melaksanakan cadangan WHO untuk kanak-kanak di daerah Bombali, kami telah berjaya mengesan dan merawat lebih ramai kanak-kanak dengan TB,” kata Joseph Sesey, Pegawai Klinikal di Doctors Without Borders, Makeni, Sierra Leone.
“Cadangan baharu ini telah membantu kami mengelakkan salah diagnosis kanak-kanak: doktor yang ragu-ragu untuk memulakan rawatan TB pada kanak-kanak tanpa hasil ujian TB positif kini berasa lebih yakin mendiagnosis TB berdasarkan gejala klinikal semata-mata dengan menggunakan cadangan WHO. Saya telah melihat pengurangan yang ketara dalam kematian kanak-kanak akibat TB di banyak pusat kesihatan.”
Namun, kerja tidak berhenti dengan reformasi polisi. Sebagai contoh, rejimen lisan yang baharu, lebih pendek, kini disarankan oleh WHO untuk rawatan TB mudah (DS-TB) dan TB rintang ubat (DR-TB) dalam kalangan kanak-kanak, tetapi pelaksanaannya di negara-negara masih perlahan. Selain itu, walaupun ubat TB yang mesra kanak-kanak sudah tersedia untuk DS- dan DR-TB, ubat-ubat ini tidak selalu dibeli oleh negara-negara.
“Adalah malang bahawa formulasi ubat TB mesra kanak-kanak masih tidak tersedia di banyak negara disebabkan oleh halangan birokrasi dan kekurangan pembiayaan,” kata Dr Cathy Hewison, Ketua Kumpulan Kerja TB di Doctors Without Borders.
Akibatnya, kanak-kanak dengan TB terpaksa menelan ubat yang dihancurkan dan pahit tanpa dos berdasarkan berat badan yang tepat, meletakkan mereka pada risiko besar kesan sampingan dan kegagalan rawatan. Pengabaian ini mesti dihentikan sekarang. Kami menyeru kerajaan, penderma, dan organisasi kesihatan global untuk bertindak dengan segera, memastikan tiada kanak-kanak mati atau menderita akibat penyakit yang boleh dicegah dan dirawat seperti TB. Alat dan rawatan yang kita ada mesti sampai kepada kanak-kanak yang paling memerlukannya—sekarangDr Cathy Hewison,Ketua Kumpulan Kerja TB
*Afghanistan, Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo, Guinea, India, Mozambique, Niger, Nigeria, Pakistan, Filipina, Sierra Leone, Somalia, Republik Sudan Selatan, Uganda.