Skip to main content

Merawat malnutrisi di Afghanistan

A patient is placed on a weighing scale to check his weight at Paediatric Care in Herat Regional Hospital.

Seorang pesakit diletakkan di atas penimbang untuk memeriksa berat badannya di Pusat Penjagaan Pediatrik di Hospital Wilayah Herat. Afghanistan, Januari 2024. © Mahab Azizi

Bayi itu baring dengan matanya tertutup, selimut lembutnya berwarna merah, merah jambu dan hijau. Pada hidungnya plaster ditampal untuk memegang tiub yang dimasukkan ke dalam lubang hidung yang kecil, menyalurkan larutan susu yang akan membantunya mendapatkan semula kekuatannya. Ibunya memerhati dengan teliti dari kerusi berhampiran, tidak jauh dari situ beberapa wanita lain di dalam bilik berbual dan ketawa, anak-anak mereka terbaring di atas katil di samping mereka. Pusat pemakanan terapeutik pesakit dalam (ITFC) di Herat sibuk, biliknya kecil untuk bilangan katil yang menampung kanak-kanak kekurangan zat makanan dan penjaga mereka.

Lebih jauh ke selatan, di Helmand, senario sama dilihat di Hospital Boost. Semasa kemasukan, seorang jururawat memakaikan pita lilitan berwarna di bahagian atas lengan (MUAC) pada lengan kecil Nazifa dan menarik plastik itu dengan ketat. Ia terhenti pada warna merah, menunjukkan tanda malnutrisi. Dia kemudiannya akan diukur dan ditimbang sebelum dimasukkan ke wad dan akan tinggal selama beberapa minggu untuk menstabilkan berat badannya serta merawat cirit-biritnya.

A father brought his malnourished grandson to the MSF Ambulatory Therapeutic Feeding Centre (ATFC)in Kandahar.

Seorang bapa membawa cucunya yang kekurangan zat makanan ke Pusat Pemakanan Terapeutik Ambulatori (ATFC) Doctors Without Borders di Kandahar. Afghanistan, November 2022. © Tasal Khogyani/MSF

Ibu bapa menceritakan cabaran untuk menyediakan makanan buat keluarga mereka disebabkan kekurangan wang dan bukannya kekurangan makanan, selain kesan daripada makanan atau nutrisi yang tidak mencukupi untuk ibu-ibu yang menyusu dan kesannya ke atas bayi. Sesetengah ibu tidak dapat menghasilkan susu mencukupi, "Ketika dilahirkan, dia sihat tetapi saya tidak mempunyai susu ibu jadi kami mulakan susu formula bayi untuk memberinya makan tetapi ia menyebabkannya jatuh sakit". Golongan ibu sebaliknya boleh mendaftarkan diri mereka untuk penjagaan kekurangan zat makanan pesakit luar, contohnya di Kandahar dan Herat.

"Kami datang ke sini dari Kamari di Wilayah Badghis, perjalanan selama empat jam", jelas Fatima* yang membawa anaknya ke Herat untuk rawatan kekurangan zat makanan dan cacar air. Mereka sebelum ini pernah mendapatkan bantuan di klinik lebih dekat dengan rumah tetapi tidak dapat mencari bantuan yang mereka perlukan. Hospital dan klinik Doctors Without Borders, serta hospital Kementerian Kesihatan Awam (MoPH) yang disokong Doctors Without Borders, menerima pesakit yang terpaksa mengharungi perjalanan jauh kerana mereka bergelut untuk mengakses penjagaan kesihatan berkualiti berhampiran rumah.

Situasi ekonomi Afghanistan yang teruk bermakna kebanyakan orang yang sebelum ini mungkin mampu mendapatkan rawatan di klinik swasta kini bergantung kepada pusat kesihatan yang disokong oleh organisasi antarabangsa. Roya - seorang ibu yang anaknya berada di hospital sejak dua minggu lalu - berkata di kampungnya hampir semua kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan disebabkan keadaan ekonomi, "mereka tidak mempunyai wang, walaupun 50 atau 100 Afghani. (70 sen atau AS$1.40) untuk membayar teksi untuk membawa anak-anak mereka ke sini untuk mendapatkan rawatan”.

Women sitting in the waiting area outside MSF’s Ambulatory Therapeutic Feeding Centre (ATFC) in Kandahar.

Golongan wanita duduk di ruang menunggu di luar Pusat Pemakanan Terapeutik Ambulatori (ATFC) Doctors Without Borders di Kandahar. Afghanistan, November 2022. © Tasal Khogyani/MSF

Duduk di luar di atas bangku di Kandahar, dengan pancaran matahari terpantul pada kerikil kelabu, golongan ibu menunggu penuh sabar bersama anak-anak mereka di pangkuan dan dokumen perubatan digenggam erat dalam tangan. Agak jauh di kawasan berasingan golongan bapa, abang dan pakcik turut duduk. Dari sini pesakit kecil itu bersama ibu dan bapa atau penjaga mereka akan dipanggil ke pejabat kontena untuk penilaian. Jika mereka kekurangan zat makanan yang teruk tanpa komplikasi perubatan, mereka akan didaftarkan dalam penjagaan pesakit luar untuk kekurangan zat makanan dan dibekalkan makanan terapeutik yang sedia untuk digunakan, yang mereka akan bawa pulang sebelum kembali pada minggu berikutnya untuk pemeriksaan. Keadaan ini berterusan untuk tempoh enam hingga lapan minggu, sehingga mereka dianggap sembuh.

Sepanjang 2023, kemudahan dikendalikan Doctors Without Borders atau yang disokong Doctors Without Borders di Herat, Lashkar Gah dan Kandahar menerima lebih 10,400 kanak-kanak berusia sehingga lima tahun, manakala antara Januari dan April 2024 menerima 2,416 pesakit, sudah pun 5 peratus meningkat berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Pasukan di Herat dan Kandahar mendaftarkan lebih 6,900 kanak-kanak di pusat pemakanan terapeutik ambulatori (ATFC) pada 2023.

Paediatric Care in Herat.

Penjagaan Pediatrik di Hospital Wilayah Herat. Afghanistan, Januari 2024. © Mahab Azizi

Di Herat, ramai pesakit yang kami jumpa berusia di bawah satu tahun dan ini menjurus kepada isu penyusuan susu ibu dan makanan pelengkap (memperkenalkan makanan berkhasiat sebagai tambahan kepada susu ibu). Sesuatu yang sedang kami usahakan untuk ditangani melalui aktiviti promosi kesihatan kami bersama ibu dan keluarga mereka. Kanak-kanak di bawah usia enam bulan juga selalunya terlalu muda untuk didaftarkan dalam kebanyakan program pemakanan, jadi lebih sukar bagi keluarga untuk mendapatkan penjagaan yang mereka perlukan apabila kekurangan zat makanan dan tanpa peluasan kriteria kemasukan keadaan ini akan terus kekal.
Aline Plener, MPenyelaras Perubatan

Selalunya wad pesakit dalam untuk kekurangan zat makanan sangat sesak sehingga dua bayi dan ibu mereka terpaksa berkongsi katil yang sama, jauh daripada situasi yang ideal untuk mereka atau dari sudut perubatan. Ada yang dirawat oleh Doctors Without Borders, pulang ke rumah, dan kemudian kembali semula beberapa minggu kemudian - punca kekurangan zat makanan mereka tidak ditangani. Bagi mereka yang mempunyai penyakit kongenital, ia disebabkan penjagaan hospital khusus yang diperlukan sukar didapati, selalunya jauh dari rumah, dan mahal. Sesetengah ibu seperti Roya, bagaimanapun, ditawarkan bantuan sementara: "Kesihatan anak saya berubah sepenuhnya menjadi lebih baik dan dia semakin pulih. Kami berada di tahap di mana kami boleh pulang."