Skip to main content

Afghanistan: Jurang kritikal dalam penjagaan pediatrik dan neonatal di wilayah utara

Dr Suraya takes 18-day-old baby's vitals, who was born prematurely at seven months. Afghanistan, October 2023. © Oriane Zerah

Dr Suraya memeriksa vital bayi berusia 18 hari, yang dilahirkan pramatang pada usia tujuh bulan. Afghanistan, Oktober 2023. © Oriane Zerah

"Saya benar-benar tidak tahu kesakitan yang dialaminya, namun saya ada di sini bersamanya mengharapkan dia cepat sembuh," kata Farida, ibu kepada Hadia yang berusia sembilan bulan.

Sudah dua hari Hadia enggan makan apa-apa, meskipun buah kegemarannya, pisang. Ibunya membawanya ke beberapa kemudahan kesihatan dan menemui beberapa doktor, namun kelihatan keadaannya tidak bertambah baik. Terdesak untuk melihat bayinya sembuh, Farida membawa Hadia ke mana sahaja yang disyorkan sesiapa pun. “Apa sahaja yang orang cakap, saya cuba. Saya membawanya menemui ramai doktor dan membayar banyak untuk preskripsinya, namun dia tidak sembuh, malah dia mengalami cirit-birit yang mana ia menjadi lebih teruk," kata Farida.

Hari ini, dia berada di bilik kecemasan pediatrik Hospital Rujukan Mazar-i-Sharif di Wilayah Balkh, Afghanistan, yang disokong Doctors Without Borders. Si kecil Hadia didiagnosis dengan malnutrisi akut yang teruk. Doktor mengatakan ia mungkin disebabkan cirit-birit, antara sebab lain yang mungkin. Farida berharap anaknya akan bertambah baik.

Satu tingkat di atas bilik kecemasan, Shekiba* memgang bayinya, Atoosa*, di Wad Pramatang, di mana mereka ditempatkan sejak dua hari lalu selepas keluar dari unit rawatan rapi neonatal (NICU)**. Selama empat minggu, Atoosa berada dalam inkubator di NICU, selepas dilahirkan pada usia 28 minggu - tiga bulan lebih awal daripada tarikh matangnya - dengan berat hanya 1.2 kilogram.

Doctor Obaidullah Asadullah checks vital signs of a premature newborn. Afghanistan, October 2023. © Oriane Zerah

Doctor Obaidullah Asadullah memeriksa tanda vital seorang bayi pramatang. Afghanistan, Oktober 2023. © Oriane Zerah

“Ia suatu yang bagi saya untuk melihat anak perempuan saya berada dalam inkubator, saluran dimasukkan ke hidungnya dan wayar disambungkan ke banyak bahagian badannya. Saya benci bunyi yang bip berterusan dihasilkan daripada peralatan perubatan kerana ia sentiasa mengingatkan saya bahawa bayi saya sangat sakit, "kata Shekiba.

“Dia nampaknya begitu lemah. Rasa perit kerana tidak tahu sama ada bayi perempuan saya akan sembuh ibarat seperti ada sesuatu yang mengunyah bahagian dalam diri saya,” tambahnya. “Saya masih ingat pada hari doktor memaklumkan bahawa anak perempuan saya akan dipindahkan dari rawatan rapi ke wad pramatang kerana dia stabil. Saya tidak percaya! Saya segera menelefon suami dan menyuruhnya menyediakan segala-galanya kerana waktu pulang sudah semakin hampir!”

Pada Ogos 2023, Doctors Without Borders melancarkan perkhidmatan perubatan di Hospital Wilayah Mazar-i-Sharif di Wilayah Balkh dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Awam, bertujuan mengurangkan kadar kematian kanak-kanak dan neonatal di wilayah utara dan kini menjalankan NICU serta bilik kecemasan (ER) untuk kanak-kanak sehingga usia 15 tahun, disokong sistem triage untuk memastikan pesakit paling kritikal dimasukkan dan diberi penjagaan yang mereka perlukan.

Pasukan perubatan Doctors Without Borders di Hospital Wilayah Mazar-i-Sharif menerima purata 3,000 kanak-kanak sakit yang kritikal di ER kanak-kanak dan purata 546 bayi baru lahir ke NICU setiap bulan. Kadar pengisian katil purata secara konsisten lebih tinggi daripada 140 peratus sejak Doctors Without Borders memulakan aktiviti di NICU. Ia kini menempatkan 60 bayi, lebih daripada dua kali ganda kapasiti 27 katilnya. Doctors Without Borders terpaksa menyediakan sumber tambahan untuk memastikan kakitangan boleh terus memberikan penjagaan dan perhatian peribadi kepada setiap bayi dan mengurangkan risiko kelesuan walaupun keperluan kapasiti dan ruang terhad.

Two mothers carrying their children in the New Natal Ward. Afghanistan, October 2023. © Oriane Zerah

Dua ibu memegang anak mereka di Wad Neonatal. Afghanistan, Oktober 2023. © Oriane Zerah

Intervensi kami di Mazar-i-adalah Sharif untuk menangani keperluan penjagaan kesihatan yang kritikal bagi penduduk Afghanistan, terutamanya bayi dan kanak-kanak yang terdedah, dalam menghadapi permintaan tinggi, sistem penjagaan kesihatan yang terbeban serta kekurangan sumber. Matlamat kami adalah untuk memastikan setiap kanak-kanak yang datang ke hospital menerima penjagaan dan sokongan peribadi yang mereka perlukan dan untuk mengurangkan bilangan kanak-kanak yang mati akibat keadaan yang boleh dirawat. Kadar pengisian katil tinggi yang kami lihat di jabatan yang kami sokong mencerminkan keperluan besar untuk perkhidmatan sedemikian dan jurang yang mendalam dalam penyediaan penjagaan kesihatan di wilayah itu.
Heidi Hochstenbach, ketua program

Sistem penjagaan kesihatan Afghanistan sudah lama berdepan cabaran isu seperti kekurangan kakitangan, kekurangan dana, dan tindak balas tidak mencukupi berbanding keperluan penduduk. Sistem penjagaan kesihatan menghadapi tekanan tambahan sejak pertukaran kerajaan pada Ogos 2021 dan pengurangan dalam pembiayaan oleh penderma. Ini mengakibatkan kemerosotan infrastruktur kesihatan, kekurangan lebih teruk pekerja penjagaan kesihatan, menyebabkan ramai tanpa akses kepada penjagaan kesihatan dan meningkatkan risiko keadaan kesihatan yang lemah dan kematian dalam kalangan penduduk.

Pengalaman ibu-ibu ini, Farida dan Shekiba, menyerlahkan keperluan dan jurang penting dalam akses kepada penjagaan kesihatan yang mahu dipenuhi Doctors Without Borders dengan penjagaan dan sokongan khusus di Hospital Wilayah Mazar-i-Sharif. “Saya mengimpikan detik-detik masa depan saya bersama anak perempuan saya. Untuk menyikat rambutnya, membuat tocang yang cantik, bermain dengannya dan membawanya ke sekolah,” kata Shekiba.

Doctors Without Borders mula bekerja di Afghanistan pada 1980 dan terus menyelaras perkhidmatannya agar sejajar konteks yang berkembang dan keperluan penduduk. Permulaan perkhidmatan di Wilayah Balkh menambah tujuh projek sedia ada yang diuruskan Doctors Without Borders di negara ini. Doctors Without Borders sedang mengkaji untuk meluaskan perkhidmatannya secara beransur-ansur untuk meliputi unit rawatan rapi kanak-kanak, wad pesakit dalam untuk kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan yang teruk, serta wad pediatrik am Hospital Wilayah Mazar-i-Shariff.


*Nama sudah diubah.
**NICU adalah kawasan khas yang dilengkapi peralatan perubatan khusus dan kakitangan perubatan terlatih untuk menyediakan penjagaan kepada bayi yang sangat sakit dan pramatang yang memerlukan rawatan rapi. Penjagaan disediakan di NICU disesuaikan dengan keperluan unik bayi baru lahir, selalunya termasuk sokongan untuk bayi pramatang, mereka yang mempunyai berat lahir rendah, masalah peranakan atau kelainan kongenital.