Skip to main content

Afghanistan: Campak undang risiko maut kepada kanak-kanak kekurangan zat makanan

A patient in the measles isolation ward at Boost hospital.

Seorang pesakit di wad pengasingan campak di hospital Boost. Afghanistan, 2022. © Tom Casey/MSF

Takberullah sudah berada di unit rawatan rapi kanak-kanak di hospital Boost yang disokong Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) di Lashkar Gah, wilayah Helmand, sejak tiga hari lalu. Sepuluh hari sebelum itu, dia dan dua kakaknya mengalami demam dan cirit-birit, namun Takberullah lebih teruk berbanding adik-beradiknya. Selepas dua hari ruam muncul, dan ibunya membawanya ke hospital Boost di mana dia disahkan menghidap campak.

Dia kini mengalami radang paru-paru yang teruk, jangkitan pernafasan yang mengancam nyawa, serta hipoglikemia, bermakna gula darahnya rendah. Komplikasi ini menjelaskan keadaan tangan dan kakinya yang sejuk, serta menyebabkan keadaannya kritikal. "Berapa lama dia akan berada di sini?" tanya Zainab, "Saya mempunyai anak-anak lain yang sakit di rumah tetapi saya tidak tahu bagaimana keadaan mereka."

Takberullah diberi oksigen, antibiotik dan glukosa untuk melawan komplikasi. Dia antara lebih 1,400 kanak-kanak menghidap campak yang dirawat Doctors Without Borders dalam projeknya di Helmand dan Herat pada Februari. Separuh daripadanya mengalami komplikasi yang memerlukan kemasukan ke hospital.

Tidak cukup katil

Bilangan kes campak sangat tinggi di hospital Boost. Sejak Disember hingga akhir Februari secara purata lebih 150 kanak-kanak menghidap campak datang ke hospital setiap minggu. Empat puluh peratus daripada kanak-kanak ini mengalami komplikasi teruk seperti radang paru-paru dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Di Herat, Doctors Without Borders merawat hampir 800 kes campak pada Februari.

Pada awal tahun, projek itu mempunyai lapan katil pengasingan untuk pesakit yang mempunyai penyakit berjangkit seperti batuk kering atau campak. Sangat cepat wad itu dipenuhi pesakit campak sehingga 12 katil lagi ditambah. Kini kerja pemulihan sedang dijalankan untuk mengubah bangunan sedia ada kepada unit campak dengan 60 katil, menyediakan rawatan rapi untuk pesakit kritikal dan rawatan pesakit dalam bagi mereka yang semakin pulih. Namun ini pun mungkin belum mencukupi.

"Enam puluh peratus daripada kes campak yang dilihat tiba di Hospital Wilayah Herat memerlukan kemasukan ke hospital dan separuh daripada mereka yang kami terima untuk rawatan kritikal turut mengalami kekurangan zat makanan," kata Sarah Vuylsteke, penyelaras projek Doctors Without Borders di Herat.

Campak dan kekurangan zat, kombinasi membawa maut

Keadaan ini amat membimbangkan kerana Afghanistan sudah pun menghadapi krisis pemakanan. Selama berbulan-bulan, kanak-kanak yang menerima rawatan di pusat pemakanan Doctors Without Borders di Helmand dan Herat sering terpaksa berkongsi katil kerana bilangan pesakit melebihi kapasiti katil pusat tersebut. Di kedua-dua projek antara Januari hingga akhir Februari terdapat hampir 800 kanak-kanak dimasukkan ke wad mengalami kekurangan zat makanan akut yang teruk.

A medic gives glucose to a patient in the measles isolation ward at Boost hospital

 Seorang pekerja perubatan memberikan glukos kepada pesakit di wad pengasingan campak di hospital Boost. Afghanistan, 2022. © Tom Casey/MSF

“Kebanyakan kanak-kanak yang kami rawat di pusat pemakanan dan unit rawatan rapi kami baru-baru ini menghidap campak,” kata Fazal Hai Ziarmal, ketua pasukan klinikal Doctors Without Borders di hospital Boost. "Campak merosakkan sistem imun kanak-kanak dan menjadikannya lebih sukar bagi mereka untuk melawan komplikasi seperti jangkitan pernafasan seperti radang paru-paru."

“Jika kanak-kanak kekurangan zat makanan, seperti kebanyakan mereka di Afghanistan pada masa ini, sistem imun mereka sudah sangat lemah dan itu boleh menyebabkan jangkitan campak yang lebih teruk dan berpanjangan. Ini seterusnya merosakkan sistem imun mereka lebih jauh dan menjadikan kanak-kanak sangat terdedah. Ramai kanak-kanak kekurangan zat makanan mati akibat komplikasi selepas campak.”

Bersusah payah mencari rawatan

Campak boleh dicegah melalui vaksinasi, namun liputan di Afghanistan rendah dan ini satu penjelasan untuk peningkatan pesat kes. Di samping itu, kadangkala beberapa keluarga tinggal di bawah satu bumbung, mewujudkan keadaan yang sempurna untuk penyebaran penyakit yang cepat. Sesetengah kanak-kanak sembuh daripada campak dengan sendirinya manakala yang lain memerlukan ubat mudah untuk komplikasi mereka, tetapi ini mungkin sukar ditemui di Afghanistan kerana banyak kemudahan kesihatan kekurangan ubat dan bekalan yang mencukupi. Ini bermakna ramai ibu bapa terpaksa membeli ubat itu daripada farmasi tempatan.

Han Bibi with her grandchildren in the measles screening unit at Boost hospital.

Han Bibi bersama cucu perempuannya di unit saringan campak di Hospital Boost. Afghanistan, 2022. © Tom Casey/MSF

"Semua 12 cucu saya sakit tetapi ketiga-tiga ini paling menderita," jelas Han Bibi yang sedang menunggu anaknya di unit pemeriksaan campak hospital Boost, bersama cucu-cucu di sekelilingnya. Mereka kelihatan terpinga-pinga dan tidak selesa, ketiga-tiga mereka mengalami demam campak.

“Kami membeli ubat di kampung kami tetapi apabila anak-anak tidak bertambah baik kami datang ke sini. Anak sulung menangis mengatakan dadanya sakit, dan dia muntah. Dia minum banyak air tetapi tidak dapat menahan apa-apa lagi."

Tekanan tambahan pada sistem kesihatan

"Dalam projek kami di Herat, dua kanak-kanak mati setiap hari akibat komplikasi campak dan saya takut memikirkan apa yang berlaku di bahagian lain negara terbabit yang tidak mempunyai akses kepada rawatan yang lebih maju," kata Sarah Vuylsteke, Koordinator Doctors Without Borders di Herat.

“Kemudahan kesihatan awam yang kami lawati di kawasan luar bandar mempunyai kapasiti untuk merawat pesakit campak dengan komplikasi ringan, namun kakitangan di setiap satu daripadanya mengatakan mereka tidak akan dapat membantu kes yang teruk atau rumit kerana tidak mempunyai bekalan, kakitangan atau peralatan. Bagi kanak-kanak yang sangat sakit, yang paling terdedah, hanya sedikit boleh mereka lakukan,”

ami boleh menambah bilangan katil di tempat di mana Doctors Without Borders berfungsi tetapi ia tidak akan menyelesaikan masalah. Melainkan terdapat kempen vaksinasi yang meluas, kita akan terus melihat peningkatan kes untuk enam bulan akan datang, memberikan lebih banyak tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan yang sudah rapuh. Dalam jangka panjang, program untuk vaksinasi campak harus terus diperkukuh supaya kanak-kanak boleh divaksinasi secara rutin, bukannya sebagai tindak balas kepada kes demam.
Sarah Vuylsteke, Koordinator

Di Bandar Kunduz, Doctors Without Borders membiayai kakitangan dan peralatan untuk wad campak baharu dengan 35 katil di Hospital Wilayah Kunduz. Wad dibuka pada 27 Februari dan pada keesokan paginya ia sudah mempunyai lebih ramai pesakit daripada katil.

Kembali ke unit rawatan rapi kanak-kanak di hospital Boost, para medik berkumpul di sekeliling katil Takberullah, cuba menyelamatkan nyawa pesakit baharu. Sementara itu, Zainab mengemas barang-barangnya dan pulang ke rumah, bersendirian, untuk bersama anak-anaknya yang lain.

Categories