Sudan: Krisis malnutrisi teruk di kem Zamzam di tengah keganasan yang semakin meningkat di Darfur Utara
Doctors Without Borders menggerakan sebuah klinik di kem Zamzam yang menempatkan lebih 300,000 pelarian dalaman. Pasukan kami menawarkan perkhidmatan Pemakanan Terapeutik Ambulatori. Sudan, Februari 2024. © Mohamed Zakaria
- Doctors Without Borders meningkatkan tindak balasnya terhadap krisis malnutrisi teruk di kem Zamzam, di mana situasi menjadi lebih kritikal dengan membuka klinik kesihatan kedua, mendaftarkan lebih 11,000 kanak-kanak dalam program pemakanannya dan membuka hospital lapangan dengan 35 katil untuk merawat mereka yang memerlukan rawatan yang paling kritikal.
- Situasi yang bertambah teruk ini hanya boleh dielak daripada bertukar malapetaka dengan peningkatan ketara dalam tindak balas kemanusiaan. Keperluan kepada pengedaran makanan yang boleh dipercayai yang menawarkan catuan mencukupi sangat mendesak.
- Doctors Without Borders menggesa perlindungan untuk orang awam, kemudahan penjagaan kesihatan dan kakitangan untuk menyampaikan bantuan penting dengan kadar segera kepada populasi yang berisiko.
Bertindak balas terhadap peningkatan pertempuran di Darfur Utara, Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) telah merawat lebih 100 pesakit yang cedera akibat perang - termasuk 11 kanak-kanak, ramai yang mengalami luka akibat tembakan - di Hospital Selatan, El Fasher, sejak dua minggu lalu, namun pada masa sama meningkatkan tindak balasnya terhadap krisis malnutrisi besar di kem Zamzam, di mana keadaan semakin kritikal. Semasa berbuat demikian, Doctors Without Borders menyeru pihak yang bertelagah untuk memastikan perlindungan orang awam, struktur penjagaan kesihatan dan kakitangan, supaya bantuan penting untuk puluhan ribu orang yang nyawa mereka berisiko dapat diberikan dengan berkesan sebelum ia terlambat.
Berikutan hasil teruk penilaian pantas nutrisi dan mortaliti yang dijalankan Doctors Without Borders pada awal Januari, saringan besar-besaran terhadap lebih 63,000 kanak-kanak bawah usia lima tahun, serta wanita hamil dan menyusu, dijalankan pada Mac serta April yang mengesahkan terdapat krisis malnutrisi dahsyat dan mengancam nyawa di kem Zamzam, Darfur Utara. Walaupun sudah meminta sokongan segera pada Februari apabila keputusan penilaian pantas diterbitkan, hampir tiga bulan kemudian, Doctors Without Borders kekal satu-satunya agensi bantuan antarabangsa yang bertindak balas terhadap krisis besar ini - dan, hasilnya, satu sahaja dalam kalangan yang sedikit itu mampu bertindak balas terhadap kejadian yang membabitkan mangsa yang ramai di El Fasher.
Golongan ibu dan anak berbaris menunggu di klinik Doctors Without Borders di kem Zamzam, Sudan, Februari 2024. © Mohamed Zakaria
Daripada 46,000+ kanak-kanak yang disaring, mengejutkan 30 peratus didapati mengalami malnutrisi akut – dengan lapan peratus mengalami malnutrisi akut teruk (SAM). Angka sama ditemui dalam kalangan 16,000+ wanita hamil dan menyusu yang disaring: 33 peratus mengalami kekurangan zat makanan akut, dengan 10 peratus mempunyai SAM. Bagi kedua-dua kumpulan penduduk, angka ini dua kali ganda daripada ambang kecemasan 15 peratus, menunjukkan terdapat kecemasan besar-besaran yang mengancam nyawa di kem Zamzam.
"Di kem Zamzam, terdapat bencana akut dalam skala malapetaka," kata Claire Nicolet, ketua tindak balas kecemasan Doctors Without Borders di Sudan. "Keadaan ini kritikal, tahap penderitaan sangat besar, namun meskipun ia diketahui hampir tiga bulan, tidak ada usaha mencukupi dilakukan untuk membantu mereka yang bergelut untuk terus hidup. Dengan pertempuran semakin memuncak, kami amat bimbang ia akan menyukarkan lagi sokongan antarabangsa yang amat diperlukan yang kami minta untuk tiba. Dan, dengan musim kekurangan bahan makanan semakin hampir, kami juga bimbang berlaku kemerosotan pesat dalam krisis kekurangan zat makanan yang sudah drastik ini dalam beberapa minggu akan datang.”
Nyawa ratusan ribu orang sudah sedia terancam - dan kini, dengan pertempuran semasa, lebih ramai lagi berisiko. Terdapat keperluan mendesak untuk tindak balas kemanusiaan dipertingkatkan dengan pantas supaya krisis kekurangan zat makanan ini dapat ditarik balik dari jurang, dan untuk ini berlaku, penting untuk pihak bertelagah mengambil tindakan bagi menjamin akses kemanusiaan yang selamat dan perlindungan kepada orang awam.Claire Nicolet
Doctors Without Borders telah meningkatkan tindak balasnya dengan membuka klinik kesihatan kedua, mendaftarkan lebih 11,000 kanak-kanak dalam program pemakanannya dan membuka hospital lapangan dengan 35 katil untuk merawat kes paling kritikal. Pada masa ini, semua katil diisi sepenuhnya dan antara pesakit termasuk 19 kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan akut yang teruk dan tiga disyaki demam campak. Doctors Without Borders bercadang memulakan kempen vaksinasi terhadap campak dan mengembangkan aktivitinya untuk memberikan sokongan kepada wanita hamil. Bagaimanapun, ini tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan. Penjagaan kesihatan tambahan tidak disediakan di kem dan penting untuk memastikan ia dipulihkan sebagai satu keperluan yang mendesak.
"Tidak dinafikan terdapat cabaran besar dalam menyediakan bantuan kemanusiaan di Sudan, ada kemungkinan untuk melakukannya," kata Nicolet.
Sekatan ke atas akses kemanusiaan - termasuk halangan yang disengajakan ke atas penyampaian bantuan oleh pihak yang bertelagah - menjejaskan dengan ketara keupayaan agensi bantuan untuk meningkatkan tindak balas. Rasa tidak selamat juga ada. Namun keadaan terlalu kritikal untuk isu ini terus dijadikan sebagai alasan. PBB dan komuniti kemanusiaan yang lebih luas mesti melakukan lebih banyak lagi untuk merundingkan akses bagi agensi PBB dan NGO antarabangsa untuk datang dan membantu dengan tindak balas di Zamzam.Claire Nicolet
Keadaan penduduk di Zamzam amat menyedihkan. Tiada pengagihan makanan rasmi di kem itu sejak Mei 2023. Walaupun segelintir trak PBB sampai ke El Fasher dua minggu lalu, tiada apa yang sampai ke Zamzam sehingga Isnin 29 April. Pada tarikh ini, ketua-ketua masyarakat diserahkan makanan yang mana mereka kemudiannya perlu mengagihkannya dalam kalangan penduduk.
Namun, sebelum permulaan perang sekalipun, sokongan diterima penghuni kem sangat sedikit. Catuan makanan jauh lebih rendah berbanding piawaian antarabangsa, air bersih tidak mencukupi dan hanya terdapat dua klinik kesihatan lain di kem yang luas sebelum Doctors Without Borders membuka klinik pertamanya pada 2022, yang mana kedua-duanya kini hampir tidak berfungsi.
Penilaian pantas nutrisi dan mortaliti dijalankan Doctors Without Borders di kem Zamzam pada Januari 2024 mendedahkan situasi maut telah berlaku sejak sembilan bulan lalu. Sudan, 2024. © Mohamed Zakaria
“Keadaannya teruk bagi semua penduduk kem itu dan sejak setahun lalu, ia merosot dengan ketara. Bagi ribuan yang baru berpindah dari Nyala, Tawila dan lokasi lain di mana pertempuran sengit berlaku, keadaan amat teruk. Ramai tiba di Zamzam tanpa memiliki apa-apa dan tinggal di sekolah yang penuh sesak tanpa akses kepada makanan atau air. Semua orang di kem Zamzam memerlukan sokongan, namun mereka yang tiba baru-baru ini amat terdedah. Dengan keganasan sekali lagi semakin meningkat di Darfur Utara, lebih ramai yang kehilangan tempat tinggal dan ini bermakna tidak lama lagi mungkin terdapat lebih banyak persaingan untuk sumber yang sudah sangat terhad di kem itu.”
Pengagihan makanan yang boleh dipercayai, yang menyediakan orang ramai dengan catuan mencukupi, satu-satunya perkara yang akan menghalang keadaan daripada terjunam ke kancah malapetaka. Dengan musim hujan semakin hampir, dan tiada laluan berturap di jalan raya, ia akan menyukarkan trak bantuan untuk sampai ke Zamzam, menjadikan penghantaran bantuan pantas lebih mustahak. Walaupun menyedari keadaan teruk, dan meskipun amaran kebuluran daripada agensi PBB sendiri, masih terlalu sedikit dilakukan PBB untuk menghalang krisis kekurangan zat makanan di Zamzam daripada terus bertukar menjadi malapetaka.