Skip to main content

Sudan: "Kemudahan kesihatan kehabisan bekalan"

 Scenes from within South Hospital, El Fasher, North Darfur, where multiple people have been wounded in the fighting

Pemandangan dalam Hospital Selatan, El Fasher, Darfur Utara, di mana ramai yang tercedera dalam pertempuran © Ali Shukur/MSF 

"Pertempuran sengit sedang berlaku ketika ini di El Fasher. Kami masih mendengar tembakan dari perkarangan kami ketika saya sedang bercakap. Ia sangat tidak selamat disebabkan tembakan dan pengeboman - ramai orang awam menjadi korban." kata Cyrus Paye, Penyelaras Projek Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF), mengenai situasi di hospital yang disokong Doctors Without Borders di El Fasher, Darfur Utara. 

Di hospital yang kami sokong, kami menerima 279 pesakit yang cedera sejak pertempuran bermula pada Sabtu. Tragisnya, 44 meninggal dunia. Situasi ini membimbangkan. Majoriti yang cedera adalah orang awam yang terkena peluru sesat, dan ramai daripada mereka kanak-kanak. Mereka mengalami keretakan akibat peluru, atau luka tembakan atau serpihan pada kaki, perut atau dada mereka. Ramai yang memerlukan pemindahan darah. Begitu ramai pesakit sehingga mereka dirawat di atas lantai di koridor disebabkan katil tidak mencukupi untuk menampung sejumlah besar yang cedera. 

Sehingga hujung minggu lalu, Hospital Selatan tidak mempunyai kapasiti untuk pembedahan. Ia hospital bersalin yang kami mula sokong tahun lalu bagi membantu mengurangkan kadar kematian ibu yang tinggi di rantau ini. Namun, sejak pertempuran bermula, kami terpaksa menggunakan semula hospital untuk membolehkan mereka merawat yang cedera. 

Semua hospital lain di bandar itu terpaksa ditutup kerana kedudukannya hampir dengan pertempuran, atau kakitangan tidak dapat sampai ke sana disebabkan intensiti konflik. Pakar bedah dari hospital berkenaan kini datang ke Hospital Selatan dan berupaya menjalankan beberapa operasi pembedahan. Namun, mereka kehabisan bekalan dengan cepat. Kami berupaya sampai ke hospital untuk mengisi semula bekalan pada Selasa, apabila pertempuran mereda, tetapi jika kami tidak dapat membawa lebih banyak bekalan ke Darfur - dan jika kami terus menerima jumlah tinggi mereka yang cedera - bekalan perubatan yang ada hany cukup untuk bertahan tiga minggu lagi." 

Cyrus Paye, MSF Project Coordinator in El Fasher, North Darfur
Penting untuk kita mendapat akses kepada semua kemudahan kesihatan di seluruh negara. Pada masa ini, inilah yang akan menyelamatkan nyawa orang ramai.
Cyrus Paye, Penyelaras Projek MSF

Kemudahan kesihatan kehabisan bekalan dan kakitangan tidak dapat keluar bekerja 

"Pada masa ini, di Sudan, tiada apa yang boleh bergerak. Lapangan terbang di seluruh negara semuanya ditutup sejak pertempuran bermula dan pertempuran berlaku di jalanan, jadi kami tidak boleh membawa lebih banyak bekalan ke Darfur Utara – atau ke dalam negara. Chad menutup sempadannya. Jadi jika keadaan tidak berubah dan akses kemanusiaan tidak diberikan, akan ada kehilangan nyawa lebih besar." 

Ketika ini, dua dewan bedah yang disediakan tidak dapat menampung kemasukan tanpa henti pesakit OBGYN trauma dan kecemasan. Di wad bersalin, terdapat dua wanita ketika ini di setiap katil. Sebelum ini, sebuah hospital berdekatan mengendalikan semua pembedahan caesarian kecemasan - biasanya sekitar tiga hingga lima sehari - dan dengan lebih 30 kelahiran normal dalam tempoh 24 jam. Kini, semua ini dikendalikan di Hospital Selatan ketika mana pakar bedah trauma sedang bekerja. Kami baru mendengar bahawa malam tadi, Hospital Pediatrik tempat kami merujuk neonatal dirompak sepenuhnya, bermakna kami kini tidak mempunyai tempat untuk merujuk bayi baru lahir yang mengalami sepsis - atau mereka yang dilahirkan pramatang. Tiada inkubator di Hospital Selatan, yang akan menyukarkan untuk memastikan kanak-kanak itu hidup. Pasukan sekarang terbeban. Mereka bekerja sepanjang masa. Kami sedang meneliti pilihan yang ada untuk membawa bekalan dan pakar bedah trauma berpengalaman ke negara ini untuk memberikan sokongan apabila keadaan mengizinkan, tetapi - seperti yang berlaku dengan bekalan perubatan - pada masa ini, ia mustahil. 

Penting untuk kita mendapat akses kepada semua kemudahan kesihatan di seluruh negara. Pada masa ini, inilah yang akan menyelamatkan nyawa orang ramai. Kemudahan kesihatan kehabisan bekalan dan kakitangan tidak dapat keluar bekerja. Pekerja kesihatan, pekerja bantuan dan pekerja penyelamat semuanya tidak dapat bergerak akibat pertempuran dan orang ramai mati disebabkannya. Akses adalah apa yang akan mengubah ini. Semua itu, dan jaminan daripada pihak yang berperang bahawa mereka tidak mengancam nyawa orang awam."