Sudan: Keganasan memusnahkan penduduk dan mengancam hospital penting
Pesakit yang dirawat di hospital Al Nao yang disokong Doctors Without Borders di Omdurman, di barat laut Khartoum, di mana pertempuran sengit sedang berlaku. Sudan, Ogos 2023. © MSF
Pertempuran di Omdurman sangat sengit beberapa minggu kebelakangan ini dengan serangan udara, berbalas tembakan dan pengeboman, menyebabkan kesakitan, penderitaan dan kematian yang dahsyat. Ratusan lelaki, wanita dan kanak-kanak cedera, dengan keganasan berterusan menjadikan ia berbahaya serta sukar buat mereka yang sangat memerlukan penjagaan kesihatan untuk sampai ke beberapa kemudahan berfungsi di kawasan itu.
Minggu lalu sebuah keluarga yang terperangkap dalam insiden berbalas tembakan datang. Si ibu dan seorang anak perempuannya meninggal dunia, seorang lagi anak perempuan kehilangan kaki dan seorang anak lelaki cedera parah. Sebuah keluarga lain membawa masuk tiga anak mereka dengan luka tembakan. Seorang yang berusia sembilan tahun ditembak pada belakang dan seorang lagi berusia enam tahun terkena tembakan pada mata kanan, kedua-duanya terselamat, namun anak mereka yang berusia empat tahun meninggal dunia.Omer, petugas perubatan
Dalam tempoh dua minggu antara 29 Julai hingga 11 Ogos, kakitangan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) yang bekerja di Al Nao bersama pasukan dari Kementerian Kesihatan Sudan memberikan rawatan trauma kecemasan kepada 808 pesakit, 447 daripadanya mengalami kecederaan akibat tembakan, serpihan letupan atau tikaman. Dalam tempoh sama, hospital itu merawat 787 pesakit untuk penyakit lain berkaitan perubatan, bukan berkaitan trauma, keadaan kesihatan seperti diabetes, jangkitan pernafasan, hipertensi dan penyakit kardiovaskular lain, sebahagian daripadanya. Setiap hari secara purata, kakitangan perubatan di hospital Al Nao merawat 34 pesakit dengan kecederaan trauma ganas dan 77 dengan keadaan perubatan lain.
Hospital Al Nao kekal salah satu kemudahan kesihatan terakhir yang dibuka di Omdurman, sekali gus menjawab mengapa bilangan pesakit tinggi. Al Nao satu-satunya bilik kecemasan trauma dan hospital dengan kapasiti pembedahan di utara Omdurman, jadi semua pesakit yang cedera dibawa ke sana.
Hospital Al nao yang disokong Doctors Without Borders di Omdurman. Sudan, Ogos 2023. © MSF
Pada 4 Julai seorang kakitangan Kementerian Kesihatan di Hospital Bersalin Al Saudi yang disokong Doctors Without Borders di Omdurman meninggal dunia selepas ditembak ketika bergerak dalam kawasan hospital, memaksa hospital itu ditutup. Kakitangan hospital memindahkan aktiviti mereka ke hospital Al Nao supaya wanita hamil di kawasan itu masih mempunyai tempat selamat untuk bersalin.
Pertempuran hebat di kawasan kejiranan berhampiran memberi impak besar kepada penduduk. Dua daripada tiga pesakit yang cedera akibat perang di Al Nao mengalami luka akibat tembakan - ini termasuk wanita, lelaki, warga emas, kanak-kanak dan bayi baharu lahir. Yang lain mempunyai luka tikaman atau kecederaan akibat letupan. Walaupun di tengah-tengah konflik, kecederaan akibat kemalangan dan patah kaki juga masih memerlukan perhatian.
Keganasan semakin memuncak di sekitar Al Nao, mengancam pesakit dan kakitangan. Pada 16 Ogos bom meledak di utara dan barat daya hospital. Pada hari ketika pertempuran berdekatan berada pada tahap paling teruk, Al Nao kebanyakannya menerima mereka yang cedera akibat keganasan, meskipun ia masih tersedia untuk pesakit yang mengalami kecemasan perubatan lain. Pesakit, seperti mereka yang mengalami strok, serangan jantung atau mengalami kecemasan gastro-usus, mungkin merasa terlalu berbahaya untuk bergerak atau menangguhkan mendapatkan rawatan kesihatan kerana takut terjebak dalam keganasan. Sesetengah pesakit sampai ke hospital terlalu lewat. Rasa tidak selamat turut menjejaskan kakitangan hospital dengan pegawai perubatan yang bekerja dua syif kerana terlalu berbahaya untuk rakan sekerja mereka bergerak.
Malah mereka yang tidak mempunyai keperluan kesihatan segera di Omdurman berdepan akibat daripada keganasan itu. Kehidupan harian terhalang akibat pemotongan bekalan air dan elektrik yang berterusan, kekurangan bahan api untuk memasak dan orang ramai kekurangan wang tunai atau apa-apa cara untuk menyara diri. Keadaan terdesak mendatangkan kesan besar kepada psikologi.
Seorang pesakit dirawat di hospital Al Nao disokong Doctors Without Borders di Omdurman, barat laut Khartoum, di mana pertempuran sengit sedang berlaku. Sudan, Ogos 2023. © MSF
Seperti di mana sahaja Doctors Without Borders bekerja, hospital Al Nao menyediakan rawatan perubatan kepada orang ramai berdasarkan keperluan perubatan mereka sahaja tanpa mengira sama ada mereka berada di salah satu pihak yang terbabit konflik atau pihak lain atau sekadar orang awam yang terperangkap di tengah-tengah pertempuran. Doctors Without Borders menyokong lapan hospital di Khartoum, dengan kakitangan Doctors Without Borders bekerja di empat hospital di bandar Khartoum dan Omdurman, di kedua-dua bahagian barisan hadapan. Selain Al Nao, Doctors Without Borders juga menyediakan penjagaan untuk pesakit yang cedera di Hospital Pengajaran Bashair dan Hospital Turki di selatan Khartoum. Pada Julai, 1,770 pesakit yang cedera akibat perang menerima penjagaan trauma di ketiga-tiga hospital.
"Orang ramai berdepan tragedi tanpa henti akibat keganasan yang tidak terkata ini,” kata Penyelaras Kecemasan Doctors Without Borders Frauke Ossig di Sudan. "Sungguh menyayat hati apabila melihat mereka yang paling lemah dan tidak bersalah dihancurkan oleh konflik ini."
"Memandangkan pegawai perubatan di Al Nao bekerja sepanjang masa, bom yang menghujani kawasan berdekatan, menyebabkan lebih banyak kengerian dan mengancam tugas menyelamatkan nyawa di hospital. Kami menyeru pihak bertelagah supaya menyelamatkan orang awam daripada keganasan yang tidak boleh diterima ini dan memastikan perlindungan hospital serta pekerja penjagaan kesihatan, jika hospital tidak boleh berfungsi akan ada lebih banyak kesengsaraan dan penderitaan.”