Sudan: Hujung minggu paling ramai maut di Khartoum sejak konflik bermula
Minggu lalu, pasukan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) merawat lebih 100 orang yang tercedera di dua lokasi berbeza di Khartoum susulan serangan maut. Sekurang-kurangnya 49 maut dalam serangan itu. Ia hujung minggu dengan paling ramai maut disaksikan pasukan Doctors Without Borders teams di Khartoum sejak bermulanya konflik, lima bulan lalu.
Susulan letupan di pasar Gorro yang sesak awal pagi Ahad, 43 orang maut dan lebih 60 cedera dirawat di kolej hospital Bashair yang disokong Doctors Without Borders, Selatan Khartoum.
“Situasi ngeri hari itu amat menakutkan. Selama berjam-jam, berdozen mayat yang ditutup dengan kain terbaring di halaman hospital sehinggalah ahli keluarga mereka datang untuk mengenal pasti individu tersayang mereka yang hilang. Pada masa sama, kakitangan kami sedaya upaya cuba menyelamatkan nyawa mangsa lain, yang mana luka mereka menjadi bukti kekuatan luar biasa senjata yang digunakan: bahagian badan tercabut, perut terburai. Walaupun perang ini berlangsung hampir lima bulan, sukarelawan Sudan yang menjadi tulang belakang hospital masih terus terkejut dengan apa yang mereka saksikan”, kata Marie Burton, penyelaras kecemasan Doctors Without Borders di Khartoum.
Pada petang hari sebelumnya, kawasan kediaman Al Haj Youssef di Khartoum, turut diserang, merosakkan rumah dan mencederakan puluhan orang. Hospital yang disokong Doctors Without Borders, Alban Al-Jadeed, menerima 45 mangsa yang cedera, dengan enam disahkan meninggal dunia sebaik ketibaan.
Hospital sangat dekat dengan lokasi serangan. Pasukan kami mendengar letupan kuat, jadi mereka bergegas untuk bersiap sedia bagi menghadapi kecemasan. Tidak lama selepas itu, pesakit mula tiba dalam beberapa kumpulan. Kebanyakan pesakit mengalami luka akibat serpihan, kebanyakannya kritikal. Sungguh mengerikan apabila kawasan perumahan, seperti rumah dan pasar, diserang.Christian Mas B., penyelaras perubatan
Angka ini hanya merangkumi pesakit yang dirawat secara langsung oleh pasukan Doctors Without Borders. Organisasi lain melaporkan kematian di seluruh ibu kota besar, menempatkan 4 juta orang sebelum konflik.
Bukan hanya Khartoum menyaksikan kesan tragis konflik ke atas penduduk pada hujung minggu. Di El Fasher, ibu kota Darfur Utara, pasukan Doctors Without Borders yang bekerja bersama Kementerian Kesihatan di Hospital Selatan bertindak balas terhadap kemasukan besar pesakit pada Sabtu 9 September, selepas pertempuran hebat antara pihak yang bertelagah di bandar itu. Seramai 48 pesakit menerima rawatan, kebanyakannya kerana kecederaan akibat letupan dan peluru. Empat pesakit maut.
Bertindak balas terhadap insiden membabitkan bilangan mangsa yang ramai selepas keganasan melampau menjadi perkara biasa bagi pasukan Doctors Without Borders . Hujung minggu sebelum itu, pada 2 September, berikutan satu lagi serangan di pasar lain di selatan Khartoum, Hospital Turki yang disokong Doctors Without Borders menerima 21 mangsa yang maut dan 6 cedera parah yang dirawat di bilik kecemasan. Pada 3 September, pasukan perubatan di Omdurman merawat lebih 50 mangsa yang cedera berkaitan keganasan berikutan pertempuran baharu di Umbada. Lapan pesakit maut disebabkan kecederaan akibat tembakan atau letupan.