Sudan: “Di Jebel Marra, kami berdepan kesan tidak langsung peningkatan keganasan yang dahsyat ini"
Pada12 Mei Doctors Without Borders berjaya membawa masuk bekalan segar dari El-Fasher, Darfur Utara ke hospital Rokero yang disokong Doctors Without Borders. Sudan, Mei 2023. © MSF
Sejak keganasan meningkat di banyak bahagian di Sudan pada 15 April 2023, Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) terus memberikan bantuan perubatan kemanusiaan di enam negeri di negara ini. Di Rokero dan Umo, di kawasan pergunungan di negeri Darfur Tengah yang dipanggil Jebel Marra yang melalui penderitaan selama berdekad akibat konflik, pengabaian dan pengecualian daripada pelbagai perkhidmatan. Pasukan kami yang masih kekal di sana mempunyai pilihan sangat terhad untuk merujuk pesakit bagi mendapatkan rawatan tahap lebih tinggi. Ini disebabkan pertempuran yang berterusan, sama ada kerana hospital tidak lagi berfungsi, atau jalan raya terlalu tidak selamat serta usaha membawa masuk kakitangan dan bekalan kekal membimbangkan.
Pada 2020, Doctors Without Borders menaik taraf hospital luar bandar di pekan Rokero kepada kemudahan penjagaan kesihatan pakar yang memberi perkhidmatan kepada penduduk di dua lokaliti dihuni lebih 250,000 orang. Kami menguruskan jabatan pesakit dalam, bilik kecemasan, pusat pemakanan terapeutik, wad materniti dan bersalin serta bilik pemerhatian. Pasukan kami terus membantu sekitar 10 kelahiran setiap minggu dan menerima pesakit dari bandar serta kampung sekitar dengan purata 5-15 kemasukan baharu ke wad sehari termasuk rujukan daripada program komuniti yang kami sokong. Kami melakukan rujukan kecemasan ke satu-satunya hospital yang masih boleh diakses ketika ini di bandar Golo di Jebel Marra dengan beberapa kapasiti pembedahan. Pada 2021, Doctors Without Borders turut menjalankan program nutrisi kecemasan bergerak yang menyasarkan 20 kampung dan merawat lebih 500 kanak-kanak kekurangan zat makan makanan.
Penyelaras projek Doctors Without Borders Nkemju Rosevelt bersama rakan sekerja warga Sudan dan antarabangsa mengambil keputusan sukar untuk meninggalkan projek itu baru-baru ini. Ia perjalanan tujuh jam, melalui kawasan tidak selamat, dari Rokero ke El Fasher, ibu kota Darfur Utara, yang baru-baru ini banyak terjejas akibat pertempuran. Dari sana mereka terbang ke Chad dan seterusnya ke Nairobi, Kenya. Berikut, Nkemju, semasa dalam perjalanan pulang ke Cameroon, mengimbas pengalamannya di negara dilanda konflik itu.
“Saya berada di Rokero apabila keadaan di seluruh Sudan berubah. Kami tidak menjangkakan peningkatan keganasan yang sebegini ekstrem. Sebagai penyelaras projek bersama pasukan saya, kami menyediakan pelan kontingensi untuk memastikan keselamatan kakitangan serta pesakit kami, serta dapat membantu semasa keganasan dan ketidakamanan.
Apa yang berlaku melangkaui apa yang kami jangkakan. Walaupun Rokero kekal stabil dan tenang, semua bandar utama di Darfur, seperti El Fasher, Nyala, El Geneina, Zalingei, Tawila dan Kabila, serta kawasan sekitarnya, terperangkap dalam pertempuran hebat, menyebabkan ratusan terbunuh dan ramai yang lain tercedera.
Penglibatan komuniti Doctors Without Borders PC Nkemju Rosevelt dan pasukan, menemui ketua/pemimpin kampung di Jebel Marra. Sudan, Mac 2023. © MSF
Satu keputusan yang sukar untuk memindahkan dan membawa keluar ahli pasukan kami dari kawasan itu. Sebelum kami tiba, kebanyakan kawasan di Jebel Marra di luar jangkauan penjagaan kesihatan serta perkhidmatan penting lain selama lebih sedekad, dan berada dalam kawasan dikawal pemberontak selama hampir dua dekad.
Kami meninggalkan pasukan kecil terdiri rakan sekerja Sudan yang berdedikasi dan berpengalaman, beberapa orang daripada mereka berasal dari Rokero, manakala yang lain dari Darfur. Mereka terus memikul tugas yang luar biasa, bekerja keras untuk mengekalkan perkhidmatan hospital di Rokero dan aktiviti penjagaan kesihatan primer di Umo, selain di kampung terpencil melalui pekerja kesihatan komuniti terlatih MSF.
Di Rokero, kami berdepan kesan tidak langsung peningkatan keganasan yang dahsyat ini. Walaupun kawasan itu tenang, pasukan kami di sana masih berdepan pelbagai cabaran akibat keganasan. Makanan, ubat-ubatan, serta bahan api untuk menggerakkan penjana kuasa atau kenderaan, sukar untuk dibawa masuk. Selain itu, urusan membawa masuk atau keluar kakitangan untuk menyokong serta merujuk pesakit yang memerlukan pembedahan amat sukar, kerana jalan keluar dari bandar masih berbahaya.Nkemju Rosevelt, penyelaras projek
Sebagai penyelaras projek, sukar untuk menangani situasi yang tidak menentu dan cepat berubah, kerana kami tidak tahu apa akan berlaku seterusnya serta bagaimana cara terbaik untuk merancang lebih awal untuk pasukan kami di Rokero, selain untuk pesakit kami serta komuniti bahawasanya kami ada untuk membantu. Oleh itu, kami terpaksa memindahkan rakan sekerja antarabangsa serta rakan sekerja Sudan yang berasal dari bahagian lain di negara ini, manakala beberapa rakan Sudan memilih untuk kekal dan meneruskan kerja kami. Dan ia situasi yang sukar buat pesakit serta komuniti disebabkan perasaan takutterhadap sesuatu yang tidak diketahui dalam suasana yang tidak menentu.
Semakin ramai melarikan diri dari kawasan bandar seperti El Fasher, Zalingei, Khartoum, dijangka tiba ke Jebel Marra. Mereka tiba dengan trak komersial tanpa apa-apa, selepas melarikan diri daripada keganasan yang melampau.
Kami mengendalikan satu-satunya kemudahan penjagaan kesihatan pakar untuk mereka dari kedua-dua kawasan Rokero dan Umo, yang dihuni lebih 250,000 orang. Ia keputusan sangat sukar bagi kami serta detik yang penuh emosi bagi masyarakat, di mana mereka menyatakan betapa mereka tidak mahu kehilangan perkhidmatan kami.
MSF membina ER baharu, wad bersalin, pediatrik dan bilik pemerhatian serta Pusat Penyusuan Terapeutik Intensif di satu-satunya kemudahan penjagaan kesihatan menengah di kawasan di utara Jebel Marra. Sudan, Mei 2023. © MSF
Masyarakat di sana masih ingat penderitaan yang mereka lalui, ketika orang sakit dan cedera terpaksa diusung di atas keldai berhari-hari menuju Tawila dan El Fasher, di mana ramai mati akibat keadaan yang boleh dicegah disebabkan perjalanan jauh yang perlu mereka tempuhi untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Rokero kerap kali menyaksikan pergaduhan tercetus. Pada November 2022, semasa pertempuran berlaku di bandar itu, kami merawat lebih daripada 50 pesakit trauma.
Wanita, lelaki, ketua masyarakat dan orang tua serta bekas pesakit merayu supaya kami kekal. Beberapa ketua masyarakat datang kepada secara terus kepada saya mengatakan bahawa mereka akan menjamin keselamatan kami. Jebel Marra sentiasa terpisah disebabkan kumpulan pemberontak atau bersenjata yang berbeza. Namun mereka semua komited untuk mengatasi perbezaan masing-masing, dengan mengakui ketiadaan akses penjagaan kesihatan akan lebih membawa maut kepada masyarakat berbanding apa juga keganasan itu sendiri.
Angka kematian dalam kalangan wanita hamil dan ibu baharu tinggi di Darfur. Sesetengah wanita kehilangan bayi mereka pada trimester pertama kehamilan kerana mereka menunggang keldai atau terpaksa bekerja keras, menjaga sawah dan anak-anak mereka. Kebanyakan orang di sini petani, menanam sorghum dan bijirin, namun konflik bertahun-tahun dan peningkatan keganasan sejak akhir-akhir ini sering mengganggu aktiviti pertanian, menyebabkan keluarga hilang hasil tanaman atau hasil tuaian sedikit. Rata-rata penduduk tidak mampu menyediakan hidangan asas dua kali sehari.
Saya masih ingat pada Julai 2022, krisis kekurangan zat makanan yang besar berlaku. Kami mengembara ke kampung-kampung di pergunungan dengan klinik bergerak untuk merawat kanak-kanak yang berada dalam keadaan menyedihkan. Kami membawa kanak-kanak yang sakit paling teruk ke pusat pemakanan terapeutik kami dan ramai lagi dirawat di kampung.
Situasi penuh emosi dan sukar bagi kami yang terpaksa pergi. Kami mahu kekal, tetapi kami tidak dapat memastikan keselamatan seluruh pasukan. Saya bercakap setiap hari dengan rakan sekerja Sudan kami di Rokero untuk memahami apa yang berlaku. Saya lega apabila mengetahui tugas mereka lancar dan masing-masing meneruskan tanggungjawab dalam menyokong komuniti di sana.Nkemju Rosevelt, penyelaras projek
Kemudahan disokong Doctors Without Borders terus menyediakan rawatan perubatan yang menyelamatkan nyawa di kem El Fasher dan Zamzam, Darfur Utara, di Kreinik, Darfur Barat, di Rokero dan Umo, Darfur Tengah, di Khartoum, di Al-Jazeera, di Um Rakuba dan Tinedba, El- Gedaref, dan di Ad-Damazin, Blue Nile.Doctors Without Borders pertama kali bekerja di Sudan pada 1978, dengan kehadiran tanpa gangguan sejak 2003 untuk menyediakan penjagaan perubatan yang menyelamatkan nyawa kepada mereka yang paling memerlukannya.