Menilai Tahun 2022
Sejumlah 293 mangsa yang terselamat - termasuk 146 kanak-kanak bawah umur - menunggu tempat selamat untuk mendarat. Laut Mediterranean, 2022. © MSF/Candida Lobes
Peperangan, keganasan, bencana alam, wabak penyakit, inflasi yang meningkat serta kitaran kenaikan harga; ini semua antara faktor menyumbang kepada peningkatan keseluruhan dalam keperluan orang ramai, yang mana hampir 63,000 kakitangan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) bertindak balas di 78 negara seluruh dunia pada 2022. Esei ini disediakan pengarah operasi Doctors Without Borders - Ahmed Abd-elrahman, Dr Marc Biot, Akke Boere, Dr Sal Ha Issoufou, Kenneth Lavelle, Isabelle Mouniaman dan Teresa Sancristoval - mencerminkan beberapa cabaran yang kami hadapi serta impak kepada apa yang kami lakukan.
Keganasan di Haiti
Situasi politik, ekonomi dan keselamatan yang sangat tidak menentu di Haiti semakin merosot pada 2022, menyebabkan negara itu di ambang kehancuran. Namun perhatian atau bantuan antarabangsa diterima cukup sedikit. Tahap keganasan melampau di ibu negara, Port-au-Prince, menyebabkan sesetengah komuniti terperangkap tanpa akses kepada makanan, air atau rawatan perubatan. Kami berjaya berunding dengan kumpulan bersenjata yang memerintah seluruh kawasan kejiranan, namun mereka kerap menyasarkan orang ramai di jalanan serta menculik kakitangan perubatan sewenang-wenangnya.
Hospital trauma Doctors Without Borders di Tabarre, dan dua pusat penstabilan di Turgeau dan Carrefour - semuanya kawasan kejiranan di ibu negara - seringkali terbeban dengan bilangan pesakit yang cedera disebabkan keganasan, terutamanya sewaktu pertempuran meningkat pada Mei. Hospital Drouillard kami di kawasan kejiranan Cité Soleil sentiasa terperangkap dalam perebutan kawasan kumpulan bersenjata, dan keganasan yang sentiasa sengit memaksa aktiviti perubatan kami di sana beberapa kali digantung sepanjang tahun. Haiti kini antara negara paling mencabar untuk Doctors Without Borders, dari segi risiko keselamatan untuk kakitangan serta bekalan kami.
Seorang pesakit trauma dipindahkan ke pusat kecemasan Doctors Without Borders di Turgeau, Port-au-Prince. Haiti, Jun 2022. © MSF
Perang yang meningkat di Ukraine
Doctors Without Borders aktif di timur Ukraine, menyokong mereka yang terperangkap dalam perang sejak ia bermula pada 2014. Namun, pada 24 Februari 2022, pasukan kami dikejutkan dengan peningkatan dramatik dalam konflik, susulan serangan berskala besar tentera Russia di seluruh negara. Kami segera meningkatkan tindak balas, menyediakan kakitangan dan bahan, serta latihan kepada pakar bedah dan pekerja penjagaan kesihatan Ukraine untuk membantu mereka menghadapi kemasukan besar pesakit yang cedera. Kami membantu mereka yang memilih untuk tinggal di rumah, mereka yang berpindah ke tempat lain dalam negara, serta sebilangan besar yang memilih untuk mencari perlindungan di negara jiran seperti Poland, Moldova, Belarus dan Russia, menyediakan penjagaan perubatan dan kesihatan mental kepada mereka.
Peningkatan dalam peperangan menimbulkan beberapa cabaran kepada kami. Kami perlu meningkatkan aktiviti dengan pantas untuk bertindak balas terhadap pelbagai keperluan - bukan hanya merawat pesakit trauma fizikal dan mental yang berkaitan peperangan tetapi juga keadaan sedia ada seperti penyakit tidak berjangkit - serta menyesuaikan diri dengan situasi yang berubah dan keadaan di barisan hadapan yang bergerak pantas. Kami terpaksa mengimbangi cita-cita kami untuk meastikan penjagaan dapat sampai di mana ia paling diperlukan dengan keperluan untuk menjamin keselamatan kakitangan kami, termasuk ramai kakitangan Ukraine kami yang terpaksa berpindah keluar.
Untuk menangani cabaran ini, kami meneroka cara baharu untuk sampai sedekat mungkin dengan orang ramai, contohnya menggunakan kereta api perubatan yang direka khas untuk membawa pesakit keluar dari zon bahaya; mengendalikan klinik bergerak di tempat perlindungan untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal dan di stesen metro, di mana orang ramai berlindung apabila bom dijatuhkan tanpa mengambil kira sasaran; dan membuka talian telefon untuk konsultasi bagi penyakit tidak berjangkit.
Pasukan perubatan di dalam unit rawatan rapi (ICU) kereta api perubatan Doctors Without Borders memantau dan menstabilkan pesakit yang parah disebabkan kecederaan berkaitan perang semasa perjalanan dari Pokrovsk, timur Ukraine ke Lviv, di barat Ukraine. Ukraine, Mei 2022. © Andrii Ovod
Kesan berterusan COVID-19
Pada awal 2022, ketika pandemik memasuki tahun ketiga, pasukan Doctors Without Borders masih bertindak balas terhadap COVID-19 di banyak tempat. Kami terus menawarkan rawatan di negara seperti Iraq dan Eswatini, dan memberikan vaksinasi di Lebanon, Afrika Selatan dan Uganda.
Sementara itu, Kempen Akses Doctors Without Borders menekankan keperluan untuk mengecualikan harta intelek yang akan memudahkan pengeluaran vaksin yang lebih besar dan lebih pantas untuk pandemik ini serta pada masa hadapan. Walaupun tindak balas kami terhadap COVID-19 semakin berkurangan selepas beberapa tahun, pasukan kami berusaha menangani kesan wabak terhadap manusia dan sistem penjagaan kesihatan, seperti kekurangan vaksinasi rutin, yang menyebabkan penularan pelbagai penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin di banyak negara.
Kebangkitan semula Kolera
Kami menyaksikan kebangkitan luar biasa kolera pada 2022; 30 negara merekodkan kes atau wabak. Doctors Without Borders bertindak balas terhadap penyakit yang sangat menular ini di sekurang-kurangnya 10 negara, termasuk Nigeria, Syria, Cameroon, Niger, Lubnan, Republik Demokratik Congo dan Kenya. Faktor berbeza seperti bencana alam, perubahan iklim, kekurangan air dan krisis kemanusiaan seperti konflik menyumbang kepada peningkatan kes di seluruh dunia.
Di Haiti, selepas tiga tahun tanpa kes direkodkan, wabak besar dikesan bermula akhir September. Menjelang akhir tahun, lebih 15,000 kes dikesan dengan sebahagian besarnya dirawat di kemudahan kami. Pasukan kami juga menyokong usaha vaksinasi wabak.
Memandangkan vaksin kolera berkurangan di peringkat global, Kumpulan Penyelaras Antarabangsa - yang turut dianggotai Doctors Without Borders - mengambil keputusan yang belum pernah terjadi sebelum ini dengan mengesyorkan sementara pemberian satu dos, dan bukannya strategi vaksinasi dua dos biasa bertujuan membantu melindungi lebih ramai orang daripada dijangkiti penyakit ini.
Seorang pekerja penjagaan kesihatan memeriksa Mohamad Al-Merhi, pesakit Taun di Unit Rawatan Kolera (CTU) yang disokong Doctors Without Borders di wilayah Idlib. Syria, November 2022. © Abd Almajed Alkarh/MSF
Krisis iklim meninggalkan kesannya
Sekali lagi pada 2022, Doctors Without Borders membantu mereka yang terkesan dengan kejadian cuaca ekstrem seperti banjir di Sudan Selatan and Afrika Selatan; kemarau di Somalia; dan taufan di Madagascar serta Filipina.
Pada Januari, pasukan Doctors Without Borders menyediakan rawatan kepada kanak-kanak yang mengalami malnutrisi di pinggir bandar N’Djamena, Chad, ketika apa yang digambarkan sebagai paling kering dan musim hujan paling pendek sepanjang diingati mereka. Bagaimanapun, beberapa bulan kemudian pada Ogos, di kawasan sama, hujan bermusim yang lebat dan luar biasa menyebabkan sungai melimpahi tebing, mengakibatkan banjir, dan menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal
Pada Jun, Pakistan dilanda banjir teruk, dengan satu pertiga daripada negara dilenggelami air; beberapa kawasan masih dinaiki banjir lebih tiga bulan kemudian. Kemusnahan itu menyebabkan lebih 30 juta orang kehilangan tempat tinggal dan menyebabkan ribuan maut dan cedera. Sebagai tindak balas, pasukan Doctors Without Borders memberikan sokongan perubatan, nutrisi dan air serta sanitasi secara besar-besaran di wilayah Sindh dan Balochistan.
Menjelang hujung tahun, kami mula bekerja di Kiribati untuk meningkatkan penjagaan kesihatan ibu, terutamanya diagnosis dan rawatan diabetes, penyakit yang lazim di negara Pulau Pasifik ini, di mana paras air laut yang semakin meningkat menghakis serta menyebabkan tanah yang digunakan untuk penanaman diresapi garam.
Peningkatan kes malnutrisi
Merawat bilangan tinggi kanak-kanak dengan malnutrisi satu lagi tumpuan aktiviti kami sepanjang tahun. Seperti kolera, punca kekurangan zat makanan adalah kompleks dan disebabkan pelbagai faktor; kemarau, hasil tuaian teruk, sistem kesihatan dan ekonomi yang runtuh, konflik, kenaikan harga makanan – sebahagian atau gabungan faktor ini menyumbang kepada tahap kekurangan zat makanan yang membimbangkan yang kami lihat di Nigeria, Ethiopia, Kenya, Afghanistan, Chad dan Yaman sepanjang tahun.
Di Baidoa, Somalia, di mana kemarau berpanjangan ditambah dengan konflik yang berlarutan serta tindak balas kemanusiaan yang tidak mencukupi, pasukan kami menerima, kadangkala, 500 kanak-kanak kekurangan zat makanan akut seminggu.
Pasukan perubatan Doctors Without Borders bergerak menggunakan bot untuk membuka klinik bergerak di bandar Johi susulan banjir melanda daerah Dadu, Sindh. Pakistan, Oktober 2022. © Asim Hafeez
Penolakan migrasi
Agensi pelarian PBB, UNHCR, menganggarkan sehingga 100 juta orang dipaksa menjadi pelarian di seluruh dunia pada 2022. Ada yang terperangkap dalam kebuntuan di sempadan antara Belarus dan Latvia, Lithuania dan Poland, di mana mereka berdepan penolakan berterusan dan selalunya membabitkan keganasan. Dari awal tahun, kami bergelut untuk membantu orang ramai di kawasan ini disebabkan dasar tidak mesra yang menyekat akses kami. Peningkatan perang di Ukraine pada akhir Februari, bagaimanapun, mendedahkan sikap pilih kasih dalam dasar migrasi Eropah; bagi berjuta-juta rakyat Ukraine – melarikan diri dari konflik, seperti kebanyakan yang terkandas di sempadan Belarus – kemasukan ke negara EU sebagai pelarian dipermudahkan dengan pantas.
Pelarian dan pendatang yang tiba di sempadan utara Mexico juga berterusan ditolak AS di bawah Title 42, dasar berpuluh tahun yang digunakan secara meluas hanya sejak Mac 2020, untuk mengawal selia pergerakan menyeberangi sempadan di bawah premis peningkatan langkah berjaga-jaga COVID-19. Sementara itu, ribuan pendatang menuju pantai Mediterranean di utara Afrika - atau berundur dari bahaya di Libya - diusir dari Algeria ke Niger dan ditinggalkan di sempadan di tengah padang pasir.
Penolakan juga berterusan di laut; pada September, Malta memaksa sebuah kapal untuk membawa mereka yang diselamatkan dari zon mencari dan menyelamatnya di Laut Mediterranean Tengah ke Mesir, yang jelas melanggar undang-undang maritim dan antarabangsa.
Dalam tempoh lima tahun sejak 750,000 Rohingya melarikan diri dari Rakhine, di Myanmar, susulan keganasan tidak terhitung, kehidupan bagi golongan minoriti yang teraniaya tidak bertambah baik. Mereka yang tiba dengan bot untuk mencari perlindungan di Malaysia dipaksa kembali ke laut atau ditangkap, dipenjarakan, malah didakwa. Di Bangladesh, Rohingya hidup dalam persekitaran sempit dan tidak bersih, serta hak mereka untuk bergerak di sekitar kem menempatkan 1 juta orang dan bekerja dihadkan dengan teruk, menambah lagi kesusahan yang mereka hadapi.
Pemandangan dari udara menunjukkan jalan dan benteng yang sedang dibina PBB di Bentiu. Benteng dibina setinggi 2.5 meter dan lebar 5 meter. Banjir di sekitar Bentiu menjangkau 80km. Sudan Selatan, Ogos 2022. © Christina Simons
Kejayaan dalam TB, namun cabaran terus ada
Pada penghujung tahun, New England Journal of Medicine menerbitkan keputusan daripada percubaan klinikal TB-PRACTECAL kami, yang menguji keberkesanan dan keselamatan rejimen rawatan oral sepenuhnya selama enam bulan untuk tuberkulosis rintang dadah (DR-TB). Rejimen itu menyembuhkan 90 peratus pesakit, peningkatan ketara berbanding rawatan standard sebelumnya, yang biasanya mengambil masa dua tahun untuk diselesaikan, dengan hanya kira-kira separuh daripada pesakit sembuh. Ia kini dimasukkan dalam garis panduan rawatan TB yang dikemaskini Pertubuhan Kesihatan Dunia.
Peningkatan rejimen rawatan lebih pendek dan sepenuhnya oral akan menjadi kritikal bagi menarik orang ramai untuk mendapatkan rawatan dan sembuh. Namun ini hanya boleh berlaku jika ubat digunakan dalam rejimen ini berpatutan. Harga untuk bedaquiline dan delamanid, yang sedang digunakan dalam percubaan PRAKTIKAL dan/atau endTB dan endTB-Q kami, masih terlalu tinggi untuk kegunaan berskala luas di banyak negara beban tinggi, dan ia mesti diturunkan.
Seperti PRACTECAL, ujian endTB dan endTB-Q juga melihat pada rejimen lebih pendek, selamat dan berkesan, termasuk pada pesakit bawah umur. Kepentingannya dilihat berganda berikutan algoritma baharu yang disyorkan WHO untuk mendiagnosis TB pada kanak-kanak.
Pesakit DRTB (Tuberkulosis Rintang Ubat) berusia tujuh tahun sedang diberi ubat TB oleh ibunya. India, Februari 2022. © Prem Hessenkamp
Kesan retorik anti-NGO terhadap aktiviti Doctors Without Borders
Di beberapa bahagian dunia, pasukan kami terus menerima kesan daripada anti-terorisme dan retorik anti-NGO. Empat rakan sekerja dari pasukan kami di wilayah Barat Daya, Cameroon, ditangkap dan didakwa bersubahat dengan pemisah selepas mereka mengangkut seorang pesakit dengan luka tembakan dalam ambulans ke hospital di Mamfe. Mereka menghabiskan antara 10 bulan dan setahun lebih dalam penjara, sebelum dibebaskan di mahkamah pada akhir Disember. Disebabkan kekurangan jaminan untuk keselamatan kami, kami terpaksa menangguhkan dahulu, sebelum menutup projek kami di Mamfe, yang mengurangkan lagi ketersediaan penjagaan kesihatan di kawasan dengan keperluan yang cukup besar.
Akses kepada penjagaan kesihatan kekal menjadi isu di Tigray, dan bahagian lain di Ethiopia, selepas pembunuhan rakan kami María, Yohannes and Tedros pada Jun 2021. Sejak itu, kami berusaha tanpa henti untuk memahami sepenuhnya keadaan di sebalik apa yang berlaku kepada rakan sekerja kami dan mendapatkan pengakuan tanggungjawab terhadap kejadian yang membawa kepada pembunuhan mereka. Walaupun pelaburan besar dibuat dalam penglibatan dua hala dengan pihak berkuasa, kekurangan kemajuan dalam mendapatkan jawapan mencukupi menyebabkan Doctors Without Borders Sepanyol menarik diri dari negara itu.
Di Afghanistan, Emiriah Islam Afghanistan (juga dikenali Taliban) menarik kebebasan wanita sejak mengambil alih semula kuasa pada Ogos 2021. Pada Disember, fatwa dikeluarkan menyekat akses kanak-kanak perempuan dan wanita kepada pendidikan, serta melarang pekerja NGO wanita, dengan pengecualian tidak rasmi bagi mereka yang bekerja dalam penjagaan kesihatan. Meskipun boleh mengekalkan wanita dalam pasukan kami - buat masa ini - kami amat bimbang tentang jangka masa panjang, kerana pelajar perubatan wanita tidak dapat menamatkan pendidikan mereka untuk menjadi doktor, jururawat dan pakar yang sangat diperlukan oleh sistem kesihatan negara.
Pasukan kami menyaksikan penyampaian bantuan di beberapa tempat, termasuk di Mali dan Niger dianggap jenayah. Ini amat menyukarkan usaha untuk sampai kepada mereka yang terperangkap dalam konflik di wilayah sempadan Sahel di Niger, Mali dan Burkina Faso.
Kerja kami ada risikonya, dengan kakitangan bekerja di bawah ancaman serangan, penculikan atau penahanan. Walaupun menghadapi cabaran di bahagian Sahel ini, dan di tempat lain yang kami bekerja pada 2022, pasukan kami berjaya memastikan penjagaan yang menyelamatkan nyawa sampai kepada jutaan orang. Namun tugas ini tidak mungkin dapat dilakukan tanpa sokongan hampir 7 juta penderma kami, yang mana kami berterima kasih kepada mereka.