Yaman: Talian hayat buat bakal ibu di Pantai Barat
Doktor Azhar, pakar sakit puan, berbicara dengan Altaf al Wahidi dan Noria al Wahidi, bidan yang juga adik-beradik, mengenai pengalaman mereka merawat pesakit di wad bersalin Doctors Without Borders di Hospital Umum Mocha, Yaman, November 2024. © Julie David de Lossy/MSF
Pada Julai 2024, Doctors Without Borders telah mengintegrasikan perkhidmatan bersalin kami ke dalam Hospital Besar Mocha bagi memperluaskan akses kepada penjagaan kesihatan ibu yang lebih baik. Usaha ini bertujuan untuk memastikan wanita yang menetap di sepanjang Pantai Barat Yaman, yang berdepan pelbagai cabaran dalam mendapatkan rawatan yang mencukupi, menerima penjagaan bersalin yang sewajarnya.
"Saya pernah beritahu suami bahawa saya tidak akan mampu bertahan melahirkan anak lagi kerana saya menghidap penyakit kencing manis," luah Negah Abdallah Ali. Namun, hari ini, beliau selamat melahirkan bayi lelaki yang sihat, Ashraf, di wad bersalin Doctors Without Borders di Hospital Besar Mocha.
Di pesisir barat Yaman, mentari petang Isnin menyinar terik. Di luar, suhu mencecah 35 darjah Celsius, namun di dalam bilik selepas bersalin, udara dingin daripada penghawa dingin memberikan kelegaan buat Negah dan ibu-ibu lain. Dari jendela hospital, kelihatan Lautan Merah yang bergelombang, melengkapkan pemandangan yang mendamaikan.
Selain menghidap penyakit kencing manis, Negah yang berusia 35 tahun juga mempunyai masalah tekanan darah tinggi. Kedua-dua keadaan ini meningkatkan risiko ketika kehamilan dan kelahiran. Beliau adalah antara ribuan wanita yang mendapatkan rawatan di wad bersalin Doctors Without Borders sepanjang kehamilan mereka. Seperti di kebanyakan negara yang dilanda konflik, sistem kesihatan di Yaman telah lumpuh, menyebabkan wanita dan kanak-kanak amat terdedah kepada komplikasi kesihatan. Di Mocha, salah satu kesan nyata daripada krisis ini adalah ketiadaan perkhidmatan kesihatan khusus untuk ibu mengandung.
Pada Julai 2024, Doctors Without Borders telah mengintegrasikan perkhidmatan bersalin ke dalam Hospital Am Mocha. Langkah ini membolehkan perluasan perkhidmatan yang ditawarkan, termasuk pembukaan wad obstetrik dan neonatal yang komprehensif. Kini, fasiliti bersalin ini mempunyai 28 katil bagi kelahiran dan penjagaan pasca kelahiran, termasuk katil untuk penjagaan neonatal serta rawatan rapi. Sebelum perpindahan ini, Doctors Without Borders menyediakan perkhidmatan bersalin melalui sebuah hospital lapangan yang dibangunkan di Mocha sejak tahun 2022.
Pantai barat Yaman merupakan kawasan luar bandar yang bersempadan dengan garis hadapan di utara dan timur. Wanita hamil yang mengalami kehamilan berisiko tinggi atau komplikasi sering kali terpaksa menempuh perjalanan sejauh tiga jam untuk mendapatkan rawatan di Hospital Am Mocha. Dianggarkan sebanyak 15 peratus kelahiran akan mengalami komplikasi obstetrik yang, jika tidak dirawat dengan segera, boleh mengancam nyawa.
Malangnya, risiko dan komplikasi yang dihadapi oleh wanita di kawasan ini sebenarnya boleh dicegah. Namun, tanpa penjagaan antenatal dan postnatal yang berterusan serta mudah diakses, kehamilan menjadi lebih berbahaya. Pusat kesihatan di kawasan ini bukan sahaja kekurangan kelengkapan asas dan tenaga perubatan terlatih, malah bilangannya juga amat terhad. Oleh itu, ramai wanita terpaksa menempuh perjalanan jauh di atas jalan yang tidak sempurna demi mendapatkan rawatan yang mereka perlukan.
Altaf al Wahidi, seorang bidan Doctors Without Borders, sedang memberikan sokongan kepada Negah Abdallah Ali, 35, sepanjang proses bersalinnya. Altaf, 28, berasal dari Hays dan menerima latihan dalam bidang kebidanan di Hodeidah. Yaman, November 2024. © Julie David de Lossy/MSF
"Lokasi hospital bersalin ini amat penting kerana kami merangkumi kawasan yang luas di pantai barat," ujar Altaf Al Wahidi.
Komplikasi yang dialami oleh wanita hamil dapat ditangani oleh hospital dan staf perubatannya, sekiranya pesakit tiba tepat pada masanya. Namun, Ann Van Haver menegaskan bahawa kemudahan rawatan awal yang lebih dekat dengan kediaman perlu disediakan. Dengan mengambil kira jumlah penduduk di pantai barat, dianggarkan sekitar 1,300 wanita melahirkan setiap bulan.
“Ketika ini, kira-kira 250 kelahiran berlaku di hospital kami,” jelas Van Haver. “Ini bermakna terdapat seribu lagi kelahiran setiap bulan yang berlaku di tempat lain. Malangnya, kebanyakannya bukan di fasiliti kesihatan. Akibatnya, kami melihat lebih banyak komplikasi yang memerlukan rawatan invasif.”
Pelbagai faktor menyukarkan wanita untuk mendapatkan rawatan di hospital di pantai barat—kesan perpindahan akibat konflik yang berterusan, sekatan jalan raya yang banyak, keadaan ekonomi yang meruncing, serta keperluan mendapatkan kebenaran rasmi daripada ahli keluarga lelaki untuk sebarang prosedur perubatan, termasuk pembedahan caesarean. Keadaan ini menyebabkan ramai ibu hamil terpaksa bersalin dalam persekitaran yang tidak selamat, sekali gus mempertaruhkan nyawa mereka serta bayi yang bakal dilahirkan.
Dr. Reem meninjau pesakit di unit rawatan rapi wad bersalin di Hospital Besar Mocha, Yaman, November 2024. © Julie David de Lossy/MSF
Fatema (bukan nama sebenar), seorang remaja berusia 16 tahun, segera ke hospital sebaik sahaja merasakan tanda-tanda bersalin. Namun, proses kelahirannya tidak menunjukkan perkembangan seperti yang diharapkan. Setelah beberapa jam, dia pulang ke rumah, tetapi tidak lama kemudian, dia bersalin dengan bantuan ibunya.
"Proses kelahiran berjalan lancar, dan bayi saya selamat. Namun, saya mengalami pendarahan selepas bersalin," ujar Fatema. "Keesokan paginya, saya kembali ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya bagi menghentikan pendarahan. Saya bersyukur dan lega kerana kesakitan telah hilang, dan saya akan dibenarkan pulang tidak lama lagi untuk bertemu bayi saya."
Di wad selepas bersalin, Fatema menerima kunjungan daripada pendidik kesihatan, Bashira Seqek, yang memberi penerangan mengenai kesan toksik paracetamol, manfaat penyusuan susu ibu, serta perancangan keluarga. Sementara itu, di koridor, suaminya, Ali Abdallah Ali, memegang bayi lelaki mereka yang baru berusia sehari dengan penuh kebanggaan di matanya.
Seorang bayi yang baru lahir tidur di sisi ibunya sebelum mereka dibenarkan pulang, enam jam selepas bersalin. Yaman, November 2024.© Julie David de Lossy/MSF
Sejak unit bersalin dibuka di Mocha, segala keperluan kini tersedia, dan saya amat bersyukur,” kata Ali. “Saya yakin sepenuhnya terhadap perkhidmatan yang disediakan. Di kampung saya, semua orang tahu bahawa di sinilah tempat yang harus dituju untuk mendapatkan penjagaan ibu dan anak.”
Di sebalik pintu, di kawasan yang hanya dikhususkan untuk wanita, wad bersalin menjadi ruang penuh maruah dan kebersamaan, berdenyut dalam ritma kerja bidan yang penuh dedikasi.
Sejak perkhidmatan ini dipindahkan ke Hospital Umum Mocha, lebih daripada 1,600 wanita telah selamat melahirkan anak di wad ini.