Skip to main content

DRC: Doctors Without Borders merayu akses kemanusiaan ketika mangsa memerlukan rawatan perubatan

People arriving in Goma after having fled armed clashes in North and South Kivu.

Penduduk tiba di Goma selepas melarikan diri dari pertempuran bersenjata di Kivu Utara dan Kivu Selatan, Republik Demokratik Congo, Januari 2025. © Jospin Mwisha

Pertempuran sengit antara kumpulan bersenjata M23, tentera Congo dan sekutu masing-masing telah sampai ke pusat bandar Goma awal minggu ini, menyebabkan keadaan huru-hara serta kesan yang genting kepada penduduk. Selama beberapa hari, Goma terputus hubungan dengan dunia luar, sementara mangsa pertempuran terus berpusu-pusu mendapatkan rawatan di fasiliti perubatan apabila berpeluang.

Malangnya, keganasan ini turut menjejaskan kemudahan kemanusiaan dan perubatan. "Di Hospital Kyeshero, sebutir peluru telah menembusi bumbung bilik pembedahan semasa operasi dijalankan" kata Virginie Napolitano, Koordinator Kecemasan Doctors Without Borders di Kivu Utara, yang kini berada di Goma.

Beberapa stok peralatan dan ubat-ubatan kami telah diceroboh dan dicuri, menjejaskan bantuan perubatan yang kami sediakan di dalam dan luar Goma. Insiden rompakan bersenjata ini turut menimpa rakan-rakan sekerja kami di Goma, di mana salah seorang daripada mereka telah mengalami kecederaan akibat tembakan ketika serangan di kediamannya. Selain itu, organisasi lain serta kemudahan perubatan turut menjadi sasaran serangan. Kejadian seperti ini sama sekali tidak boleh diterima.
Virginie Napolitano, Penyelaras Kecemasa

Walaupun keadaan semakin meruncing, pasukan Doctors Without Borders terus berkhidmat di Hospital Kyeshero, yang kini sesak dengan kemasukan pesakit yang cedera. Operasi ini dilakukan bagi menyokong Hospital Ndosho, di mana pasukan daripada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) turut menjalankan tugas kemanusiaan mereka.

Sejak Khamis lalu, seramai 142 pesakit telah menerima rawatan. Pada hari Selasa sahaja, Doctors Without Borders menerima 37 orang yang cedera, separuh darinya adalah orang awam—kebanyakannya wanita. Sebahagian besar kecederaan berpunca dari serpihan letupan, manakala yang lain mengalami luka akibat tembakan.

Sejak hari Jumaat, penduduk setempat terpaksa berdepan dengan gangguan bekalan air dan elektrik yang berterusan. Penyediaan makanan yang disalurkan oleh Doctors Without Borders kepada pesakit dan keluarga mereka kini dalam keadaan genting kerana ketidakstabilan keselamatan, risiko rompakan, serta penutupan jalan menghalang pasukan kami daripada menambah stok makanan, yang hanya cukup untuk tempoh dua hingga tiga hari sahaja.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, keadaan keselamatan yang semakin memburuk serta pertempuran sengit telah memaksa Doctors Without Borders mengurangkan jumlah pasukan aktif di Goma serta di kem-kem pelarian dalam negeri (IDP) di pinggir bandar tersebut. Namun, keperluan perubatan dan kemanusiaan di dalam dan sekitar Goma terus meningkat. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, puluhan ribu orang telah berpindah ke kawasan yang sudah dihuni oleh 650,000 pelarian selama lebih dua tahun. Malangnya, pertempuran yang semakin hebat telah memaksa sebahagian dari penghuninya meninggalkan kem-kem perlindungan mereka.

Berikutan pertempuran yang berterusan, kesannya terhadap penduduk awam amat besar. Selain jumlah yang tercedera dan terkorban, kami menerima laporan yang membimbangkan dari kem-kem pelarian dalam negeri yang kini tidak lagi dapat diakses oleh pasukan kami. Di tapak pelarian Kanyaruchinya, pusat kesihatan yang kami sokong masih beroperasi, namun pasukan perubatan telah menyaksikan dua kanak-kanak meninggal dunia minggu ini kerana mereka tidak dapat dipindahkan ke mana-mana hospital.
Stephan Goetghebuer, Ketua Program
People arriving at the Kituku Port in Goma. They are fleeing the ongoing fightings in North and South Kivu.

Penduduk tiba di Pelabuhan Kituku, Goma, selepas melarikan diri daripada pertempuran yang berterusan di wilayah Kivu Utara dan Kivu Selatan. Republik Demokratik Congo, Januari 2025. © Moses Sawasawa

Doctors Without Borders sedang bersiap-sedia untuk menghantar pasukan kembali ke Goma bagi menilai keupayaan respons susulan kejadian penjarahan yang berlaku dalam beberapa hari terakhir. Langkah ini bertujuan untuk menambah semula bekalan serta mempertingkatkan bantuan kecemasan secepat mungkin. Salah satu laluan berpotensi untuk pergerakan ini adalah Great Barrier yang memisahkan Republik Demokratik Congo dan Rwanda, dengan syarat pergerakan peralatan serta pasukan kemanusiaan antara kedua-dua negara dipermudahkan dan dijamin keselamatannya.

Seiring dengan keadaan yang semakin meruncing, Doctors Without Borders menyeru pihak-pihak yang bertelagah agar lebih bertanggungjawab dalam melindungi orang awam serta mematuhi prinsip asas undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya dalam menghormati misi perubatan. Selain itu, Doctors Without Borders menuntut jaminan akses kemanusiaan yang diperlukan bagi membolehkan bantuan perubatan disalurkan kepada penduduk yang terjejas.

Di luar Goma, pasukan Doctors Without Borders masih menjalankan operasi di beberapa kawasan lain di Kivu Utara dan Kivu Selatan yang turut terkesan akibat konflik.