Skip to main content

Fasiliti Doctors Without Borders dirompak, aktiviti perubatan dihalang keganasan di Sudan

Doctors Without Borders vehicles stripped of its tires after the warehouse in Khartoum was looted and occupied by armed men. Sudan, May 2023. © MSF

Tayar kenderaan Doctors Without Borders dilarikan selepas gudang di Khartoum dirompak dan ditawan angkatan bersenjata. Sudan, Mei 2023. © MSF 

Doctors Without Borders, yang menjalankan projek perubatan di sepuluh negeri di Sudan, cuba meningkatkan aktiviti perubatannya sejak pertempuran sengit meletus antara tentera Sudan dan Rapid Support Forces pada 15 April. Usaha ini sentiasa dihalang keganasan, pencerobohan bersenjata yang agresif, rompakan atau pendudukan bersenjata ke atas premisnya, selain cabaran pentadbiran dan logistik. 

Doctors Without Borders menyeru semua pihak bertelagah untuk memastikan keselamatan kakitangan perubatan serta kemudahan kesihatan, membenarkan laluan yang selamat buat ambulans dan mereka yang mencari rawatan kesihatan serta memudahkan akses dan pergerakan pantas selain tanpa halangan untuk pekerja, organisasi dan bekalan kemanusiaan. Walaupun gencatan senjata di seluruh negara diumumkan antara pihak bertelagah pada 20 Mei, pengalamn lalu membuktikan di peringkat tempatan ia tidak selalu dihormati. 

“Kami kini berdepan pelanggaran prinsip kemanusiaan dan ruang untuk pekerja kemanusiaan semakin mengecil pada skala yang jarang saya lihat sebelum ini,” kata Jean-Nicolas Armstrong Dangelser Penyelaras Kecemasan Doctors Without Borders di Sudan. 

Selepas rompakan salah satu gudang perubatan kami di Khartoum peti sejuk dimatikan dan ubat-ubatan dikeluarkan. Keseluruhan rantaian sejuk beku terganggu menyebabkan ubat-ubatan rosak dan tidak boleh digunakan untuk tujuan rawatan. Kami tergamam dan terkejut dengan serangan yang menyedihkan ini. Orang ramai berada dalam keadaan terdesak dan keperluan untuk penjagaan kesihatan adalah kritikal, namun serangan ini menjadikannya lebih sukar bagi pekerja penjagaan kesihatan untuk membantu. Ia tidak masuk akal.
Jean-Nicolas Armstrong Dangelser

Beberapa insiden menjejaskan premis Doctors Without Borders di Sudan sejak konflik bermula, ini termasuk: 

  • Antara 16 dan 20 Mei sebuah gudang Doctors Without Borders di Khartoum dirompak dan dirampas dengan bekalan perubatan, bahan api serta kenderaan dicuri. Ubat-ubatan rosak. 

  • Antara 17 dan 23 Mei pejabat Doctors Without Borders di Zalingei, Darfur tengah, dirompak sepertimana Zalingei Teaching Hospital. Sebuah jana kuasa musnah dan bahan api didermakan Doctors Without Borders dicuri 

  • Pada 19 Mei, tiga kereta Doctors Without Borders dilarikan selepas lelaki bersenjata memasuki pejabat Doctors Without Borders di Khartoum. 

  • Pada 18 Mei sebuah rumah tamu Doctors Without Borders di Nyala, selatan Darfur, dirompak. Doctors Without Borders sudah sedia dipaksa menggantung aktiviti perubatannya di Darfur Selatan selepas perkarangan dan gudangnya dirompak secara ganas di Nyala pada 16 April, dengan dua kenderaan dicuri. Gudang Doctors Without Borders kekal diduduki pejuang bersenjata. 

  • Pada 11 Mei, sebuah pejabat Doctors Without Borders di Khartoum dirompak dengan dua kenderaan dicuri. 

  • Pada 4 Mei, sebuah pejabat Doctors Without Borders di El Geneina dirompak.   

  • Pada 26 April, El Geneina Teaching Hospital, di mana Doctors Without Borders menguruskan jabatan pediatrik dan pemakanan, turut dirompak dengan beberapa bahagian hospital rosak atau musnah. Hospital masih ditutup susulan serangan itu 

 

 Serangan ini tidak terhad kepada Doctors Without Borders bahkan ia sebahagian daripada trend serangan meluas daripada kedua-dua pihak bertelagah yang tidak menghiraukan nyawa masyarakat awam, infrastruktur serta kemudahan penjagaan kesihatan. Sehingga 22 Mei, WHO telah merekodkan 38 serangan ke atas penjagaan kesihatan sejak konflik bermula. Hospital dan pekerja penjagaan kesihatan dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, namun terdapat laporan mengenai pendudukan hospital oleh kumpulan bersenjata yang boleh melemahkan perlindungan mereka yang meletakkan pesakit, pekerja dan struktur penjagaan kesihatan dalam risiko. 

Ini berlaku ketika konflik memberi kesan buruk kepada penduduk di Sudan. Masyarakat di Khartoum, Darfur dan tempat lain di mana pertempuran paling sengit berlaku terus-menerus menderita dengan teruk ketika keganasan berterusan, dengan mereka yang cedera akibat tembakan, keganasan seksual, tikaman dan letupan. Pertempuran, serangan udara dan keganasan lain berdekatan kemudahan kesihatan boleh menyebabkan kedua-dua pesakit dan kakitangan terlalu takut untuk pergi ke sana. 

Boxes of ruined Oxytocin, medication used for for prevention and treatment of postpartum haemorrhage for women giving birth, after looters unplugged the fridges in Doctors Without Borders warehouse, as they needs to be kept under cold chain. Sudan, May 2023. © MSF

Beberapa kotak Oxytocin yang rosak, ubat yang digunakan untuk pencegahan dan rawatan pendarahan selepas melahirkan anak bagi wanita bersalin, selepas perompak mematikan peti sejuk di gudang Doctors Without Borders, kerana ia perlu disimpan di bawah bilik sejuk. Sudan, Mei 2023. © MSF 

 

Di seluruh negara, orang ramai berdepan kekurangan makanan dan air minuman, memaksa mereka bergerak untuk memenuhi keperluan asas masing-masing. Akses kepada sokongan kemanusiaan dan penjagaan kesihatan penting namun sistem penjagaan kesihatan Sudan sudah sedia bergelut dengan kekurangan bekalan penting. 

Cabaran pentadbiran dan logistik juga menghalang aktiviti perubatan Doctors Without Borders. Memindahkan bekalan dari satu bahagian Sudan ke bahagian lain boleh menjadi sangat sukar. Selain itu, meskipun Doctors Without Borders berupaya membawa pasukan kecemasan ke Sudan pada minggu pertama konflik, keadaan tetap sukar buat mereka mendapatkan kebenaran untuk pergi ke lokasi projek atau mendapatkan visa untuk membawa masuk kakitangan tambahan. 

Doctors Without Borders menjalankan projek perubatan di Al-Jazeera, El-Gedaref, Kassala, Khartoum, Laut Merah, Utara, Barat, Selatan dan Darfur Tengah, serta Blue Nile di Sudan. Ini termasuk merawat mereka yang cedera akibat perang di Khartoum dan Darfur Utara, menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan air serta sanitasi untuk pelarian dan mereka yang terlantar di Al-Gedaref dan Al-Jazeera serta menyediakan sumbangan perubatan dan bekalan lain kepada kemudahan kesihatan. Sebagai sebuah organisasi perubatan yang neutral, bebas dan tidak berpihak, Doctors Without Borders menyediakan penjagaan kesihatan kepada orang ramai berdasarkan keperluan perubatan mereka sahaja, merawat mereka yang paling memerlukan, tidak kira sama ada mereka berada di satu pihak dalam konflik atau yang lain.