Apa maksud tidak bernegara?
“Kami bergantung kepada bantuan makanan dan bimbang apa yang boleh diberi kepada mereka untuk dimakan dan apakah ia mencukupi. Beginilah cara kami meneruskan hidup - makan hanya separuh. Jika tidak, saya tidak boleh beli apa-apa untuk anak saya.” Tayeba Begum, pelarian Rohingya menggambarkan kehidupannya di kem. Bangladesh, Jun 2022. © Saikat Mojumder/MSF
Masyarakat seperti Rohingya dianggap "tidak bernegara" di bawah undang-undang antarabangsa. Tetapi apakah maksud istilah itu sebenarnya?
Penyelaras hal ehwal kemanusiaan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF), Gina Bark menerangkan konsep ketiadaan warganegara dan maksudnya kepada seseorang individu.
Individu tidak bernegara ialah seseorang yang tidak diiktiraf sebagai warganegara di bawah undang-undang mana-mana negara, yang bermaksud, secara ringkasnya, mereka tidak mempunyai kewarganegaraan. Ini bermakna anda bukan milik mana-mana negara dan anda tidak dilihat sebagai warganegara oleh mana-mana negara. Anda tidak diberikan perlindungan undang-undang sama sekali dan anda dinafikan hak asasi. Anda tidak mempunyai hak kepada mana-mana hak yang dikaitkan dengan kewarganegaraan. Itu termasuk hampir semua aktiviti asas dan harian, hak untuk pendidikan, penjagaan kesihatan, pekerjaan, perumahan, malah perkahwinan, kebebasan bergerak dan penyertaan politik.
Jika anda berfikir sejenak mengenainya dalam kehidupan anda sendiri, ini sebenarnya perkara yang kita ambil mudah setiap hari. Ia adalah asas kehidupan. Bayangkan anda tidak dapat menghantar anak ke sekolah. Anda tidak boleh membuka akaun bank. Anda tidak mempunyai hak untuk memohon atau keupayaan untuk bekerja, tiada keupayaan untuk mendapatkan penjagaan kesihatan, tiada cara untuk menyewa atau memiliki rumah. Tiada hak untuk berkahwin secara sah dan tiada hak untuk mengundi.
Rohingya dan keadaan tidak bernegara
Rohingya tinggal di kawasan berbeza, namun kebanyakannya di Bangladesh, Myanmar dan Malaysia. Bagi Rohingya di Bangladesh, disebabkan mereka tidak mempunyai kewarganegaraan dan situasi yang mereka hadapi, mereka terpaksa tinggal di kem tertutup. Kem ini dikelilingi kawat duri dan pagar yang tajam. Mereka tidak bebas bergerak di luar atau dalam kem, yang mana ia satu dasar dikuatkuasakan pusat pemeriksaan polis dan tentera. Mereka mempunyai akses terhad kepada penjagaan kesihatan, peluang kerja dan pendidikan.
Ketiadaan status undang-undang di negara seperti Malaysia bermakna mereka tidak boleh mendapat pendidikan sewajarnya. Mereka tidak boleh mempunyai pekerjaan sah dan akibat daripada itu, ramai akhirnya menjalankan apa yang digelar sebagai pekerjaan "3D" - pekerjaan berbahaya, sukar dan kotor. Di Myanmar, disebabkan kekurangan status dan hak, mereka menghadapi sekatan serius apabila mahu mengakses sebarang jenis perkhidmatan asas. Ia membabitkan penjagaan kesihatan, pendidikan dan mata pencarian.
Kekurangan status undang-undang ini dan ketidakupayaan untuk diberikan apa-apa jenis perlindungan bermakna mereka yang tidak bernegara dan khususnya Rohingya, sangat terdedah kepada eksploitasi dan penderaan termasuk pemerdagangan, keganasan, keganasan seksual, buruh paksa dan penahanan sewenang-wenangnya.
Seperti diungkapkan seorang Rohingya: “Kami tidak lebih sekadar mayat yang berjalan. Dunia dicipta untuk semua orang hidup. Hari ini kita tidak mempunyai negara sendiri, walaupun kita manusia.” Rohingya, seperti yang mereka nyatakan, sering merasakan kurang berbanding manusia. Seorang lelaki berusia 65 tahun berkata: “Saya bertanya kepada dunia - saya berkata kepada dunia, kami sama seperti anda. Kami meminta dunia membantu kami hidup sebagai manusia. Harapan saya untuk mempunyai hak dan keamanan.”
Seorang Rohingya berdiri di hadapan rumah perlindungan asas tanpa air yang mengalir di mana dia dan keluarganya tinggal. Malaysia, 2019. © Arnaud Finistre
Bagaimana seseorang menjadi tidak bernegara?
Seseorang boleh menjadi tidak bernegara sejak lahir atau atau mereka boleh menjadi seseorang yang tidak bernegara. Dalam sesetengah keadaan, diskriminasi terhadap kumpulan minoriti tertentu boleh menjadi punca, dan ini berlaku dengan Rohingya. Rohingya adalah kumpulan minoriti Islam dari negeri Rakhine, Myanmar. Mereka juga penduduk tidak bernegara yang terbesar di dunia, dan ini disebabkan peruntukan dan pemakaian undang-undang kewarganegaraan Myanmar 1982 yang terhad. Undang-undang ini pada asasnya mengaitkan kewarganegaraan dengan keahlian kaum kebangsaan - yang mana Rohingya tidak dianggap sebahagian daripadanya.
Rohingya di Myanmar dilucutkan kewarganegaraan dan kerana ini mereka terus mengalami diskriminasi yang berakar umbi baik dari segi undang-undang mahupun dalam amalan. Mereka dinafikan hak asasi. Mereka terdedah pengasingan, mereka terkepung dalam kem dan kampung. Mereka terputus akses kepada makanan mencukupi, penjagaan kesihatan, pendidikan dan mata pencarian mereka. Dan mereka menderita penganiayaan. Rohingya hidup melalui kitaran ketakutan yang berterusan. Mereka tertakluk kepada keganasan tentera termasuk pembunuhan, penyeksaan, keganasan seksual, pemusnahan harta benda, pembakaran kampung dalam banyak kes, seluruh kampung telah dibakar. Akibat keganasan dan penganiayaan ini, Rohingya terpaksa hidup sebagai pelarian di seluruh Rakhine, selain merentasi sempadan ke Bangladesh.
Apa sejarah berkaitan tidak bernegara?
Artikel 15 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat mengatakan setiap orang mempunyai hak untuk mendapat kewarganegaraan. Terdapat juga dua perjanjian penting: konvensyen 1954 yang berkaitan dengan Negara bagi Orang Tidak Bernegara dan Konvensyen 1961 mengenai Pengurangan Tidak Bernegara. Malangnya, banyak negara termasuk tempat tinggal Rohingya termasuk Bangladesh, Myanmar, dan Malaysia belum menandatangani perjanjian ini.
Rohingya bukan sekadar tidak bernegara, tetapi mereka juga penduduk tanpa negara terbesar di dunia hari ini. Terdapat orang tidak bernegara lain di beberapa negara berbeza, termasuk Burkina Faso, Mali, Ghana, Thailand, Iraq, Kuwait dan terdapat beberapa kumpulan tidak bernegara di seluruh Eropah.
Kaunselor Doctors Without Borders dalam perbincangan kajian kes kesihatan mental di jabatan pesakit luar Hospital on the Hill's di kem Kutapalong-Balukhali di daerah Cox’s Bazar. Bangladesh, 2022. © Saikat Mojumder/MSF
Apakah Rohingya menganggap diri mereka tidak bernegara?
Walaupun saya tidak boleh bercakap bagi pihak seluruh penduduk Rohingya, sudah tentu Rohingya menganggap diri mereka dilucutkan kerakyatan di tanah air sendiri iaitu Myanmar, mereka mempunyai hubungan berakar umbi dan pemilikan ke atas rumah tempat mereka berasal.
Ia sebenarnya lebih kepada istilah undang-undang tetapi menggelar Rohingya tidak bernegara boleh menghalalkan apa yang sebenarnya telah dilakukan kerajaan Myanmar. Jadi, secara sah, ya, Rohingya tidak bernegara, tetapi pada hakikatnya, mereka dimiliki tanah air, berhubung kait dengan beberapa generasi yang pernah tinggal di sana.
Rohingya telah dinafikan kewarganegaraan selama 40 tahun kini dan ia disebabkan undang-undang kewarganegaraan Myanmar yang mendiskriminasi ini.
Tahun ini menandakan lima tahun sejak kempen keganasan terbaharu dilancarkan tentera Myanmar terhadap Rohingya di Negeri Rakhine, yang secara paksa menyebabkan lebih 770,000 pelarian berpindah ke Cox's Bazar di Bangladesh dalam tempoh beberapa bulan. Keadaan kekal teruk di kem terbabit selain dalam Rakhine dan dalam Myanmar.
Walaupun terdapat peningkatan kesedaran mengenai nasib Rohingya dan ia telah dibangkitkan sejak lima tahun lalu, mereka masih kekal hidup sebagai pelarian, teraniaya, sangat terdedah kepada eksploitasi dan pada dasarnya tiada sesiapa melindungi mereka dan tiada tempat untuk pergi.
Penyelesaian yang berkekalakn, jangka panjang dan pelan penyelesaian kekal diperlukan untuk membolehkan Rohingya hidup, seperti manusia, dengan hak asasi.
Gina Bark adalah Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan untuk Doctors Without Borders.