Skip to main content

Myanmar di pinggir jurang: Sebuah populasi dalam keperluan yang mendesak

Myanmar

"Kem Perumahan Orang Terlantar Dalaman (IDP) di Rathedaung, bahagian utara negeri Rakhine, menempatkan komuniti orang Rakhine. Oktober 2023. © Zoe Bennell/MSF

Sebagai seorang penggiat kemanusiaan, saya menyaksikan krisis di Afrika dan Timur Tengah, didorong oleh konflik dan perpindahan berskala besar. Bagaimanapun, kunjungan saya ke Myanmar baru-baru ini benar-benar membuka mata saya kepada krisis kemanusiaan yang berlaku dengan cukup pantas. Disebabkan perang saudara yang semakin memuncak, sebahagian besar negara hari ini berada dalam situasi huru-hara, satu pertiga daripada populasinya sangat memerlukan bantuan kemanusiaan dengan kadar segera. Tiga juta orang terpaksa meninggalkan kediaman demi memastikan mereka terselamat daripada keganasan. Sepertimana diperkatakan seorang penduduk kepada Doctors Without Borders, “Beribu-ribu orang cuba untuk berpindah tetapi ramai yang terbunuh atau tercedera. Keganasan masih lagi berterusan.” Awal Ogos ini, pasukan kami di Bangladesh menerima peningkatan jumlah penduduk Rohingya yang cedera, 40 peratus daripadanya wanita dan kanak-kanak, yang mana mereka ini sekali lagi dipaksa melarikan diri dari Myanmar disebabkan keganasan.

Doctors Without Borders telah bekerja di Myanmar selama lebih 30 tahun menyediakan bantuan perubatan kemanusiaan daripada penjagaan kesihatan asas kepada rawatan HIV dan juga penjagaan mental. Susulan pengambilalihan oleh tentera pada 2021, pasukan kami di lapangan menyaksikan konflik yang semakin meruncing yang memberi kesan kepada kesihatan awam selepas ribuan profesional perubatan meninggalkan pekerjaan mereka. Situasi ketidakamanan dan keganasan yang meluas, serta kekangan pentadbiran telah menghalang penghantaran bekalan dan akses kemanusiaan, seterusnya mengehadkan ketersediaan penjagaan kesihatan di negara ini.

Myanmar

©MSF

Di Yangon selaku bandar terbesar di Myanmar, Doctors Without Borders menyokong premis yang kini menjadi satu-satunya hospital tuberkulosis (TB) yang berfungsi di Myanmar, di mana hampir 50 peratus pesakit di negara ini yang menghidap TB rintang dadah menerima rawatan. Bagaimanapun, sekatan ke atas bantuan kemanusiaan yang ditetapkan pihak berkuasa memberi kesan serius kepada kapasiti hospital untuk beroperasi seperti sebelum ini. Beberapa wad hospital telah ditutup dan peralatan tidak diganti. Hospital itu juga menghadapi krisis sumber manusia yang ketara apabila kakitangannya menyertai gerakan ketidakpatuhan sivil selepas rampasan kuasa 2021, sekali gus menjejaskan keupayaannya untuk merawat pesakit. Doctors Without Borders juga bimbang dengan pesakit TB / HIV di utara Shan dan Kachin yang telah diserahkan kepada program TB kebangsaan memandangkan sebarang gangguan rawatan boleh mengakibatkan rintangan dan/atau menyebabkan keadaan mereka merosot.

Di Yangon, saya bertemu sukarelawan Doctors Without Borders dari komuniti etnik Rohingya yang berjalan kaki selama beberapa hari, untuk menyelamatkan diri daripada keganasan yang semakin meningkat di Buthidaung, Rakhine. Orang awam terperangkap di tengah-tengah konflik, terkena peluru sesat dan serangan yang disasarkan/secara sembarangan, dengan rumah dan harta benda mereka musnah akibat kebakaran yang meluas. Ramai daripada mereka berulang kali terpaksa melarikan diri manakala golongan lelaki bimbang direkrut secara paksa oleh semua pihak yang bertelagah. Sehingga 10 Ogos 2024, pasukan Doctors Without Borders di Bangladesh merawat 50 Rohingya yang cedera akibat peperangan, yang mana 18 daripadanya kanak-kanak, yang tiba dari Myanmar. Peningkatan kes kecederaan berkaitan keganasan, termasuk kecederaan akibat peluru mortar dan luka tembakan, menunjukkan krisis kemanusiaan di Rakhine semakin teruk.

Peningkatan keganasan di Rakhine, Kachin dan Shan sejak lewat 2023 benar-benar menjejaskan secara teruk aktiviti perubatan Doctors Without Borders. Pejabat dan farmasi kami di Buthidaung, Rakhine telah terbakar pada April - bersama ubat-ubatan yang menyelamatkan nyawa di dalamnya. Pemberhentian gencatan senjata yang berlangsung selama setahun selepas dimeterai pada November 2022 menyebabkan pengurangan drastik dalam konsultasi bulanan pesakit luar Doctors Without Borders di Rakhine, menjunam daripada 6,684 pada September 2023 kepada hanya 81 pada Mac 2024. Kami juga dimaklumkan mengenai peningkatan kematian ibu dan neonatal sejak 2023, memberi isyarat mengenai pelbagai halangan dalam penjagaan kesihatan

Myanmar

Burnt wreckage of Doctors Without Borders office in Buthidaung following increased conflict in the area which has destroyed homes and buildings including the Doctors Without Borders office.April 2024 © MSF

Seperti kebanyakan pertubuhan kemanusiaan lain, mustahil sekali untuk Doctors Without Borders menyediakan penjagaan kesihatan penting kepada orang ramai di kawasan yang dikawal oleh kumpulan bersenjata etnik berikutan sekatan pergerakan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Doctors Without Borders pernah menguruskan 25 klinik bergerak di Rakhine, namun semua aktiviti ini sebahagian besarnya digantung selama 8 bulan disebabkan konflik. Semasa saya melawat Sittwe, pasukan Doctors Without Borders baru sahaja menerima kebenaran perjalanan ke sekurang-kurangnya satu kawasan, membolehkan kami menemui sebahagian pesakit. Beratus-ratus pesakit, termasuk wanita hamil dari kedua-dua komuniti Rohingya dan Rakhine, datang ke klinik kami untuk mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan yang penting. Penyambungan semula aktiviti ini sekadar menangani sebahagian kecil daripada keperluan perubatan yang besar. Namun keperluan perubatan dan kemanusiaan yang lebih besar di bahagian lain Rakhine dan negara ini masih tidak dipenuhi.

Doctors Without Borders berpegang kepada sikap berkecuali dan saksama atas nama etika perubatan sejagat dan hak untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan. Kami menyasarkan kebebasan penuh dan tanpa halangan dalam penyediaan penjagaan perubatan yang sangat diperlukan. Namun bagaimana untuk kami berpegang teguh pada prinsip-prinsip kami sambil menjangkau mereka yang paling memerlukan bantuan kami di Myanmar?

Keadaan kemanusiaan di Myanmar lebih serius berbanding sebelum ini. Usaha diplomatik yang berterusan oleh Jepun, China, India serta Thailand dan negara ASEAN lain amat diperlukan untuk membolehkan organisasi kemanusiaan kembali menerima akses kepada mereka yang memerlukan. Tambahan pula, semua pihak yang terbabit dalam konflik mesti melindungi orang awam dan kemudahan perubatan. Penderitaan rakyat Myanmar, di mana lebih 18 juta tidak dapat memenuhi keperluan asas mereka termasuk akses kepada rawatan perubatan, tidak boleh diabaikan.

Shinjiro Murata
General Director of Doctors Without Borders Japan

Shinjiro Murata ialah Ketua Pengarah Doctors Without Borders Jepun. Sejak menyertai Doctors Without Borders pada tahun 2005, beliau telah bekerja dalam pelbagai projek lapangan Doctors Without Borders termasuk di Syria, Sudan Selatan, dan Yaman sebagai Ketua Misi..