Ukraine: Di Odessa, “semua orang bersedia untuk yang lebih buruk”
Pemandangan Odessa dari kereta dipandu kakitangan Doctors Without Borders. Ukraine, Mac 2022. © MSF
Carla Melki, koordinator kecemasan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF), baru pulang dari bandar pelabuhan Odessa di selatan Ukraine. Di sana dia sebahagian daripada pasukan Doctors Without Borders yang melakukan penilaian keadaan untuk membantu merancang aktiviti kami sebagai tindak balas kepada perang di negara ini.
Dari Moldova, negara jiran tempat pelarian melarikan diri, dia menerangkan kebimbangan ditimbulkan serangan Russia dan keutamaan untuk campur tangan Doctors Without Borders.
Bagaimana keadaan di Odessa?
Sebahagian daripada penduduk melarikan diri dari bandar menuju sempadan Moldova. Mereka yang tinggal tidak banyak bergerak. Walaupun begitu, bergerak di sekitar adalah rumit kerana kesesakan lalu lintas di sekitar pusat pemeriksaan pasukan keselamatan Ukraine yang sangat banyak di bandar itu. Terdapat perintah berkurung pada waktu malam dan siren berbunyi beberapa kali sehari. Semasa kami berada di sana, kami mendengar beberapa letupan di kejauhan, tetapi kami tidak tahu apa yang menyebabkannya atau dari mana ia datang.
Kebanyakan kedai ditutup, penjualan alkohol dilarang, bahan api dikenakan catuan, dan pengeluaran tunai adalah terhad.
Bandar ini jelas bersiap sedia untuk serangan dan pengepungan. Dengan hampir satu juta penduduk, Odessa adalah bandar ketiga terbesar di Ukraine. Ia juga menempatkan salah satu pelabuhan paling strategik di negara ini. Jadi tiada siapa yang mempunyai ilusi tentang apa yang akan berlaku seterusnya. Semua orang sedang bersiap sedia untuk yang terburuk.
Bagaimanakah persediaan sistem kesihatan bandar ini terhadap serangan Russia?
Sistem penjagaan kesihatan sudah sedia terganggu disebabkan peperangan, dan kesannya sudah dirasai dalam rantaian bekalan. Sebagai contoh, penghantaran makanan panas untuk pesakit hospital terganggu. Pertempuran menghalang penghantaran dari bandar
Mykolaiv di mana ia biasanya disediakan. Akibatnya, kami tertanya-tanya sama ada untuk menyokong hospital dengan menyediakan makanan siap untuk pesakit.
Sesetengah ubat juga mula kehabisan, dan tidak boleh dipesan melalui saluran biasa kerana peringkat pusat tidak lagi mampu membekalkannya kepada seluruh negara. Setiap wilayah atau bandar besar cuba mencari alternatif. Kami membantu dengan ini; sumbangan pertama ubat-ubatan dan peralatan perubatan tiba semalam (Ahad, 6 Mac) di Odessa dari Romania, dan kami berharap untuk menderma sebahagian daripadanya kepada hospital di Mykolaiv. Namun jelas, di seluruh negara, kekurangan ubat-ubatan dan peralatan sudah menjadi masalah besar, dan keadaan akan menjadi lebih buruk.
Sebagai tambahan kepada kesan langsung peperangan, impak kepada pesakit yang menghidap penyakit kronik - kanser atau diabetes, sebagai contoh - berkemungkinan besar mengundang malapetaka.
Bagaimana keadaan di sempadan Moldova?
Menurut pihak berkuasa Moldova, kira-kira 120,000 pelarian dari Ukraine sudah pun tiba di negara itu. Bagi penduduk wilayah Odessa, lintasan sempadan terdekat ialah Palanca, kira-kira dua jam menaiki kereta dari bandar. Namun kini, ia kadangkala mengambil masa lebih 24 jam untuk menyeberangi sempadan. Di pos sempadan, pihak berkuasa Moldova memisahkan warganegara mereka daripada warganegara lain, namun semua orang dibenarkan untuk melintas.
Orang paling kaya bergerak menaiki kereta, manakala ramai yang lain melarikan diri dengan bas dan kereta api. Sebahagian besar adalah wanita dan kanak-kanak. Berhampiran sempadan, kesesakan lalu lintas beberapa kilometer terbentuk. Ramai memilih untuk meneruskan beberapa kilometer terakhir dengan berjalan kaki. Ia sangat sejuk. Selain keletihan dan kebimbangan, sesetengah orang mengalami kesan penyakit kronik yang tidak dirawat.
Sebaik tiba di sempadan, kebiasannya orang ramai perlu menerima rawatan segera. Kami berhasrat menubuhkan pos kesihatan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Moldova, supaya dapat memberikan pertolongan cemas dalam persekitaran yang selamat
dan hangat. Di bahagian sempadan Moldova, pihak berkuasa menyediakan kawasan penerimaan tetamu, kerana pelarian selalunya mengambil masa beberapa jam untuk mencari pengangkutan ke ibu kota, Chișinău dan seterusnya. Di sini juga, kami berhasrat menubuhkan tempat perlindungan untuk menyediakan bantuan psikologi dan sosial, terutamanya untuk mereka yang paling terdedah dan rapuh.
Bagaimana Doctors Without Borders merancang untuk membantu penduduk Odessa?
Di Odessa, kami focus kepada dua keutamaan. Pertama, kami akan membantu dengan penyediaan hospital untuk merawat mereka yang cedera. Kami percaya kami boleh menyediakan latihan, sokongan untuk triage, dan penstabilan pesakit. Kami juga sedang mempertimbangkan untuk membantu menyediakan pos perubatan lanjutan - bilik kecemasan kecil yang mampu memberikan pertolongan cemas kepada yang cedera, sebelum menghantar mereka ke hospital.
Kedua, kami bercadang membantu dengan bekalan ubat-ubatan bagi mengelak kekurangan. Selepas sumbangan pertama ubat-ubatan semalam, sumbangan lain akan menyusul pada hari-hari akan datang. Semua ini terhasil disebabkan perkongsian bersama Zidebine, sebuah NGO Romania yang membantu kami membeli dan menghantar ubat-ubatan ke Ukraine.
Dalam kedua-dua kes, kita tidak tahu berapa banyak masa yang tinggal sebelum bandar itu diserang. Kami cuba menyediakan sebanyak mungkin perkara, sementara masih boleh. Ia perlumbaan dengan masa.