Respon Doctors Without Borders terhadap pembangunan di Myanmar
Pemandangan dari luar klinik Thaketa dikendalikan Doctors Without Borders. © Lwyn Phyu Phyu Kyaw/MSF
Pasukan kami di Myanmar bekerja keras untuk mengekalkan akses kepada kelompok paling rentan serta memastikan penyediaan rawatan perubatan kepada yang memerlukan. Sejak bermulanya krisis, Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) mempersiapkan pasukan kecemasannya supaya dapat segera bertindak apabila diperlukan dan ketika tuntutan perubatan di lapangan menjangkaui kapasiti kemampuan tindak balas hospital.
Tanggal 28 Februari hari paling ganas di Myanmar sejak bermulanya rampasan kuasa tentera pada awal Februari dengan sekurang-kurangnya 18 kematian dilaporkan. Pada hari sama dan keesokan harinya, "Pasukan Persiapan Kecemasan" (Pasukan E-Prep) Doctors Without Borders mula bertindak balas di Yangon untuk menilai keperluan di lokasi tunjuk perasaan serta menyumbang bekalan perubatan ke hospital di Yangon dan di lokasi projek Doctors Without Borders lain.
Pasukan E-Prep Doctors Without Borders terdiri kakitangan perubatan dan kaunselor bertujuan memberi sokongan kepada kemudahan perubatan, sumbangan bekalan perubatan ke beberapa hospital juga dimulakan. Sementara itu, klinik Doctors Without Borders di Lashio menerima dan merawat empat mangsa dengan cedera ringan akibat tunjuk perasaan. Dawei, di Myanmar tenggara, juga menyaksikan konfrontasi dan korban ganas sejak beberapa hari terakhir. Pasukan Doctors Without Borders bertujuan menyasarkan untuk menyokong inisiatif komuniti dengan menyumbang bekalan perubatan serta alat pertolongan cemas, selain memperkukuh langkah pengurusan kecederaan dan korban jiwa. Pada masa sama, pasukan Doctors Without Borders ingin memastikan rawatan bagi pesakit HIV kami tidak terkesan akibat gangguan perkhidmatan kesihatan awam yang lebih luas.
Kami melihat peningkatan jumlah pesakit HIV positif dari Program AIDS Nasional (NAP) Kementerian Kesihatan dan Sukan (MoHS) yang kembali ke klinik Doctors Without Borders, di mana mereka pada awalnya dirawat, sebelum program ini diserahkan kepada MoHS tahun lalu, untuk isian semula ubat-ubatan dan konsultasi perubatan. Pesakit baharu juga mengunjungi klinik kami, kerana saat ini NAP tidak berfungsi. Sebagai tambahan, disebabkan banyak rumah sakit umum di Myanmar ditutup, kami sukar untuk merujuk pesakit ke hospital lebih besar bagi mendapatkan rawatan khusus.
Kami memantau kesan rampasan kuasa terhadap kakitangan serta pesakit kami dan melakukan yang termampu untuk meminimumkan risiko serta masalah akses yang timbul. Sementara kegiatan kami di Rakhine berjalan, penduduk Rohingya, terutama yang tinggal di lokasi pemindahan, tetap rentan terhadap gangguan perkhidmatan perubatan yang sudah berdekad melalui pengabaian, diskriminasi, keganasan dan penganiayaan. Kami menekankan dalam semua keadaan, dan tanpa mengira usia, agama atau fahaman politik, keutamaan kami adalah penyediaan rawatan untuk pesakit kami. Kami akan terus memberikan rawatan perubatan yang tidak berat sebelah kepada mereka yang paling rentan dengan kemampuan terbaik, serta sementara akses dan keadaan masih membenarkan penyediaan rawatan.