Skip to main content

Pembiayaan untuk Rohingya perlu ditambah apabila keperluan perubatan di kem meningkat

Bgrog

Penduduk Rohingya berjalan pulang ke tempat perlindungan mereka membawa bekalan dari pusat pengedaran. Akses kepada penjagaan kesihatan hanyalah secara berjalan kaki dan pengangkutan awam, dengan akses terhad kepada kenderaan kecemasan. Tapak pelarian, menempatkan sekurang-kurangnya sejuta orang, menjangkau jarak yang jauh. Pergunungan Myanmar boleh dilihat di latar belakang, mengingatkan Rohingya tentang rumah. ©Victor Caringal/MSF


Dalam konteks global yang diwarnai pelbagai krisis kemanusiaan berskala besar, pembiayaan antarabangsa diperuntukkan untuk tindak balas kemanusiaan bagi sejuta orang tanpa kerakyatan ini berdepan tekanan yang meningkat dari tahun ke tahun. Situasi sangat membimbangkan bagi mereka ini, yang bergantung hampir sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan kerana kekurangan status undang-undang dan tidak boleh bekerja secara sah untuk menyara diri mereka atau keluarga mereka.

Walaupun statusnya selaku antara penyedia penjagaan kesihatan terbesar di kem, kemampuan Doctors Without Borders/ Médecins Sans Frontières mencecah kapasiti di beberapa kawasan, dan kami kini terpaksa menetapkan kriteria kemasukan yang lebih ketat untuk menampung keperluan perubatan luar biasa pesakit yang datang ke fasiliti kami.

Penderma antarabangsa mesti meningkatkan dengan ketara sumbangan kewangan mereka untuk memberikan sokongan mencukupi serta mencegah akibat lanjut yang tidak dapat dipulihkan ke atas kesihatan fizikal dan mental orang Rohingya.

Enam tahun selepas penghijrahan 

Hanya dalam beberapa minggu pada Ogos 2017, lebih 700,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak melarikan diri daripada keganasan besar-besaran yang menyasarkan mereka oleh tentera Myanmar di Rakhine di barat laut Myanmar. Mereka mendapat perlindungan di kawawan berbukit di daerah Cox's Bazar di Bangladesh.

Orang Bangladesh menyambut ketibaan jiran-jiran mereka, sepertimana yang mereka lakukan pada waktu sebelumnya. Enam tahun kemudian, penyelesaian sementara untuk menawarkan perlindungan kepada mereka yang melarikan diri daripada keganasan yang mengerikan, menjadi krisis yang berlarutan tanpa adanya penyelesaian yang bermakna.

Walaupun kem-kem itu kini mempunyai jalan-jalan yang lebih baik, lebih banyak tandas dan air minuman berbanding ketika kemuncak awal kecemasan, orang ramai masih lagi tinggal di tempat perlindungan yang sesak, dan pembinaan struktur kekal tidak dibenarkan. Kebakaran memusnahkan ratusan atau ribuan tempat perlindungan, menimbulkan risiko berterusan, namun sebenarnya boleh dicegah terhadap keselamatan mereka yang menetap di kem.

Memandangkan kawasan itu terdedah kepada bencana alam, tempat perlindungan diperbuat daripada buluh dan kepingan plastik seringkali rosak dan musnah akibat angin kencang, hujan lebat dan tanah runtuh. Selain persekitaran yang sangat terdedah ini, situasi lebih teruk berlaku apabila mustahil untuk memindahkan kem ke kawasan lebih selamat, seperti yang berlaku sewaktu Taufan Mocha pada Mei tahun ini. Kebanyakan hospital kami terpaksa ditutup selama dua hari, struktur separuh kekal mereka hampir runtuh.

bgd

Pemandangan tempat perlindungan di kem Cox's Bazar, di mana akses tidak mencukupi kepada air selamat dan keadaan sanitasi buruk menambahkan risiko kesihatan, menggalakkan wabak seperti kudis. Bangladesh, 26 Jun 2023.
© VICTOR CARINGAL/MSF

Semakin sedikit dana yang sampai ke kem pelarian terbesar di dunia

Buat masa ini, kepulangan pelarian Rohingya ke Myanmar hanya kekal sebagai impian: mereka memerlukan jaminan terhadap hak mereka, termasuk pengiktirafan kewarganegaraan mereka dan kepulangan ke rumah di atas tanah mereka.

Masa seakan terhenti. Kehidupan di kem terasa seperti hari yang tidak berkesudahan. Kem dikelilingi pagar dan kawat berduri sejak wabak COVID-19. Masyarakat Rohingya tidak dibenarkan bekerja atau meninggalkan kem. Akses kepada makanan, air dan penjagaan kesihatan untuk sejuta orang tanpa kerakyatan bergantung kepada bantuan kemanusiaan antarabangsa.

Namun bantuan pembiayaan oleh penderma antarabangsa semakin kurang. Sejak dua tahun lalu, komitmen negara anggota PBB terhadap rayuan pembiayaan kemanusiaan semakin kurang: daripada sekitar 70 peratus pada 2021 kepada 60 peratus pada 2022, dan sekitar 30 peratus setakat ini pada 2023. Pada Mac, bantuan makanan sempena Program Makanan Sedunia dipotong daripada AS$12 setiap orang sebulan kepada AS$10, dan sekali lagi kepada hanya AS$8 pada bulan Jun.

Pasukan kami menyaksikan kesukaran dihadapi pusat kesihatan yang dikendalikan pelbagai organisasi yang bergantung kepada pembiayaan ini untuk sumber manusia, bekalan ubat dan keupayaan untuk memastikan susulan pesakit. Penyelenggaraan tetap infrastruktur air dan sanitasi juga merupakan satu cabaran, menjadikan keadaan kebersihan dan akses kepada air minuman bermasalah di banyak kem.

Keperluan perubatan yang meningkat membebankan perkhidmatan

Keadaan hidup yang tidak bersih merumitkan keadaan kesihatan dengan ketara, mengundang pelbagai isu kesihatan. Tahun lalu, pesakit demam denggi meningkat sepuluh kali ganda berbanding tahun sebelumnya, dan pada awal 2023, kami menyaksikan peningkatan mingguan tertinggi pesakit taun sejak 2017.

Empat puluh peratus mereka yang tinggal di kem tersebut mempunyai kudis, menurut hasil tinjauan yang telah lama ditunggu-tunggu yang dibentangkan oleh penyelarasan sektor kesihatan kem pada Mei. Ini jauh melebihi ambang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu 10 peratus untuk memulakan pentadbiran ubat besar-besaran bagi wabak kudis.

Keadaan ini memberi tekanan yang semakin meningkat kepada pada perkhidmatan Doctors Without Borders sejak dua tahun lalu. Pasukan kami merawat penyakit yang disebabkan keadaan hidup yang sukar sejak kedatangan enam tahun lalu: penyakit berjangkit, respiratori, jangkitan usus dan kulit. Namun selama beberapa tahun, kami juga melihat keperluan semakin meningkat untuk merawat penyakit jangka panjang yang dikaitkan dengan kekurangan akses kronik kepada penjagaan kesihatan untuk Rohingya di Myanmar, seperti diabetes, hipertensi atau hepatitis C.

MSF medical staff provide medicines to Soyed Ullah, who suffers from for scabies, after a large outbreak of the skin infestation in Cox's Bazar. Bangladesh, 14 March 2023.

Kakitangan perubatan Doctors Without Borders membekalkan ubat-ubatan kepada Soyed Ullah, yang mencerita akibat kudis, selepas wabak jangkitan kulit yang besar di Cox's Bazar. Bangladesh,  Mac 2023.

Bilangan pesakit yang tiba di jabatan pesakit luar 'hospital atas bukit', yang dibina Doctors Without Borders di tengah-tengah kem pada 2017, meningkat 50 peratus pada 2022. Keadaan ini seiring dengan penutupan beberapa pusat kesihatan di kawasan itu pada tahun lalu kerana kekurangan dana, selain wabak kudis yang berleluasa.

Di hospital ini serta di hospital ibu dan anak kami di Goyalmara, kami melihat peningkatan tinggi yang luar biasa dalam kemasukan kanak-kanak antara Januari hingga Jun 2023 berbanding tempoh sama tahun lalu. Pada Julai, ketika musim puncak tahunan keperluan perubatan baru sahaja bermula, kemasukan hospital pediatrik kami berada pada tahap kapasiti.

Bagaimana cara pesakit melaluinya? 

Doctors Without Borders tidak terkesan secara langsung oleh krisis pembiayaan daripada penderma antarabangsa, namun kapasiti perkhidmatan kami untuk menyerap permintaan yang semakin meningkat terhadap penjagaan mencapai hadnya sendiri. Bilangan konsultasi yang semakin meningkat memberikan tekanan kepada sumber manusia, pengurusan katil hospital dan bekalan ubat kami.

Selagi Rohingya di Bangladesh terkepung dalam kem dan terperangkap dalam kitaran kebergantungan kepada bantuan kemanusiaan, penderma antarabangsa perlu secara signifikan meningkatkan sumbangan kewangan mereka untuk memberikan sokongan yang mencukupi dan mencegah akibat yang tidak dapat dipulihkan selanjutnya terhadap kesihatan fizikal dan mental mereka.