Skip to main content

Myanmar: 20 tahun bantuan kepada mereka yang hidup dengan HIV

A patient picks up medicines from the pharmacy at the Dawei clinic. Myanmar, September 2012. © Ron Haviv/VII Photo

Seorang pesakit mengambil ubat dari farmasi di klinik Dawei. Myanmar, September 2012. © Ron Haviv/VII Photo

Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) telah menyediakan penjagaan HIV yang komprehensif di Dawei selama dua dekad, termasuk program jangkauan untuk mencegah jangkitan HIV dalam kalangan mereka yang terpinggir dan berisiko, seperti pekerja asing dan mereka yang mengambil dadah secara suntikan. Di Myanmar, wabak HIV/AIDS telah mengundang kebimbangan pada tahun 2000, dan mereka yang hidup dengan HIV mengalami kesukaran besar untuk mendapatkan rawatan. Klinik Doctors Without Borders di Dawei ditubuhkan untuk menyediakan rawatan percuma bagi memberikan mereka harapan untuk kehidupan lebih baik.

Menjelang akhir 2023, pesakit yang menerima rawatan dalam projek HIV Doctors Without Borders di Dawei akan berpindah menyertai Program Aids Kebangsaan (NAP) bersama-sama sumber Doctors Without Borders yang diperuntukkan untuk menyokong program ini.

Selepas terhenti seketika sepanjang dua tahun lalu, penyerahan ini menandakan kemajuan Pelan Strategik Kebangsaan ke arah memindahkan penjagaan HIV kepada pengurusan sektor awam yang dipertingkatkan, terutama berkaitan terapi antiretroviral (ART). Namun begitu, banyak cabaran dialami akibat keruntuhan sistem penjagaan kesihatan awam pada 2021, yang melambatkan penyerahan, masih kekal.

Menamatkan penjagaan praktikal 20 tahun Doctors Without Borders kepada pesakit HIV di Dawei

Selama bertahun-tahun, projek Dawei telah menyokong mereka yang hidup dengan HIV dalam pelbagai cara, daripada ujian dan rawatan kepada sokongan rakan ke rakan untuk menguruskan penyakit itu dan mengendalikan stigmatisasi yang dialami ramai pesakit.

Pada 2020, sama seperti seluruh dunia, projek itu terpaksa berdepan dengan Covid-19, mencetus gangguan besar dalam rawatan buat mereka yang sedang menerima rawatan. Sekatan perjalanan mendatangkan kesan besar kepada pesakit HIV di Dawei, kerana kebanyakan mereka tinggal di kawasan luar bandar dan sebilangan besar di pulau-pulau di sepanjang pantai.

Ma Mi Mi masih ingat bagaimana "COVID-19 melanda, dan tiada kapal yang bergerak lagi, dan saya tidak dapat kembali [ke klinik]. Saya tidak dapat mengambil ubat selama kira-kira tiga bulan."

A patient receives treatment in the Doctors Without Borders clinic in Dawei. Myanmar, April 2014. © Eddy McCall

Seorang pesakit menerima rawatan di klinik Doctors Without Borders di Dawei. Myanmar, April 2014. © Eddy McCall

Pada Januari 2021, Doctors Without Borders mula memindahkan pesakit ke NAP untuk rawatan. Sebulan kemudian, Myanmar berdepan pergolakan politik apabila tentera menggantikan kerajaan yang dipilih. Sebagai tindak balas kepada pengambilalihan ini, pekerja penjagaan kesihatan di seluruh Myanmar melancarkan mogok. Walaupun sistem penjagaan kesihatan awam sudah sedia dicengkam cabaran besar membabitkan kakitangan, kekurangan perbelanjaan awam bersama-sama sekatan pengimportan juga menambah kepada pengurangan penjagaan kesihatan di Myanmar.

Pemindahan keluar ditangguhkan dan Doctors Without Borders mula mendaftarkan pesakit baharu dalam program HIV Dawei kami buat pertama kali sejak 2019. Hanya beberapa bulan kemudian, pada bulan Jun, pasukan Doctors Without Borders di Dawei menerima satu surat daripada pihak berkuasa wilayah yang meminta kami menangguhkan semua aktiviti. Pada waktu itu, klinik Dawei sedang memberikan ART kepada 2,162 pesakit yang hidup dengan HIV. Walaupun Doctors Without Borders berhasil untuk bermula semula selepas dua minggu terhenti seketika, penggantungan itu menyekat sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa dan tempatan yang lain untuk komuniti di kawasan daerah ini.

Tahun ini, Doctors Without Borders meneruskan penyerahan pesakit HIV kepada NAP yang sekali lagi berupaya menyediakan ART. Bagaimanapun, Doctors Without Borders kekal komited, dan mulai 2024, ia akan berfungsi dalam Model Sokongan bersama NAP. Di Dawei, semua pesakit akan selesai melalui pemindahan pada penghujung 2023. Ia menandakan satu langkah besar ke arah yang betul dan harapannya adalah dengan berfungsinya NAP, pesakit tidak perlu melakukan perjalanan jauh untuk sampai ke klinik, menjadikan pematuhan kepada rawatan jauh lebih mudah.

Doctors Without Borders staff manages the daily routines, registers patients coming in for consultation, and files the folders corresponding to the various patients. Myanmar, February 2012. © Matthieu Zellweger

Kakitangan Doctors Without Borders menguruskan rutin harian, mendaftar pesakit yang tiba untuk konsultasi, serta merekodkan fail mengikut pesakit yang berbeza. Myanmar, Februari 2012. © Matthieu Zellweger

Menerima rawatan HIV di Myanmar  

Bagi Gay Gay* (nama telah ditukar), yang menghidap HIV, ketersediaan klinik seringkali menjadi antara satu perkara paling sukar untuk diuruskan.

“Ketika saya masih muda dan mula mendapat tahu mengenai penyakit ini, saya terpaksa berdepan dengan banyak kesukaran memandangkan tiada klinik atau hospital untuk dituju dan menerima sebarang rawatan. Saya terpaksa pergi ke kampung lain untuk mendapatkan rawatan. Saya kembali ke Dawei kerana rawatan yang saya terima tidak berkesan dan tidak menunjukkan hasil yang baik.”

Apabila saya kembali ke Dawei, saya mendapat tahu mengenai klinik Myittaryeik daripada Doctors Without Borders, namun mereka tidak mempunyai klinik tetap ketika itu. Doktor hanya melawat pesakit di rumah untuk menyediakan rawatan perubatan. Lama kelamaan, saya semakin rapat dengan doktor dan jururawat, dan saya menerima ubat-ubatan serta rawatan perubatan yang berkualiti dan sejak itu saya berasa sihat. Sukar untuk mendapatkan rawatan perubatan sebelum ini memandangkan hanya klinik Myittaryeik yang ada, tetapi itu tidak lagi berlaku sekarang. Terdapat klinik lain yang kini tersedia. Dan saya juga boleh pergi ke bandar lain di luar Dawei untuk menerima rawatan, sama ada di Yangon atau Mandalay.
Gay Gay*, pesakit

“Saya mengambil ubat pertama saya sejak berusia 13 tahun dan berpindah ke Yangon untuk pendidikan menengah. Pada waktu itu, saya telah menerima rawatan di Yangon selama lapan tahun berturut-turut,”  sambung Gay Gay*.

“Pesakit yang hidup dengan HIV yang menerima rawatan boleh meningkatkan kesihatan mereka dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Keadaan sudah berubah sekarang dari segi persepsi terhadap mereka yang hidup dengan HIV. Menerima rawatan perubatan yang betul mencabar sebelum ini namun semua itu berubah sekarang disebabkan ketersediaan lebih banyak klinik dan hospital yang menyediakan ujian dan rawatan. Sekarang lebih mudah untuk pergi ke klinik dan menerima rawatan.”

“[Walaupun begitu] terdapat pelbagai cabaran menjalani kehidupan sebagai individu yang positif HIV di Myanmar. Ada yang bergelut untuk mencari nafkah atau rezeki sewajarnya disebabkan situasi keluarga mereka sambil mengambil kira pengangkutan apabila pergi ke klinik,” kata Gay Gay*.

A patient under HIV/TB care. Myanmar, December 2018. © MSF/Scott Hamilton

Seorang pesakit di bawah jagaan HIV/TB. Myanmar, Disember 2018. © MSF/Scott Hamilton

Pemindahan keluar dan pembentukan semula projek

Kali ini, pemindahan keluar kelihatan sedikit berbeza daripada penyerahan awal yang dihentikan pada 2021. Banyak jurang dalam sistem penjagaan kesihatan awam kekal, terutamanya dari segi kakitangan. Dengan sumber air dan sanitasi yang terhad, klinik berusaha untuk beroperasi dengan lancar, walaupun sokongan diberikan oleh organisasi seperti Doctors Without Borders.

Populasi di Dawei dibarisi ramai golongan migran yang bekerja di luar untuk jangka masa yang lama, seperti Ko Maung Myint*, yang bekerja dalam operasi nelayan laut dalam di Kawthaung.

“Pada masa lalu, saya boleh mendapatkan bekalan ubat untuk tempoh enam bulan pada satu masa supaya saya boleh pergi bekerja selama lima bulan dan kembali ke sini untuk sebulan. Saya perlu pergi jauh untuk bekerja jadi Program Aids Kebangsaan tidak sesuai untuk saya kerana ia hanya menyediakan bekalan ubat untuk dua bulan.”

Tanpa ubatan yang mencukupi, pesakit perlu kembali ke klinik berulang kali. Pergerakan di banyak bahagian Tanintharyi dan di Myanmar pada masa ini sangat sukar dan berbahaya, dan konflik ganas kembali meningkat. Pekerja dan kemudahan penjagaan kesihatan disasarkan secara konsisten di Myanmar. Lebih 1000 serangan terhadap penjagaan kesihatan dilaporkan sejak rampasan kuasa.1

Walaupun NAP bertambah baik, dan sokongan daripada organisasi seperti Doctors Without Borders membantu dalam hal ini, konteks di Myanmar mempunyai kesan besar terhadap pesakit HIV.

Tanpa saluran bekalan yang tidak disekat untuk semua orang, termasuk sistem awam, dan tanpa mobilisai semua sumber perubatan yang terdapat di dalam dan sekitar Dawei, mereka yang sedang menerima rawatan HIV akan terus terjejas disebabkan kekurangan ubatan biasa.

Doctors Without Borders mengalu-alukan peluang untuk terus menyokong klinik NAP bagi memastikan kualiti penjagaan pesakit HIV di Myanmar.


Doctors Without Borders telah bekerja di Myanmar sejak 1992 dan merupakan NGO antarabangsa pertama yang hadir di negara itu. Pada 1994, Doctors Without Borders mula menyediakan penjagaan HIV/AIDS dan pendidikan kesihatan di Yangon, serta pemeriksaan dan rawatan penyakit kelamin. Pada 2002, Doctors Without Borders menjadi penyedia pertama rawatan antiretroviral di negara ini dan pada satu peringkat menjalankan program rawatan HIV terbesar di Myanmar.

Baca article dalam bahasa Burma. .

1. Insecurity Insight: https://reliefweb.int/report/myanmar/tragic-milestone-more-1000-attacks-health-care-myanmar-february-2021-military-coup