Taufan Mocha: Usaha membantu dihalang teruk sekatan baharu
Pemandangan kem populasi pelarian A Nout Ye di Pauktaw, Rakhine, lebih sebulan sejak Taufan Mocha. Myanmar, Jun 2023. © MSF
“Kira-kira 85 peratus kem saya musnah selepas Taufan Mocha mencetus kemusnahan di sini. Semua kediaman seperti pondok yang dibina musnah. Mereka yang tinggal di rumah seperti ini sangat memerlukan bantuan kecemasan kerana mereka tidak mempunyai tempat tinggal,” kata Daw Nu, pekerja kesihatan komuniti Doctors Without Borders yang menetap di Sittwe.
Rumah Daw Nu dilanda hujan lebat dan angin Mocha sekuat 280km/j, taufan kategori lima yang membadai Myanmar pada pertengahan Mei, terbesar seumpamanya melanda Rakhine dan barat laut negara itu dalam lebih sedekad.
Tindak balas tertangguh disebabkan sekatan
Lebih dua bulan kemudian, meskipun skala bencana yang berlaku itu besar, tiada peningkatan tindak balas kecemasan untuk menangani keperluan besar mereka yang terjejas berlaku.
Bantuan kemanusiaan terhenti disebabkan sekatan dikenakan pihak berkuasa tentera yang membenarkan hanya aktiviti pra-taufan biasa dijalankan dan melarang sebarang peningkatan tindak balas khusus taufan. Ini termasuk sekatan ke atas pengedaran barangan bantuan berskala besar seperti bekalan makanan, kit kebersihan dan buluh dan kain terpal yang sangat diperlukan untuk membina atau membaiki tempat perlindungan.
Pihak berkuasa ketenteraan harus menarik balik sekatan ini untuk memudahkan peningkatan segera tindakan kemanusiaan bagi mencegah kemudaratan lebih lanjut, selain wabak penyakit dan kehilangan nyawa.
Keperluan yang meningkat memburukkan kesukaran sedia ada
Mereka yang paling teruk terjejas disebabkan taufan Mocha adalah masyarakat yang sudah sedia kehilangan tempat tinggal akibat konflik dan sentiasa hidup di kem, mereka yang tinggal di kawasan rendah serta di kawasan terpencil, jauh dari lokasi di mana usaha untuk menyalurkan bantuan tertumpu.
Tempat perlindungan, pembinaan semula infrastruktur air dan sanitasi yang musnah atau rosak, air minuman yang selamat, makanan dan akses kepada penjagaan kesihatan kekal menjadi keperluan yang paling mendesak, meluas dan tidak dipenuhi.
Pada 14 Mei apabila Mocha membadai, ia adalah gabungan angin berpusing yang membawa maut di sekitar pusat tekanan atmosfera rendah yang menyebabkan skala kemusnahan dialami Daw Saw Nuw serta anggaran 670,000 yang lain.
Usaha tindak balas awal adalah positif. Pihak berkuasa tentera dan kumpulan bersenjata seperti Tentera Arakan mengetuai pembersihan debris dari jalan raya. Telekomunikasi dan elektrik dipulihkan dalam tempoh masa yang munasabah.
Apabila skala kemusnahan menjadi lebih jelas, organisasi kemanusiaan mempersiapkan diri untuk meningkatkan dan mencegah lebih banyak kehilangan nyawa serta penderitaan.
Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF mengutamakan pencegahan penyakit bawaan air melalui pengagihan air minuman kepada 9,000 orang setiap minggu dan pembaikan tandas dan sistem air yang musnah. Kami juga secara beransur-ansur meneruskan semula klinik mudah alih biasa kami, serta rujukan perubatan kecemasan untuk pesakit yang memerlukan rawatan lebih khusus.
Kerosakan pada tandas awam di kem populasi pelarian A Nout Ye di Pauktaw, Rakhine, selepas lebih sebulan sejak Taufan Mocha. Myanmar, Jun 2023. © MSF
Usaha tindak balas terganggu
Gangguan ini berlaku pada 8 Jun apabila tiga minggu selepas taufan melanda, kebenaran perjalanan untuk Rakhine digantung buat sementara waktu. Membatalkan kebenaran perjalanan Doctors Without Borders bermakna kami tidak dapat membuka mana-mana daripada 25 klinik penjagaan kesihatan utama kami dan penyediaan bantuan kemanusiaan perubatan yang menyebabkan usaha menyelamatkan nyawa meliputi anggaran 214,000 orang di Rakhine tengah dan 250,000 lagi di utara Rakhine terganggu.
Selepas gangguan selama tiga hari, aktiviti secara rasmi dibenarkan untuk disambung semula pada 11 Jun namun hanya membabitkan apa yang sudah sedia dipersetujui sebelum taufan. Kebenaran meningkatkan respons berdasarkan keperluan tambahan yang dicetuskan taufan tidak diberikan.
Gangguan sementara bertukar kepada halangan jangka panjang
Hari ini, tindak balas semasa jauh daripada apa yang diperlukan selepas taufan. Antara sekatan dikenakan ke atas usaha meningkatan skala bantuan adalah syarat supaya menyerahkan barangan bantuan kepada pihak berkuasa tentera yang akan menguruskan pengedaran.
Syarat ini menjejaskan elemen berkecuali dalam bantuan kemanusiaan, yang mana di negeri dilanda konflik seperti Rakhine, ia akan menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap organisasi kemanusiaan. Ia juga bertentangan prinsip kemanusiaan yang tidak memihak, berkecuali dan bebas, yang menjadi pegangan Doctors Without Borders serta organisasi lain.
Momentum awal yang disaksikan dalam kalangan masyarakat kemanusiaan untuk menarik perhatian terhadap sekatan ini telah berkurangan.
Klinik Doctors Without Borders di kem Kein Nyin Pyin Pauktaw, Rakhine, lebih sebulan selepas Taufan Mocha. Myanmar, Jun 2023. © MSF
Keadaan semasa tidak boleh dijadikan sebagai normal baharu
Doctors Without Borders amat bimbang dengan keadaan hidup yang teruk disebabkan taufan, sekatan tidak perlu yang secara aktif mengekalkan keadaan tidak boleh diterima ini, serta kurangnya perhatian orang ramai terhadap situasi ini secara beransur-ansur menjadi normal baharu di Rakhine.
Sekatan ini juga menyumbang kepada kekurangan komitmen kewangan berterusan yang ditunjukkan oleh penderma kepada penduduk di Myanmar.
Pihak berkuasa tentera dan pihak lain dalam konflik mempunyai tanggungjawab untuk menjaga mereka yang terjejas disebabkan Taufan Mocha.
Oleh itu, pihak berkuasa tentera wajar menarik balik sekatan semasa dan memudahkan penghantaran barang bantuan perubatan dan kemanusiaan tanpa halangan kepada mereka yang memerlukan dengan cara yang tidak menjejaskan kesaksamaan dan neutraliti mereka.
Doctors Without Borders telah bekerja di Myanmar sejak 1992, menyokong program penjagaan kesihatan jangka panjang yang tertumpu pada TB, HIV, Hepatitis C, Malaria dan inisiatif penjagaan kesihatan primer. Hari ini, lebih 1,200 kakitangan antarabangsa dan nasional bekerjasama rapat untuk menyediakan penjagaan dan rawatan berkualiti tinggi melalui rangkaian kemudahan kesihatan dan klinik bergerak. Kami terus menjaga pesakit HIV, tuberkulosis dan hepatitis C, menyediakan penjagaan kesihatan asas bersama-sama perkhidmatan penjagaan kesihatan reproduktif dan seksual serta bertindak balas terhadap kecemasan perubatan. Beroperasi di negeri Rakhine, Shan dan Kachin, serta di wilayah Yangon dan Tanintharyi.