Menjejaki COVID-19 di Amazon, Brazil: Antara mimpi ngeri dan harapan
Jururawat Nara Duarte mengajar kanak-kanak cara yang betul menjaga kesihatan tangan dalam komuniti dikunjungi MSF dan kakitangan sistem kesihatan perbandaran di Tasik Mirini. © Diego Baravelli/MSF
Kami terlewat.
Antonio Flores bertugas sebagai Penyelaras Perubatan bagi pasukan MSF tiba di Manaus, ibu kota Amazonas, Brazil, pada April 2020.
“Pasukan bertindak COVID-19 kami sudah pun berada di Rio de Janeiro dan Sao Paulo sewaktu kami menerima berita buruk ini daripada rakan sepasukan di sana. Apabila saya tiba di Manaus, penggali kubur kepenatan bekerja melangkaui kemampuan mereka, semua unit rawatan rapi (ICU) hospital dipenuhi pesakit nazak, dan ratusan lagi pesakit tenat dalam senarai menunggu untuk dimasukkan ke unit rawatan rapi di pusat kesihatan. Keadaan ini di luar jangkaan kami. Dalam tempoh pendek, kami berjaya membangunkan dan mengoperasikan wad ICU. Ia dibuka dengan kapasiti penuh, walaupun dalam hati kami terdetik krisis ini mungkin sudah pun mencapai kemuncaknya.”
Pelaksanaan ujian COVID-19 yang sangat terhad oleh Pihak Berkuasa Brazil menyukarkan usaha menjejaki penularan pandemik itu di seluruh negara, diburukkan lagi kekangan pengangkutan di kawasan lembangan Amazon, kedudukannya yang jauh terpencil dan taburan penduduk yang terlalu luas. Tambahan pula, sebahagian besar ujian terhad itu dilakukan dengan ujian antibodi iaitu ujian yang mengesahkan pesakit pernah mengidap COVID-19 pada masa lalu, dan bukannya ujian yang menentu sahkan pesakit sedang dijangkiti penyakit itu. Maksudnya, data epidemiologi di Brazil hanya memberikan gambaran kasar situasi pandemik itu sekitar tiga minggu lalu dan bukannya kedudukan terkini jangkitan di negara itu.
Menjelang awal May, beberapa aktiviti MSF dikerahkan di seluruh bandar. Populasi Manaus terdiri daripada pelarian dan gelandangan menyebabkannya sangat mudah terdedah dengan jangkitan penyakit. Kebanyakan penduduk tinggal di pusat perlindungan dengan penempatan antara keluarga terlalu dekat antara satu sama lain menyukarkan penjarakan fizikal. Khususnya penduduk asli, Warao yang berpindah dari Venezuela ke Brazil, mencetuskan kebimbangan ekoran cara hidup mereka yang bersesak-sesak. Di sinilah, MSF menubuhkan satu pusat pengasingan masyarakat khusus untuk mereka yang menunjukkan gejala COVID-19.
Orang asli Warao menjalani pemeriksaan tekanan darah di pusat pengasingan dikendalikan MSF di Manaus. Sebilangan besar penduduk pribumi Warao yang tinggal di ibu kota Amazon tinggal di lokasi perlindungan, di mana penjarakan sosial hampir mustahil. © Euzivaldo Queiroz/MSF
Unit Rawatan Rapi
Teras utama dalam pasukan bertindak Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) di Manaus adalah menyediakan sokongan perubatan di salah satu hospital utama, yang dikenali sebagai 28 de Agosto Hospital. MSF mengambil alih operasi tingkat lima hospital, yang memiliki Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 12 katil khusus untuk pesakit kronik dan wad berkapasiti 36 katil untuk pesakit tenat. Walaupun kemuncak tekanan krisis COVID-19 sudah berlalu, situasi di wad masih penuh dengan pesakit. Di sini, tenaga kerja MSF yang berpengalaman luas dalam bantuan kecemasan menyumbang jasa membantu pihak hospital menambah baik urusan pesakit dan meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan di sana.
Jururawat Rebecca Alethéia melatih pasukan di hospital wilayah di Tefé mengenai proses nyahkuman perkakasan hospital. © Diego Baravelli/MSF
Pasukan kami melatih kakitangan hospital wilayah mengenai -langkah IPC, serta latihan kecemasan umum berkaitan tindak balas COVID-19. © MSF
Doktor Pedro Cury Moyses mengimbau tekanan yang dihadapinya ketika itu, berkata: "Sebaik sahaja tiba di hospital, kami berdepan senario sama dihadapi sesiapa sahaja yang pernah bekerja di bawah sistem kesihatan nasional Brazil iaitu struktur kesihatan yang terlalu rapuh sedang dikerahkan melangkaui kemampuannya.”
“Namun saya masih ingat kenangan saat-saat seorang pesakit ICU wanita yang akhirnya pulih dan membenarkannya keluar hospital. Sewaktu kali pertama bertemu dengannya, beliau ketakutan kerana menjalani proses pemulihan yang perlahan dan rumit. Masalah kesihatan yang sedang dihadapinya menyukarkan lagi usaha memulihkan beliau daripada jangkitan COVID-19. Pasukan kami bimbang keadaan kesihatannya akan bertambah teruk. Akhirnya, beliau cukup sihat untuk dibenarkan keluar dan kami menguruskan perjalanan pulang beliau. Dengan berkerusi roda, beliau disambut tepukan gemuruh petugas wad dan ICU di sepanjang koridor hospital. Beliau turut dikejutkan oleh suaminya yang hadir menyambut kepulangan beliau bersama sejambak bunga. Wanita ini adalah simbol kejayaan kami di Hospital Manaus. Kejayaan memulihkan wanita ini membantu mengembalikan harapan doktor setempat yang sudah lelah menyaksikan angka kematian terlalu tinggi sepanjang tempoh pandemik."
Meneroka Hutan Amazon
Manaus terkenal sebagai lokasi pertemuan dua sungai iaitu Sungai Negro dan Sungai Solimões yang membentuk sungai terbesar dunia, Sungai Amazon. Sepanjang kes pandemik memuncak di ibu kota itu sehinggalah ia berjaya dikawal, COVID-19 secara diam-diam merebak ke hulu sungai sehinggalah ke kawasan ceruk hutan Amazon.
“Pada mulanya, jarang kami menerima panggilan kecemasan berhubung kes COVID-19 daripada kawasan terpencil dan komuniti tepi sungai di lembangan Sungai Amazon,” kata Ketua Misi Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) di Brazil, Dounia Dekhili. “Sudah bertahun lamanya, rantau itu berdepan dengan kekurangan pelaburan bagi sumber dan infrastruktur kesihatan serta kebajikan. Kawasan yang luas dan kekangan pengangkutan menjadi cabaran utama menjejaki penularan epidemiologi, apatah lagi untuk menjamin masa yang tepat untuk perubatan sampai kepada pesakit yang memerlukan rawatan lebih kompleks. Kami faham keperluan untuk lebih memahami situasi pandemik di lokasi terpencil khususnya di dalam hutan, namun kawasan seperti itu terlalu sensitif mengambil kira prinsip untuk ‘tidak mendatangkan kemudaratan’ kepada penduduk di sana yang mengamalkan kehidupan sangat unik. Memang rawatan COVID-19 perlu disampaikan kepada penduduk asli dan penghuni di sungai itu, namun kami juga harus pastikan tidak menjadi penyebab penyakit itu sampai dan merebakkannya kepada masyarakat di sana.”
Pasukan meninggalkan bot kesihatan utama untuk melakukan pemeriksaan dan vaksinasi rutin dari rumah ke rumah. © Diego Baravelli / MSF
Perjalanan dua hingga tiga hari menggunakan bot menelusuri hulu sungai Solimões akhirnya membawa pasukan ke anak sungai, Tefé River, yang didiami oleh 60,000 penduduk. Lokasi ini menjadi antara bandar paling tinggi jangkitan wabak itu di rantau berkenaan. Pengarah Hospital di Wilayah Tefé, Tayana Oliveira Miranda ketika berkongsi bagaimana penyakit itu muncul, berkata:
“Apabila kes pertama disahkan di hospital itu, seluruh pasukan perubatan sudah pun dalam keadaan berjaga-jaga dan sebahagiannya dalam ketakutan. Kami mula mengasingkan staf yang berusia, mengandung dan memiliki penyakit kronik daripada pasukan perubatan. Lama-kelamaan, kes mengatasi tenaga kerja yang ada. Angka pesakit yang dirawat di hospital mula melonjak tinggi. Ia disusuli dengan kematian pertama. Hancur luluh hati staf yang bertugas pada syif terbabit. Menjelang Mei, kes semakin mencanak naik, pesakit yang memerlukan rawatan di hospital semakin bertambah, angka kematian juga meningkat dan lebih teruk sebilangan staf turut jatuh sakit. Kami mula mengubah pengurusan kes di hospital dengan membuka wad COVID-19 di dalam hospital selepas tiada lagi tempat yang mampu menampung pertambahan pesakit. Situasi bertukar huru-hara, kemuncaknya berlaku pada hari di mana kami perlu merawat 41 pesakit di hospital, enam pesakit memerlukan rawatan intubat, dan permintaan tinggi untuk perkhidmatan ambulans udara di seluruh negeri."
"Pada hari terbabit berlaku sembilan kematian. Seluruh pasukan menderita. Doktor bertugas pasrah mengalirkan air mata, mereka tidak menjamah makanan pun, itulah hari paling teruk dan saya berani katakan tidak ada seorang pun yang mampu makan dan tidur pada malam itu. Saya sendiri tidak mampu melakukannya. Keesokan hari, kami semua kembali ke hospital dan menerima kenyataan perit itu untuk terus berjuang. Kami tiada pilihan lain.”
Sewaktu MSF tiba, jumlah pesakit sudah berjaya distabilkan mengikut kemampuan operasi hospital. Ketika itu, pasukan hospital sendiri menetapkan pendirian untuk menerima latihan menghadapi kemungkinan gelombang jangkitan baharu atau mendepani situasi kebanjiran pesakit secara tiba-tiba. Lebih 200 staf perubatan dan paramedik menghadiri latihan MSF di hospital Wilayah Tefé.
Klinik Bot
Tefé memiliki bot penjagaan kesihatan utama yang membawa perkhidmatan perubatan asas hampir kepada masyarakat yang mendiami sungai terbabit. Bot berkenaan kebiasaannya melakukan perjalanan ulang alik selama dua minggu dan berhenti di beberapa perhentian untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk terpencil. Nova Sião yang mendiami Tasik Mirini adalah satu daripada beberapa komuniti terakhir yang menjadi perhentian klinik bot sebelum ia berlayar kembali ke Tefé. Dari situ, pasukan kesihatan akan bergerak menggunakan bot yang lebih kecil dari rumah ke rumah untuk memberikan perkhidmatan kesihatan.
“Kami akui kehadiran kami sudah terlalu hampir dengan masyarakat yang mudah terjejas ini,” kata Jururawat Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF), Nara Duarte. “Justeru, kami perlu memastikan pesakit tidak mencemari petugas kesihatan ketika kunjungan ke kediaman penduduk. Kami menawarkan bantuan untuk melakukan kawalan jangkitan penyakit dalam misi klinik bot pertama selepas pelaksanaan sekatan pergerakan. Ia penting untuk meminimumkan risiko merebakkan jangkitan kepada komuniti yang mudah terjejas ini.”
Pasukan Kawalan Jangkitan Penyakit MSF menggunakan kesempatan itu menambah baik pengurusan pergerakan keluar-masuk penduduk yang memerlukan rawatan klinik bot kelak. Selepas rawatan kesihatan selesai di sebelah petang, pasukan turut memberi latihan tambahan kepada staf dan anak kapal klinik bot melakukan langkah pencegahan, kawalan jangkitan dan rawatan kecemasan pernafasan.
"Satu pengalaman yang menarik. MSF menunjukkan kelemahan kami dan kami sedang berusaha untuk menambah baik perkhidmatan yang disediakan”, kata Jururawat Bot Perubatan, Jhonaliton de Freitas da Silva. “Banyak yang saya pelajari berkaitan komunikasi dan bagaimana untuk lebih memahami pesakit. Sebelum ini, kami hanya bertanyakan masalah pesakit sewaktu hadir untuk khidmat nasihat perubatan, namun tidak pernah pergi lebih jauh untuk mengenal pasti sendiri masalah kesihatan lain yang mungkin pesakit dihadapi. Inilah yang saya pelajari dari mereka.”
Populasi tempatan tiba di bot penjagaan kesihatan utama untuk mendapatkan rawatan. Pasukan MSF antara yang berada dalam bot pertama yang belayar dari Tefé sejurus sekatan pergerakan dibuka selepas kemundak pandemik. © Diego Baravelli/MSF
Rundingan di perahu perahu kesihatan utama di hulu sungai bandar Tefé di Amazon. ©Diego Baravelli/MSF
Adaptasi mengikut keperluan komuniti
Lebih 400 kilometer ke arah barat laut, terletaknya São Gabriel da Cachoeira, sebuah bandar di tebing Sungai Negro yang terkenal dengan keunikan air sungai berwarna gelap. Di bandar kecil ini, Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) membangunkan pusat penjagaan khusus untuk menerima pesakit COVID-19 dalam kategori ringan dan sederhana. Kemudahan itu disesuaikan secara khusus mengikut tradisi tempatan yang menyaksikan lebih 90 peratus daripada populasi São Gabriel da Cachoeira adalah dari kawasan penduduk asli.
Contohnya, di pusat penjagaan ini, pesakit penduduk asli yang memiliki gejala COVID-19 dibenarkan untuk tinggal lebih lama bagi mendapatkan penjagaan rawatan. Kelebihan ini adalah sesuatu yang tidak dilakukan di hospital. Katil buaian kanvas atau lebih dikenali sebagai hammock disediakan untuk pesakit dan pasangan mereka. Tambahan pula, perubatan tradisional yang digunakan secara meluas oleh penduduk di rantau ini diterima di pusat ini dan boleh dipraktikkan bersama rawatan yang disediakan pasukan MSF, selagi mana kombinasinya tidak menyebabkan kesan sampingan. Dukun, yang menjadi pemimpin adat kerohanian masyarakat setempat dibenarkan melawat dan menjalankan aktiviti keagamaan. Bagaimanapun mereka diminta untuk menggunakan peralatan perlindungan peribadi bagi mengelakkan dijangkiti virus ketika bertemu pesakit.
Seorang pekerja kesihatan memakai kelengkapan pelindung diri sebelum memasuki kawasan kawalan di pusat rawatan MSF untuk kes COVID-19 ringan dan sederhana di São Gabriel da Cachoeira. © Diego Baravelli/MSF
Antara keutamaan misi di sini adalah untuk memastikan setiap individu tahu di mana boleh dapatkan bantuan mengikut keperluan masing-masing. MSF mengadakan perjumpaan dan rundingan dengan pemimpin serta organisasi berkaitan komuniti peribumi di sini bagi merungkai persoalan masyarakat, selain turut berkongsi maklumat menerusi siaran radio kepada penduduk asli setempat.
Dalam tempoh dua minggu pertama, kemudahan itu menerima sepuluh pesakit COVID-19; semua pesakit terbabit sudah sembuh dan dibenarkan pulang. Antonio Castro, berusia 99 tahun adalah antara pesakit di kemudahan terbabit. Beliau menunjukkan gejala kesukaran bernafas dan disyaki mengidap COVID-19. Beliau menerima rawatan daripada pasukan MSF dan dibenarkan pulang selepas beberapa hari dirujuk kepada kemudahan berkenaan.
Pasukan MSF membantu pesakit berusia 99 tahun Antonio Castro di pusat jagaan MSF di São Gabriel da Cachoeira. Dia berada dalam pengawasan selama beberapa hari kerana masalah pernafasan. © Diego Baravelli/MSF
Ketidaktentuan masa depan
Sehingga kini, pelbagai isu virus corona masih menimbulkan tanda tanya, khususnya persoalan yang bakal terjadi pada masa depan dan sampai bila pandemik ini akan terus berleluasa. Namun yang pasti, langkah pencegahan seperti penjarakan fizikal, pemakaian topeng muka, dan kebersihan tangan akan terus diutamakan.
“Kami dimaklumkan pandemik sudah berakhir di negeri Amazonas dan hanya menunggu untuk mencapai imuniti kelompok,” kata Penyelia Perubatan Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF), Flores. “Pandangan ini menjengkelkan bagaikan menutup mata terhadap sejumlah besar penduduknya dijangkiti virus dan juga angka kematian yang tinggi. Kami sendiri menyaksikan keruntuhan sistem kesihatan dan implikasi besar kepada populasi susulan tiada tindakan segera dilaksanakan untuk mengawal penularan penyakit.”
Kini, angka kes baharu sudah mencatatkan penurunan di negara itu, namun tanpa maklumat yang jelas tiada siapa tahu apa sebenarnya berlaku dalam negara. Paling membimbangkan jika penyakit itu terus merebak ke kawasan paling terpencil, menyukarkan usaha menyampaikan bantuan perubatan.
Pemimpin penduduk pribumi Yanomami, Vilmar da Silva Matos kerap berkunjung ke bandar São Gabriel da Cachoeira dari penempatan komunitinya, Maturacá. Beliau sering berkongsi kebimbangan beliau apabila mengetahui berita penularan jangkitan semakin hampir ke kawasan penduduknya dan berisiko menyebabkan warga tua sakit teruk. “Kami ingat sudah tertewas, lebih-lebih lagi kebimbangan terhadap warga tua. Kami takut kehilangan pemimpin kami, kerana mereka adalah penghubung warisan dan kamus kehidupan kami”, katanya di penempatan sementara yang menjadi tempat perlindungan kaum asli Yanomami di bandar itu.
Usaha menghalang penularan COVID-19 daripada terus merebak ke seluruh Amazon menjadi asas utama menyelamatkan nyawa dan maruah dalam memelihara warisan generasi terdahulu yang tiada gantinya.
Pekerja sistem kesihatan perbandaran bercakap dengan penghuni semasa lawatan rumah ke rumah di wilayah tasik Mirini. ©Diego Baravelli/MSF
MSF di Brazil
Selain Amazonas, Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) turut menyumbangkan jasa di beberapa kawasan lain yang berdepan situasi getir kemuncak COVID-19 di Brazil. Antaranya, Negeri Roraima yang menyaksikan pasukan itu mengoperasikan unit ICU dan melaksanakan program bantuan masyarakat kawasan pinggir bandar di timur Sao Paulo. Satu pasukan khusus ditugaskan mengenal pasti lokasi tumpuan penularan jangkitan yang memerlukan bantuan perubatan di seluruh negara. Kini, MSF sudah pun menyerahkan tanggung jawab aktiviti COVID-19 kepada organisasi lain di Rio de Janeiro dan di pusat bandar Sao Paulo.