Empat soalan mengenai gelombang kedua COVID-19 India
Doktor perubatan, Dr Ilham, memeriksa pesakit Pramod di wad pesakit dalam dengan kelengkapan Oksigen Aliran Tinggi Untuk Hidung (HFNO) di hospital Pandit Madan Mohan Malviya Shatab di M East Ward di Govandi, Mumbai. Doctors Without Borders bekerjasama rapat dengan Perbadanan Perbandaran Greater Mumbai (MCGM) untuk saringan, pengumpulan sampel dan diagnostik kes COVID-19 serta pengurusan kes disahkan daripada peringkat biasa hingga pertengahan sejak Jun 2020. Doctors Without Borders menyediakan kelengkapan Oksigen Aliran Tinggi Untuk Hidung (HFNO) untuk menambah baik hasil rawatan pada peringkat sekunder serta mengurangkan kesesakan pusat rujukan tertiari. Foto dari 2020. © Abhinav Chatterjee/MSF
Wabak coronavirus baharu sangat mengejutkan bagi semua penyedia perkhidmatan kesihatan. Keadaannya mengerikan, dengan kekurangan bekalan perubatan termasuk penumpu oksigen dan ventilator, serta sumber manusia terhad. Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) kini bertindak balas di Mumbai, ibu negeri Maharashtra di barat India. Berikut kami gariskan empat soalan dan jawapan mengenai krisis semasa COVID-19 di India.
1. Sejauh mana teruknya situasi COVID-19 di India?
India telah mengalami gelombang kedua COVID-19 yang teruk sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Jumlah mereka yang baharu dijangkiti dengan coronavirus baharu mencapai tahap tertinggi; selama lebih seminggu, negara ini mencatat sekitar 350,000 kes baharu setiap hari. Hampir 390,000 jangkitan baharu dicatatkan semalam, 29 April - satu rekod.
Kemudahan penjagaan kesihatan dan kakitangan di seluruh negara berjuang mengatasi lonjakan kes. Laporan keseluruhan menggambarkan hospital mengalami kekurangan katil untuk pesakit yang mengalami kes teruk, kekurangan bekalan oksigen, dan kekurangan ubat yang digunakan untuk merawat bentuk COVID-19 ringan, sederhana dan teruk.
Keseluruhan akses kepada penjagaan kesihatan kini terganggu. Di Mumbai, penjagaan untuk perawatan COVID-19 dikendalikan di hospital khusus, namun penjagaan untuk rawatan bukan COVID-19 dalam keadaan tertekan, kerana keseluruhan sistem kesihatan menangani krisis ini.
Kanchan Baburao Hulangare, pesakit, dibenar keluar daripada hospital dan selamat pulang selepas pulih daripada COVID-19. Doctors Without Borders bekerjasama rapat dengan Perbadanan Perbandaran Greater Mumbai (MCGM) untuk saringan, pengumpulan sampel dan diagnostik kes COVID-19 serta pengurusan kes disahkan daripada peringkat biasa hingga pertengahan sejak Jun 2020. Doctors Without Borders menyediakan kelengkapan Oksigen Aliran Tinggi Untuk Hidung (HFNO) untuk menambah baik hasil rawatan pada peringkat sekunder serta mengurangkan kesesakan pusat rujukan tertiari. Foto dari Ogos 2020. © Abhinav Chatterjee/MSF
2. Apa penjelasan peningkatan tiba-tiba kes di India?
Beberapa faktor untuk menjelaskan lonjakan baru kes itu. Dari Oktober 2020 hingga pertengahan Februari 2021, India menyaksikan penurunan pengesahan jangkitan baharu COVID-19. Sebilangan pakar kesihatan awam berpendapat ia menyebabkan orang ramai memiliki kepercayaan silap terhadap keyakinan keselamatan, mengurangkan langkah seperti pemakaian pelitup muka dan pengekalan penjarakan fizikal. Beberapa acara mencetus penyebaran super, seperti perhimpunan dan acara sosial, turut diyakini memainkan peranan penting.
Selain itu, kepadatan penduduk sangat tinggi, terutama di bandar seperti Mumbai, di mana sukar untuk mengikuti langkah diperlukan di tempat awam.
Pada masa ini tidak ada bukti cukup untuk mengesahkan peranan varian SARS-CoV-2 menyumbang penyebaran pesat COVID-19 secara tiba-tiba.
Dr Sharanya Ramakrishna, doktor perubatan, mengambil sampel calitan di kawasan pengumpulan sampel di pusat kesihatan COVID-19 khusus di hospital Pandit Madan Mohan Malviya Shatabdi di M East Ward di Govandi, Mumbai. Doctors Without Borders bekerjasama rapat dengan Perbadanan Perbandaran Greater Mumbai (MCGM) untuk saringan, pengumpulan sampel dan diagnostik kes COVID-19 serta pengurusan kes disahkan daripada peringkat biasa hingga pertengahan sejak Jun 2020. Foto dari Ogos 2020. © Abhinav Chatterjee/MSF
3. Apa Doctors Without Borders lakukan sebagai respon kepada krisis?
Pasukan kami kini bekerja di Mumbai sebagai respon kepada krisis:
Kami mempunyai pasukan doktor dan jururawat yang bekerja di pusat kesihatan COVID-19 khusus di bandar. Pusat ini, dikendalikan dengan kerjasama Perbadanan Perbandaran Greater Mumbai, meliputi dua khemah, masing-masing berkapasiti 1,000 katil, untuk memberi rawatan kepada mereka dengan COVID-19 sederhana dan teruk.
Kami mempertingkatkan saringan, ‘shielding’ (perlindungan), pengujian dan rujukan untuk pesakit tuberkulosis tahan dadah (DR-TB). Pasukan MSF memastikan kesinambungan perawatan kepada lebih 2,000 pesakit TB-DR yang dirawat di klinik bebas MSF dan hospital Shatabdi.
‘Shielding’ atau perlindungan ini meliputi usaha mewujudkan 'zon hijau', atau zon selamat, di mana individu lebih rentan terhadap COVID-19 dilindungi daripada sebarang sumber jangkitan yang berpotensi. Kawasan di mana mereka tinggal sama ada dalam isi rumah atau di lokasi terpisah, dalam kejiranan. Sewaktu fasa perlindungan, mereka perlu memastikan interaksi fizikal yang minimum dengan saudara-mara dan anggota masyarakat lain.
Kami menyediakan mesej promosi kesihatan dalam masyarakat, bersama aktiviti sanitasi dan bekalan air, di M-East Ward di Mumbai. Promosi kesihatan di peringkat masyarakat, termasuk melalui saluran digital, juga sebahagian daripada usaha untuk mencegah kelompok paling rentan daripada dijangkiti di penempatan tidak rasmi yang berpopulasi padat.
© Abhinav Chatterjee/MSF
4. Apa kebimbangan paling besar Doctors Without Borders?
Kami mempunyai tiga kebimbangan utama berhubung situasi semasa ini:
Kelompok rentan: Kami memberi tumpuan kepada kelompok rentan yang mempunyai penyakit lain, seperti diabetes, HIV dan/atau TB. Kerja kami termasuklah memaklumkan mereka ini mengenai langkah-langkah perlindungan yang harus diambil dan bahawa mereka mempunyai cara untuk melindungi diri mereka sendiri.
Jangkitan ke atas kakitangan kesihatan boleh berlaku dengan mudah dalam keadaan mereka dibanjiri jumlah pesakit yang besar. Ia boleh menyebabkan tenaga kerja berkurang dan letih. Keselamatan petugas penjagaan kesihatan harus menjadi keutamaan di setiap kemudahan penjagaan kesihatan kerana mereka adalah barisan pertahanan pertama dalam pandemik.
Akses tepat pada waktu hinggalah kualiti rawatan perubatan, termasuk terapi oksigen: Lonjakan kes COVID-19 yang teruk meningkatkan jumlah mereka yang memerlukan rawatan di hospital dan terapi oksigen. Atas sebab inilah MSF mula menyokong hospital COVID-19 khusus di Mumbai, termasuk dengan menyumbang 10 mesin Cannula Hidung Aliran Tinggi ke kemudahan tersebut, untuk menyokong terapi oksigen.
Doctors Without Borders sebelum ini bertindak balas terhadap COVID-19 di pelbagai negeri di India, termasuk di Bihar, di mana kami merawat mereka dengan kes COVID-19 ringan sehingga sederhana di sebuah kemudahan rawatan 100 katil di Patna, pada Jun 2020.
Pasukan Doctors Without Borders juga menyediakan rawatan kepada mereka yang menghidap penyakit sederhana di fasiliti dengan 1,100 katil di Mumbai, yang ditutup pada pertengahan Februari 2021.
Pendidik Kesihatan Komuniti Ganpat ketika aktiviti Promosi Kesihatan dikendalikan Doctors Without Borders di setinggan sesak di Govandi East di Mumbai, bertujuan mencegah jangkitan COVID-19. Lebih 400,000 tinggal di kawasan ini dengan risiko tinggi jangkitan COVID-19, Doctors Without Borders memulakan aktiviti Promosi Kesihatan pada Jun 2020 menyasarkan populasi ini, aktiviti utama adalah pengedaran pelitup muka dan makluman mengenai langkah pencegahan seperti mencuci tangan dan belajar bagaimana mengenal pasti simptom pertama. Pendidik Kesihatan Komuniti Ganpat menyampaikan pendidikan pencegahan dan kit kebersihan (10 pelitup muka dan 8 sabun) kepada peniaga di kawasan jalan setinggan sesak Govandi East. Foto dari Ogos 2020. © Abhinav Chatterjee/MSF