COVID-19: Tindak balas gelombang kedua di India
Dr Sharanya Ramakrishna memeriksa pesakit di bilik perundingan Pusat Kesihatan Khusus COVID-19 di Pandit Madan Mohan Malviya Shatabdi hospital yang terletak di wad Govandi, M-East Ward, Mumbai. Gambar dari tahun 2020. © Abhinav Chatterjee/MSF
Bandar ini berpenduduk padat dan keadaan kebersihan yang buruk serta menyedihkan menjadi tiga pencetus untuk virus membiak, menjangkiti dan merebak dengan cepat.
Jangkitan baharu harian di seluruh negara mencapai puncak apabila melebihi 200,000 sehari, dengan 115,736 kes baharu dilaporkan di negeri Maharashtra dalam sehari pada 16 April.
"Situasinya sangat membimbangkan," kata Dilip Bhaskaran, Penyelaras C-19 untuk Doctors Without Borders di Mumbai. "Ia peningkatan terbesar sejak pandemik bermula. "Doctors Without Borders bersiap sedia meningkatkan perkhidmatan untuk menyokong kemudahan kesihatan yang ketika ini benar-benar terbeban."
Seorang doktor perubatan mengambil sampel sapu di kawasan pengumpulan sampel di Pusat Kesihatan Khusus COVID-19 di Pandit Madan Mohan Malviya Shatabdi hospital yang terletak di wad Govandi, M-East Ward, Mumbai. Gambar dari tahun 2020. © Abhinav Chatterjee
Sementara itu, pasukan kami aktif mengenal pasti kes, melakukan pemeriksaan dan ujian diperlukan untuk pencegahan dan kawalan jangkitan bagi pesakit TB / DR-TB di hospital Shatabdi dan klinik bebas Doctors Without Borders. Pesakit dijangkiti COVID-19 dan tuberkulosis dirujuk untuk pengurusan dan rawatan pesakit dalam ke hospital Sewri.
Pesakit bukan TB dikenal pasti dengan COVID-19 yang memerlukan kemasukan ke wad dirujuk ke kemudahan Pusat Kesihatan Khusus COVID-19 (DCHC).
Doctors Without Borders terus menyediakan kit pencegahan, kaunseling dan tindak susulan melalui telefon kepada pesakit berisiko tinggi, termasuk TB / DR-TB, pesakit Diabetes melitus dan orang tua. Untuk memastikan kesinambungan rawatan, Doctors Without Borders terus menyokong empat pusat kesihatan di MEW.
Setakat Sabtu, 17 April, Doctors Without Borders telah memulakan aktiviti perlindungan, promosi kesihatan digital, air dan sanitasi di M-East Ward (MEW) Mumbai. Aktiviti akan diperluaskan ke lima lagi kemudahan kesihatan.
Aktiviti promosi kesihatan yang dijalankan oleh Doctors Without Borders di kawasan kumuh Govandi di Mumbai, untuk mencegah penyebaran COVID-19. Gambar dari tahun 2020.© Abhinav Chatterjee/MSF
- COVID mengubah saya sebagai individu serta sebagai seorang doktor
Bayangkan hospital dengan seribu katil. Terdapat 28 wad, begitu juga kawasan kecemasan, kemalangan dan pengasingan (triage). Ia hospital sementara dibina menggunakan khemah logam besar. Memasukinya kali pertama memberi pengalaman sukar dilupakan; saya tidak pernah melihat sesuatu seperti itu. Ia seperti berjalan ke dalam kapal besar. Silingnya sangat tinggi, tetapi pengudaraannya tidak bagus. Ia menepati beberapa standard, tetapi tidak begitu sesuai dengan persekitaran Mumbai. Pada waktu pagi, Mumbai menjadi sangat lembap. Ia sangat panas. Dan bekerja dengan pakaian pelindung selama enam jam; ia sukar dibayangkan. Keadaan terlalu panas untuk ditanggung.
Ini minggu kedua projek kecemasan kami. Minggu lalu, kami menerima sekitar 200 hingga 250 pesakit baharu setiap hari dan, sementara keadaan di Mumbai masih sangat serius, sebagai satu pasukan, kami mempunyai minggu yang lebih baik. Minggu ini kami melihat hasil lebih baik daripada pesakit kami, lebih baik daripada yang kami jangkakan.
Ketika mula bekerja di pusat COVID Mumbai pada September 2020, keadaannya huru-hara, dengan gelombang demi gelombang mereka yang takut datang berkunjung setiap hari. Selepas itu, semua berjalan lancar; rawatan pesakit diperkemaskan.
Hari ini, cabaran terbesar kami adalah kekurangan kakitangan. Ramai tidak dapat bekerja di persekitaran ini untuk jangka masa panjang. Ia memenatkan, dan kitaran kepenatan lebih pantas kini berbanding gelombang pertama. Sekarang, selepas tiga hari bekerja, anda sudah kepenatan. Walaupun syif anda hanya enam jam, ia adalah waktu COVID. Ini keadaannya, bilangan pesakit yang ramai namun kurangnya induksi yang teratur. Terdapat 28 wad; setiap wad harus mempunyai dua jururawat pada setiap syif dan ada empat syif. Cuba anda kira dan lihat - sukar untuk mendapatkan jururawat seramai itu.
Kami menumpukan usaha merekrut dan melatih kakitangan baharu. Ramai jururawat Kementerian Kesihatan yang bekerjasama dengan kami adalah lulusan baharu yang diberi kepercayaan melakukan sesuatu yang tidak pernah dijangka atau difahami sesiapa pun. Mereka berusaha menyelesaikan tugas, tetapi mereka tidak berpengalaman dan tidak tahu bagaimana menguruskan kerja atau masa mereka. Jururawat Doctors Without Borders memberikan sokongan kepada jururawat MOH dengan bimbingan dan tunjuk ajar secara terus di katil pesakit.
COVID mengubah saya sebagai individu dan sebagai seorang doktor. Pesakit meninggal dunia, tetapi saya sudah terbiasa. Kami sudah lali dengan keadaan itu. Saya tidak mempunyai masa untuk memikirkannya. Sebelum ini, saya sangat fokus kepada pesakit, semuanya berkaitan advokasi pesakit. Sekarang, saya takut untuk membina hubungan dengan pesakit. Pada mulanya saya melakukannya, dan kemudian apabila saya akan kembali untuk syif berikutnya dan melihat katil mereka kosong, ia mematahkan hati saya. Bahkan saya sekarang merujuk mereka sebagai 'pesakit'. Saya biasa menggunakan nama sebelum ini. Atau saya akan katakan, 'pesakit saya'. Beginilah bagaimana ia mengubah saya.
Kami menghasilkan kaedah intuitif untuk memudahkan kerja kakitangan kami. Pasukan Doctors Without Borders sarat dengan personaliti yang sangat kuat. Inilah yang saya cari semasa merekrut mereka. Setiap ahli pasukan kami sangat kuat, baik kemahiran klinikal atau keperibadian mereka. Kami menggalakkan kakitangan kami berbincang lebih awal dengan pesakit mengenai kemungkinan COVID-19 yang akan berlaku, untuk membantu kakitangan dan pesakit memahami apa yang mungkin berlaku; kebarangkalian mereka untuk berdepan maut. Kami mendapat hasil positif daripada usaha ini. Ia membantu pasukan kami menerima apa yang berlaku kepada pesakit mereka. Hakikatnya, mereka bukan hanya berbual, tetapi pesakit tahu apa yang akan terjadi, dan dalam beberapa keadaan bersedia untuk menghadapinya.
Semua orang mesti bersuara mengenai keadaan di India. Apa yang berlaku sekarang adalah sangat kejam dan jika tidak ada yang bersuara, ia hanya berlaku. Ia ibarat sebatang pokok yang tumbang dalam penebangan hutan. India mempunyai ramai yang bersedia untuk menjadi sukarelawan dalam apa cara yang mereka mampu dan ramai ingin mendapatkan rawatan perubatan jika mereka boleh. Jurangnya ada dalam infrastruktur.
Ia sedikit surut ketika ini, namun rasanya seperti suasana tenang sebelum ribut. Timbul ketakutan bahawa Mumbai mungkin menuju ke arah penutupan penuh. Kami benar-benar bekerja lebih masa untuk memastikan keadaan teratur sebelum sesuatu lebih buruk berlaku. Sekiranya ia tidak berlaku, bagus; COVID adalah konteks di mana saya suka apabila saya salah!
Apa berlaku sekarang adalah sangat kejam.
Gautam Harigovind adalah Pengurus Aktiviti Perubatan bagi projek COVID-19 Doctors Without Borders di Mumbai. Dia menceritakan tugas mereka di sini.
Doctors Without Borders bersiap sedia untuk menyokong dua unit dalaman di hospital Jumbo di Mumbai. Bahagian ini akan merangkumi dua set khemah dengan kapasiti kira-kira 1,000 katil unit rawatan rapi di setiap bilik. Lima doktor perubatan tambahan dan lima jururawat direkrut untuk memperkukuhkan tindak balas.
Doctors Without Borders akan terus memberikan sokongan perubatan dan teknikal dengan bekalan oksigen dan terapi.