Syria Utara: Sistem kesihatan binasa ketika wabak COVID-19 paling teruk
Dua jururawat berjalan di koridor wad khas COVID-19 di Hospital Kebangsaan Raqqa. Doctors Without Borders kini memindahkan tindak balas COVID-19 dari Hospital Kebangsaan Raqqa ke pusat COVID-19 Raqqa. Jun 2021. © Florent Vergnes
Syria Utara - Oktober 13, 2021 - Syria Utara mengalami gelombang COVID-19 paling teruk direkodkan sehingga kini, dengan keperluan mendesak untuk bekalan oksigen yang terhad dan kemudahan kesihatan yang kehabisan kit ujian. Di bahagian barat laut sistem kesihatan sudah tidak dapat menampungnya, sementara di timur laut virus merebak pada kadar membimbangkan, kata organisasi kemanusiaan perubatan antarabangsa Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) hari ini.
Di barat laut Syria, angka kes disahkan COVID-19 hampir dua kali ganda pada September, mencecah 73,000 dibandingkan 39,000 kes direkodkan penghujung Ogos. “Kemuncak gelombang setakat ini mencapai setinggi 1,500 kes sehari, sedangkan tidak pernah melangkaui 600 kes sehari sewaktu gelombang terdahulu,” kata Francisco Otero v Villar, Ketua Misi Doctors Without Borders di Syria.
Hanya 16 daripada 33 pusat rawatan COVID-19 berfungsi di wilayah yang mempunyai empat juta orang ini. Infrastruktur kesihatan yang sedia terhad, serta isu bekalan yang mengakibatkan saringan tidak mencukupi, menjadikannya mustahil untuk menilai tahap sebenar penyebaran virus dan menawarkan tindak balas mencukupi. Usaha membendung virus dihalang akses lemah kepada penjagaan kesihatan dan kadar imunisasi rendah di barat laut, di mana hanya 3% daripada jumlah populasi diberi vaksin sepenuhnya disebabkan orang ramai teragak-agak mengambil vaksin, selain pelancaran vaksin yang perlahan.
Abdul Harma, ketua jururawat di hospital khusus COVID-19 di Hassakeh, timur laut Syria, merawat En. Ali dengan latihan pernafasan.
Pada usia 65 tahun, Ali percaya dia akan mati apabila simptom pertama dialami bertambah teruk: “Pada mulanya, saya jangka ia sekadar selesema, seperti biasa pada musim ini, kemudian ia bertambah teruk. Apabila sukar bernafas isteri memaksa saya ke hospital. Saya diberitahu ia adalah COVID-19, saya panik dan merasakan ia satu pengakhiran. Saya tidak mampu bercakap lagi kerana sukar untuk bernafas. Namun syukur kepada Tuhan dan seluruh pasukan hospital, keadaan menjadi lebih baik!”
Jun, 2021 © Florent Vergnes
Kami menyaksikan sendiri peningkatan tahap wabak ini dalam kemudahan yang kami uruskan dan sokong: meraka yang sangat memerlukan oksigen atau rawatan rapi terpaksa beratur, disebabkan tiada katil atau ventilator tersedia, sekali gus membawa kepada kadar kematian lebih tinggi berbanding gelombang sebelum ini. Di Afrin, 44% pesakit yang kini dimasukkan ke pusat disokong Doctors Without Borders berusia antara 16 dan 40 tahun, menunjukkan walaupun mereka yang sebelum ini dianggap agak selamat daripada menerima kesan teruk disebabkan virus itu juga mengalami impak serius.Ketua Misi Francisco Otero y Villar
Doctors Without Borders cuba meningkatkan operasi berdasarkan keperluan meningkat ini. Pada Ogos, kami membuka semula dua pusat pengasingan COVID-19 di pentadbiran Idlib, dan kami kini dalam proses memperluaskan kapasitinya. Kami juga memperbaharui sokongan kepada dua Pusat Rawatan Komuniti di Afrin serta Al-Bab dan kami terus menyokong sebuah pusat rawatan untuk pesakit berkaitan respiratori di Afrin. Di kem pelarian, di mana lebih 13% kes disahkan menetap, kami menyediakan klinik bergerak untuk menjalankan ujian COVID-19 dan mengedarkan kit pencegahan kepada gelandangan.
Di Hospital Kebangsaan Raqqa, Abu Bakr, dalam usia 60-an, merasakan simptom pertama COVID-19 seminggu sebelum dimasukkan ke hospital.
“Saya pergi berjumpa ahli farmasi di kampung saya. Dia memberi saya antibiotik. Ia tidak membantu, sebaliknya lebih teruk. Jadi saya membayar teksi untuk berjumpa doktor di bandar. Apabila diberitahu ia adalah COVID-19, saya fikir ia sudah berakhir untuk saya. Sekarang, syukur kepada Allah dan para jururawat, keadaan saya lebih baik, malah saya boleh bercakap.”
Jun, 2021 © Florent Vergnes
Doctors Without Borders turut menyaksikan peningkatan membimbangkan kes COVID-19 di timur laut Syria sejak beberapa minggu lalu. Pada minggu terakhir September, purata 342 orang diuji positif sehari: jumlah harian tertinggi sejak wabak bermula. Walaupun bilangan mula berkurangan minggu pertama Oktober, satu-satunya makmal yang boleh melakukan ujian PCR untuk mendiagnosis COVID-19 di wilayah ini kekurangan bahan dan mungkin menghentikan semua ujian pada minggu berikutnya jika angka kes tidak terus merosot. Bekalan oksigen juga mengalami tekanan serius, dengan kemudahan rawatan COVID-19 di Hassakeh terpaksa mendapatkan silinder oksigen dari bandar Qamishli, Raqqa dan Tabqa untuk memenuhi permintaan.
Sebagai tindak balas kepada gelombang COVID-19 baharu ini, Doctors Without Borders bekerjasama dengan organisasi tempatan untuk merawat mereka yang disyaki atau disahkan COVID-19 di pusat rawatan di bandar Hassakeh dan Raqqa. Namun keupayaan kami mendapatkan oksigen mencecah kemuncak, dan kami bimbang jika bilangan kes positif meningkat lagi, atau kekal stabil pada kadar yang tinggi, kami tidak akan dapat memenuhi permintaan untuk semua pesakit.Hanna Majanen, pengurus perubatan
Seorang jururawat memeriksa tekanan tong oksigen pesakit di bahagian COVID-19 Hospital Kebangsaan Raqqa, di timur laut Syria. “Kami bimbang bekalan tidak mencukupi," katanya. Jun 2021. © Florent Vergnes
Sebelum wabak itu sekalipun, sistem kesihatan di utara Syria sudah bergelut dan bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk memenuhi keperluan perubatan. Kini, kemudahan penjagaan kesihatan dan penggiat aktiviti kemanusiaan masing-masing tidak mampu mengatasi peningkatan tahap gelombang baharu ini. Hari ini lebih berbanding sebelumnya, usaha mesti dilakukan untuk menyelamatkan kemudahan ini daripada lumpuh sepenuhnya disebabkan bebanan wabak. Sokongan dan perlindungan untuk pekerja penjagaan kesihatan, penyediaan kit ujian dan oksigen, peningkatan kapasiti katil di hospital dan peluasan perlindungan vaksinasi amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa ramai pesakit COVID-19, serta memastikan sistem kesihatan berfungsi di utara Syria.