Timur Laut Syria: Hospital kehabisan dana dan bekalan perubatan ketika gelombang kedua COVID melanda wilayah
Seorang gadis melihat melalui pagar tertutup di Kem Al-Hol, Pentadbiran Al-Hasakah Timur, Timur Laut Syria, Mac, 2020. © Ricardo Garcia Vilanova
Jumlah sebenar yang terjejas akibat COVID-19 diyakini jauh lebih tinggi berbanding dilaporkan memandang ramai terus bergelut untuk mengakses ujian serta penjagaan kesihatan. Setahun selepas kes pertama koronavirus di rantau ini, tindak balas tetap rapuh dan kekurangan dana sangat drastik, sementara rancangan memvaksinasi petugas kesihatan di barisan hadapan dan penduduk tetap kabur.
Wabak COVID-19 ketika ini merebak dengan cepat ke seluruh wilayah timur laut Syria. Di dua hospital COVID-19 disokong Doctors Without Borders di wilayah ini, di Hassakeh dan Raqqa, pasukan perubatan menyaksikan peningkatan mendadak kes disahkan bulan lalu, termasuk dalam kalangan pekerja kesihatan. Dengan kadar positif ujian PCR setinggi 47%, jelas banyak kes belum dikenal pasti yang mempunyai kaitan langsung dengan keupayaan ujian terhad di rantau ini.
Mengejutkan selepas setahun ia merebak, wilayah Timur Laut Syria masih berusaha mencari bekalan penting COVID-19. Kekurangan ujian makmal jelas, kapasiti hospital tidak mencukupi untuk menguruskan pesakit, tidak cukup oksigen untuk menyokong mereka yang sangat memerlukannya dan terhadnya ketersediaan kelengkapan pelindung diri (PPE) untuk pekerja kesihatan.Crystal Van Leeuwen, Kecemasan perubatan
Satu-satunya makmal di wilayah yang dapat menguji COVID-19 adalah di Qamishli. Kini ia berdepan kekurangan bekalan yang kritikal, dan dua minggu daripada sekarang, tidak akan ada kapasiti pengujian PCR di rantau ini melainkan bekalan seterusnya tiba. Doctors Without Borders menyumbang bekalan ujian ke makmal Qamishili empat kali sejak bermulanya wabak untuk mengelak kehabisan stok dan memastikan kesinambungan ujian PCR. "Ketiadaan mekanisme rentas sempadan PBB untuk Timur Laut Syria mengundang cabaran untuk bekalan sampai ke Timur Laut daripada organisasi yang berpusat di Damsyik, seperti WHO, wilayah ini benar-benar kurang diberi perhatian dalam wabak ini," kata Van Leeuwen.
Kem Al-Hol, Pentadbiran Al-Hasakah Timur, Timur Laut Syria, Mac, 2020 © Ricardo Garcia Vilanova
Sekurang-kurangnya dua pusat rawatan COVID-19 di Hassakeh dan Raqqa menghentikan aktiviti selepas kehabisan dana dan bekalan perubatan, dikaitkan dengan kekurangan perancangan pembiayaan jangka panjang oleh organisasi Kemanusiaan dan cabaran dalam saluran bekalan. Banyak hospital lain yang tidak disokong membangkitkan kerisauan dan memohon sokongan bahan asas tetapi penting seperti oksigen, antibiotik dan PPE untuk menangani peningkatan pesakit dengan COVID-19.
Walaupun ramai petugas kesihatan barisan depan di seluruh dunia sudah pun menerima suntikan pertama untuk melindungi mereka daripada COVID-19, rancangan vaksinasi di timur laut Syria masih lagi samar, dengan janji yang tidak jelas serta perancangan tidak mencukupi. Pihak berkuasa tempatan melaporkan mereka dijanjikan hanya 20,000 vaksin untuk wilayah yang menampung lima juta orang, dan masih belum jelas apakah vaksin berkenaan akan sampai.
Dengan komitmen minimum ini dan kurangnya perancangan yang jelas, kami sangat bimbang aktiviti vaksinasi COVID-19 yang signifikan tidak mungkin ada di wilayah ini dalam waktu dekat. Peruntukan vaksin dan bekalan keperluan lain terbukti tidak saksama di pelbagai wilayah di negara ini, menunjukkan sekali lagi tindak balas bantuan kemanusiaan di timur laut Syria dipengaruhi politik serantau dan kurangnya mekanisme rentas sempadan PBBCrystal Van Leeuwen, Kecemasan Perubatan
Ramai di timur laut Syria sedia berdepan akses terhad kepada perkhidmatan kesihatan, bekalan air dan sanitasi, menjadikan mereka sangat rentan terhadap gelombang pandemik kedua ini. Di kemudahan rawatan COVID-19 disokong Doctors Without Borders, kadar kematian terus meningkat apabila perkhidmatan kesihatan semakin tegang. Dengan lebih 70% pesakit memerlukan oksigen, ia suatu yang mustahil untuk mengimbangi antara keperluan dan bekalan.
"Respons COVID-19 di timur laut Syria tidak mencukupi dan ramai mati secara tidak sepatutnya akibat penyakit ini," kata Van Leeuwen. "Peningkatan signifikan dalam bantuan daripada organisasi kesihatan dan kemanusiaan sangat penting, sepertiman fleksibiliti penderma untuk mendukung organisasi pelaksana ketika turun naiknya pandemic ini. Tanpa pengakhiran jelas COVID-19 di Syria, penyediaan vaksin dan perancangan jangka panjang mesti dilaksanakan untuk mencegah penderitaan tidak perlu dan bagi mengelak kekurangan secara tiba-tiba dan mengganggu bekalan penting untuk pencegahan, ujian serta rawatan COVID-19. "