Timur Laut Syria: 'Perasan yang menerawang ke udara’
Pemandangan kem Al-Hol di Timur Laut Syria. Syria, Disember 2023. © MSF
Vickie Hawkins adalah Ketua Pengarah Doctors Without Borders Belanda yang baru pulang dari lawatan ke Timur Laut Syria. Beliau berkongsi pengalamannya selepas melawat projek Doctors Without Borders di sana serta situasi ngeri yang dihadapi orang ramai:
Dalam 25 tahun bersama Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF), saya sering ditanya mengenai perkara yang saya lihat sepanjang menjalankan tugas yang benar-benar melekat dalam pemikiran. Kadang-kadang ianya pengalaman yang mendatangkan kesan ataupun mungkin individu tertentu. Namun yang lebih sukar untuk dijelaskan kadang-kala apa yang benar-benar mendatangkan kesan itu adalah perasaan, sesuatu yang menerawang di udara yang anda tidak boleh jelaskan. Yang pasti inilah yang berlaku dalam lawatan saya baru-baru ini ke program kami di Timur Laut Syria (NES).
Di NES, pasukan kami menyediakan penjagaan kesihatan utama, rawatan untuk penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan penyakit jantung, serta menggerakkan loji penulenan air untuk menyediakan air minuman selamat di kem Al-Hol. Pasukan perubatan kami juga menyediakan penjagaan di kem Al-Hol untuk mereka yang tidak dapat datang ke klinik.
NES berada dalam rangkaian kuasa geopolitik yang kompleks. Tersepit antara negara jiran Turki dan Iraq, ditadbir secara autonomi daripada kawasan Syria yang lain, garisan kawalan ini berlegar dengan putaran yang memeningkan di atas kepala kira-kira lebih 3 juta penduduk yang menetap di sana.
Kehidupan dalam penjara terbuka
Salah satu perhentian pertama semasa lawatan saya ialah Kem Al-Hol, sebuah kem tahanan besar-besaran di pinggir selatan bandar Al-Hol, berhampiran sempadan Syria-Iraq. Di sinilah lebih 43,000 orang ditahan dalam penjara terbuka dalam bentuk khemah dengan pagar besar dan pengawal bersenjata berselerak di sekeliling perimeter.
Apabila suhu melonjak melebihi 40 darjah celsius, saya tertanya-tanya bagaimana mungkin untuk menahan haba dan habuk, tinggal di dalam khemah, selama bertahun-tahun. Saya banyak membaca dan mendengar mengenai kem Al-Hol sebelum melawat, namun apabila melihatnya secara langsung, anda sedar betapa ia sangat menyedihkan, suatu konteks yang terhad dalam konteks lain yang juga terhad.
Kem itu pada asalnya menyediakan penginapan sementara dan perkhidmatan kemanusiaan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik di Syria dan Iraq. Bagaimanapun, ia semakin menjadi penjara terbuka yang tidak selamat dan tidak bersih selepas orang ramai dipindahkan ke sana dari wilayah dikawal IS (Islamic States) pada Disember 2018.
Deretan khemah berhampiran kemudahan Doctors Without Borders, ketika hari hujan di kem Al-Hol, timur laut Syria. Syria, Disember 2023. © MSF
Sejak itu, mereka yang menghuni kem terbabit secara efektif terperangkap dalam limbo, dengan hanya segelintir tahanan dikembalikan ke negara asal mereka termasuk Perancis, Kanada, Australia, Syria dan Iraq. Berjalan melalui kem, apa yang menarik perhatian saya adalah bilangan kanak-kanak di sana. Sejumlah 65 peratus penghuni kem berusia bawah 18 tahun dengan 51 peratus bawah usia 12 tahun.
Semasa memasuki kem, anda melihat kanak-kanak bermain di atas permukaan tanah dengan mainan yang dihasilkan daripada sampah. Mereka tidak mempunyai akses tetap kepada pendidikan atau aktiviti sosial. Semasa anda memerhatikan mereka cuba melayan masa yang berlalu, jelas sekali ia bukan cara untuk sesiapa pun dipaksa hidup, apatah lagi kanak-kanak.
Saya tidak dapat membantu tetapi tertanya-tanya apakah jenis masa depan yang ada untuk kanak-kanak ini, terperangkap di tengah-tengah keganasan dan terdesak. Selama bertahun-tahun kami mendokumentasikan keadaan tidak selamat di Al-Hol, namun lebih lima tahun berlalu keadaan di sana kekal sama. Malah, dalam beberapa minggu selepas saya meninggalkan NES, satu lagi serbuan ganas dilakukan oleh pasukan keselamatan.
Pada awal pagi Isnin, 10 Jun, khemah-khemah ditoreh, penghuni diserang secara fizikal termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak yang dirawat akibat kecederaan di klinik kem kami, barangan peribadi dimusnahkan, dan sembilan kanak-kanak dipisahkan dan diasingkan dari ibu mereka yang kecewa. Sehingga kini, wanita-wanita ini belum menerima maklumat mengenai keberadaan anak-anak mereka.
Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ke atas secara rutin dialihkan dan ditempatkan di pusat tahanan di luar kem sama ada dengan sedikit atau tiada langsung kontak atau pengawasan dari dunia luar. Apa yang dipanggil 'operasi keselamatan' baru-baru ini disusuli serbuan ganas yang sama pada 29 Januari, di mana khemah digeledah, orang ramai dipukul, dan sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak dan seorang wanita maut, manakala beberapa yang lain cedera.
Seorang kanak-kanak melukis pada dinding di klinik kesihatan mental Doctors Without Borders di kem Al-Hol, timur laut Syria. Syria, Disember 2023. © MSF
Beberapa hari kemudian, apabila saya melawat program kami di bandar Raqqa dan Hassakeh, saya mula memahami bahawa keputusasaan dalam NES tidak terhad kepada Al-Hol. Di seluruh NES jurang dalam perkhidmatan sangat jelas. Saya melawat pasukan kami yang menyokong pusat penjagaan kesihatan utama, menjalankan program pemakanan terapeutik untuk kanak-kanak kekurangan zat makanan, mengendalikan dua klinik merawat NCD, dan bertindak balas terhadap wabak penyakit termasuk taun dan campak.
Dalam program NCD di bandar Hassakeh terdapat hampir 3000 pesakit manakala program NCD Raqqa menyokong lebih 2800 pesakit. Melihat inisiatif ini, dan bercakap dengan pesakit, jelas sekali bagaimana krisis ekonomi di Syria, di samping semua yang dialami orang ramai selama lebih dekad konflik, kini telah benar-benar melanda.
Saya mendengar cerita tentang pilihan yang kelihatan mustahil yang terpaksa dibuat selain berbicara dengan seseorang yang memberitahu saya bahawa mereka bergantung kepada perkhidmatan percuma Doctors Without Borders kerana tidak mampu membayar untuk kos penjagaan kesihatan. Bagi sesetengah orang, ini bermakna membuat pilihan antara meletakkan makanan di atas meja untuk keluarga mereka atau membeli ubat untuk keadaan kronik mereka.
Saya juga bercakap dengan seseorang yang meratapi segala-galanya yang hilang dalam apa yang kelihatan seperti berlaku sekelip mata. Sebelum 2011, Syria mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang dibangunkan dengan baik, namun bercakap dengan orang di NES, saya mengesan perasaan bahawa mereka merasakan terperangkap di sudut kecil negara ini, tidak dapat menyeberangi sempadan atau melihat apa-apa masa depan melangkaui kehidupan mereka sehari-hari.
Malangnya data membuktikannya. Semasa saya di NES, persidangan penderma 2024 untuk Syria berlangsung, dan mengakibatkan pengurangan 20% pembiayaan penderma untuk program kemanusiaan di seluruh Syria. Ini tahun kedua berturut-turut ia dikurangkan. Apabila anda menganggap pada 2024, AS$4.07 bilion diperlukan untuk bertindak balas terhadap keperluan kemanusiaan di Syria namun hanya enam peratus, atau $326 juta, dibiayai melalui Pelan Tindak Balas Kemanusiaan (HRP), adalah mudah untuk melihat betapa lumpuhnya keadaan itu, dengan minat dan sokongan semakin berkurangan.
Di kem Al-Hol, sebagai contoh, keperluan tidak lagi mendesak: pada Mac tahun ini, sistem rujukan perubatan dibiayai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) daripada 11 kem, termasuk Al-Hol, dihentikan kerana kekurangan pembiayaan. Pemotongan pembiayaan ini pada dasarnya menghapuskan kemungkinan orang di kem Al-Hol, dan dari kem lain di timur laut Syria, untuk mengakses penjagaan kesihatan pakar, termasuk untuk penyakit yang boleh dirawat dan boleh dicegah, dan untuk rawatan pakar segera seperti pembedahan.
Krisis kekurangan air yang tidak pernah berlaku
Seiring krisis ekonomi dan isu bekalan makanan dan perubatan, NES menghadapi krisis kekurangan air yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Hujan yang berkurangan, keadaan kemarau yang teruk digabungkan dengan paras air yang rendah di Sungai Euphrates, gangguan bekalan dari stesen air Alouk yang digunakan untuk memberi perkhidmatan kepada lebih sejuta orang, dan infrastruktur air yang rosak bukan sahaja telah menghalang air minuman yang selamat bagi berjuta-juta rakyat Syria tetapi juga mengakibatkan inflasi lebih teruk serta kehilangan hasil tuaian dan pendapatan.
Keadaan ini meningkatkan risiko wabak penyakit seperti taun, campak dan jangkitan pernafasan yang boleh merebak dengan cepat. Saya mendengar daripada pasukan Doctors Without Borders dan daripada pesakit tentang bagaimana tindakan segera diperlukan untuk mengukuhkan kesediaan wabak di NES, meningkatkan akses penjagaan kesihatan dan memastikan akses mampan kepada air bersih untuk mencegah dan mengehadkan kesan wabak.
Ia adalah tempat di mana masyarakat antarabangsa masih mempunyai peranan besar untuk dimainkan dalam memberikan bantuan kemanusiaan. Situasi ini benar terutamanya di Kem Al-Hol, di mana Pentadbiran Autonomi Syria Utara dan Timur, Gabungan Global diketuai AS untuk Menewaskan ISIS, penderma antarabangsa, dan negara yang mempunyai warganegara yang ditahan di Al-Hol mesti segera menyediakan penyelesaian jangka panjang untuk mereka yang ditahan di kem.
Walaupun konflik Syria telah reda, masih wujud perasaan berterusan mengenai potensi peningkatan. Inilah perasaannya, sesuatu yang menerawang di udara. Dan ia menambahkan lagi trauma yang ketara dialami populasi di NES, kerana mereka pada dasarnya tetap terperangkap dan terdedah, menunggu apa sahaja yang akan datang.