Syria: Pengasingan barat laut daripada bantuan kemanusiaan mesti dihalang
Sebuah kem untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal di wilayah Idlib, barat laut Syria. Kem itu menerima keluarga baharu yang berpindah akibat gempa bumi. Barat Laut Syria, Mei 2023. © Abdul Razzak Al-Shami /MSF
Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk memperbaharui resolusi rentas sempadan (UNSCR 2672) bagi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Barat Laut Syria. Memastikan akses kemanusiaan yang dipertingkat, diperluas dan mampan melalui segala cara yang mungkin serta titik lintasan adalah penting, untuk memastikan penyediaan bantuan menyelamatkan nyawa tanpa gangguan untuk penduduk di barat laut Syria.
“Undian akan datang pada 10 Julai mewakili detik kritikal bagi barat laut Syria. Sungguh menyedihkan melihat akses penting orang ramai kepada bantuan kemanusiaan tersekat dalam rundingan politik," kata Sebastien Gay, Ketua Misi Doctors Without Borders untuk Syria. "Kegagalan untuk memastikan kaedah penyaluran bantuan yang tetap dan mampan meletakkan nyawa dan kesihatan orang ramai dalam bahaya."
Gempa bumi dahsyat melanda barat laut Syria pada 6 Februari tahun ini mendedahkan situasi kemanusiaan yang sudah sedia teruk dan menjelaskan mengenai sifat rapuh dan kurangnya akses kemanusiaan ke rantau itu. Gempa bumi adalah titik perubahan kritikal yang memberi perhatian kepada jurang dalam tindak balas dan kecekapan kemanusiaan, kerana ia gagal menangani skala serta skop keperluan secukupnya.
"Selama hampir tiga hari selepas gempa bumi, tiada bantuan kemanusiaan antarabangsa tambahan tiba di barat laut Syria, menyebabkan orang ramai tiada tempat berteduh, terdedah kepada suhu beku, dan kekurangan penjagaan kesihatan yang sewajarnya," kata Gay. "Ketibaan bantuan menyelamatkan nyawa yang tertangguh menyerlahkan status terasingnya barat laut Syria."
Peta menunjukkan titik laluan lintasan untuk penyampaian bantuan kemanusiaan ke barat laut Syria.
Bersama-sama organisasi lain, Doctors Without Borders berulang kali memberi amaran bahawa saluran terhad yang boleh dilalui bantuan kemanusiaan menjejaskan keupayaan untuk bertindak balas terhadap kecemasan. Bencana baru-baru ini memberikan bukti yang tidak dapat dinafikan mengenai keperluan untuk mempelbagaikan saluran bantuan dan memastikan daya maju jangka panjangnya. Dengan akses yang betul, banyak kematian berikutan gempa bumi boleh dicegah.
Mengambil kira pengalaman baru-baru ini, kegagalan memperbaharui resolusi rentas sempadan dan mewujudkan akses mampan kepada bantuan kemanusiaan di barat laut Syria akan membawa kesan buruk kepada kesihatan fizikal dan mental manusia. Selama bertahun-tahun, mekanisme rentas sempadan menghadapi halangan ketara, termasuk pengurangan titik lintasan dibenarkan daripada empat kepada satu, serta pengurangan tempoh sah pembaharuan semula daripada satu tahun kepada enam bulan.
Tindakan tidak memperbaharui akan menyekat kapasiti Doctors Without Borders dan organisasi lain untuk memberikan bantuan menyelamatkan nyawa kepada mereka di barat laut Syria. Meskipun ada usaha semasa ke arah perancangan luar jangka, saluran kemanusiaan rentas sempadan yang diselaras dan dipantau PBB kekal pilihan paling boleh dipercayai dan menjimatkan kos untuk Doctors Without Borders. Untuk mengekalkan skala aktiviti perubatan ini, dan bertindak balas terhadap keperluan perubatan dan kemanusiaan yang besar, kemampanan rantaian bekalan kami adalah penting.
Tambahan pula, mekanisme rentas sempadan semasa dengan tempoh sah enam bulan menghalang ketersediaan kecemasan organisasi serta kumpulan antarabangsa dan nasional, selain menghalang pelaksanaan projek jangka panjang dan mampan, mengambil kira kitaran pembiayaan dikaitkan dengan mekanisme ini. Doctors Without Borders menyaksikan sendiri kesan negatif kekurangan pembiayaan terhadap kemudahan perubatan yang penting. Untuk memastikan ketersediaan terhadap kecemasan, ancaman berterusan untuk tidak memperbaharui memaksa organisasi kemanusiaan menyimpan bekalan secara berlebihan, mengakibatkan pembaziran.
Adalah penting bagi titik lintasan Bab Al-Salama dan Al-Rai, yang tidak diliputi resolusi Majlis Keselamatan PBB dan dibuka selepas gempa bumi, dipastikan kekal terbuka untuk konvoi kemanusiaan. Walau bagaimanapun, lanjutan pembukaan titik ini tidak boleh digunakan untuk mewajarkan usaha tidak memperbaharui Resolusi UNSC, kerana Bab Al-Hawa kekal sebagai titik lintasan yang paling boleh dipercayai, kos efektif dan digunakan secara meluas.
Garisan lintasan, yang menjadi mekanisme digunakan untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dari kawasan dikawal kerajaan ke barat laut Syria, boleh menjadi pelengkap, tetapi bukan pengganti untuk mekanisme rentas sempadan. Perbincangan mengenai saluran bantuan kemanusiaan harus memberi tumpuan kepada pelaksanaan praktikal, keselamatan, kecekapan dan ketepatan masa.
Doctors Without Borders mengulangi gesaannya kepada Majlis Keselamatan PBB untuk memperbaharui mekanisme rentas sempadan. “Akses kemanusiaan yang bebas dan tidak berat sebelah ke barat laut Syria mesti dipastikan tidak kira dalam apa keadaan sekalipun”, tambah Gay. “Ia juga mesti kekal bebas daripada sebarang campur tangan politik, kerana nyawa berjuta-juta orang bergantung kepadanya.”