Skip to main content

Jutaan nyawa terancam jika saluran bantuan rentas sempadan ditutup di Syria

Chahine Ziadeh, a resident of Fan Al-Shemali camp in Idlib governorate.

Chahine meninggalkan kampung halamannya pada 2016 selepas serangan tembakan yang kuat. Sejak itu, dia tinggal di pelbagai kem di wilayah berkenaan, sebelum menetap di Fan Al-Shemali dua tahun lalu. © Abdul Majeed Al Qareh/MSF 

 

Antara Julai 2014 hingga awal 2020, resolusi rentas sempadan membenarkan empat lintasan sempadan bagi penyediaan bantuan kemanusiaan ke Syria. Ia disemak dan diperbaharui setiap tahun oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), bagi mengekalkan aliran bantuan kemanusiaan ke kawasan yang bukan di bawah kawalan kerajaan Syria. Pada 2019 dan 2020, Russia dan China menggunakan kuasa veto memperbaharui resolusi penuh rentas sempadan yang merangkumi penyeberangan sempadan dipersetujui sebelum ini, mengeluarkan Bab al-Salam, Al-Yarubiyah dan Al-Ramtha daripada senarai titik lintasan sempadan kemanusiaan yang diluluskan. Akibatnya, hanya satu lintasan sempadan, Bab al-Hawa, kekal dalam resolusi rentas sempadan semasa (UNSCR 2533) sebagai titik lintasan kemanusiaan rasmi ke Syria. Pada 10 Julai 2021, resolusi itu akan diserahkan kepada undian dan laluan akses terakhir ke Syria ini berisiko ditutup.

Kegagalan memperbaharui kebenaran rentas sempadan akan memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang sedia terdesak di barat laut Syria. Bantuan kemanusiaan dan perubatan akan dikurangkan secara drastik dan akan mengambil masa lebih lama untuk sampai kepada orang ramai. MSF selaku antara beberapa aktor perubatan yang masih kekal di kawasan itu, bakal berdepan peningkatan cabaran dalam mencapai populasi paling rentan di barat laut Syria. Kebanyakan hospital dan kemudahan kesihatan bakal kekurangan bekalan perubatan diperlukan untuk beroperasi, dan nyawa pesakit akan terancam. Selain itu, kempen tindak balas dan vaksinasi COVID-19 di kawasan berkenaan juga berisiko terancam akibat penutupan baki titik lintasan sempadan yang terakhir, termasuk aliran bahan Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE), tangki oksigen, alat pernafasan, ubat-ubatan penting dan vaksin COVID-19.

“Selepas sedekad perang, pembaharuan resolusi Majlis Keselamatan kini lebih kritikal berbanding sebelum ini. Kehidupan jutaan orang, majoritinya wanita dan kanak-kanak, bergantung kepadanya. Walaupun MSF bukan rakan pelaksana mandat PBB, dan tidak bergantung semata-mata pada resolusi UNSC yang membenarkan pengimportan rentas sempadan bantuan ke Syria, pasukan kami pasti merasakan beban dengan sebarang penutupan mendadak serta tidak akan mampu mengisi kekurangan berlaku jika agensi PBB dan organisasi lain mengurangkan secara mendadak bantuan mereka di barat laut Syria” jelas Dr Faisal Omar, Ketua Misi MSF untuk Syria.

Sekatan ekonomi berterusan ke atas Syria, di samping krisis ekonomi yang semakin teruk dan penurunan nilai mata wang pada 2021, memburukkan lagi keadaan hidup penduduk di semua kawasan. Menurut agensi PBB, harga bakul makanan meningkat lebih 220% manakala 80% penduduk kekal di bawah garis kemiskinan dan 90% kanak-kanak kini bergantung kepada bantuan kemanusiaan.

 “Lintasan Bab al-Hawa kini satu-satunya talian hayat bagi gabenor Idlib, di barat laut Syria. Jika talian hayat ini terputus, kita akan berdepan pelbagai bentuk kematian. Jika bekalan perubatan terhenti, kami mungkin kehilangan upaya untuk merawat pesakit, kerana stok semasa kami hanya boleh bertahan selama tiga bulan. Dan jika bekalan makanan dan air minum terhenti, penyakit serta wabak akan menjejaskan golongan terlantar secara dalaman (IDP) serta penduduk tempatan. Sesetengah penduduk di kawasan ini dipindahkan lebih 14 kali, dan mereka bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan”, kata Penyelaras Koordinator MSF untuk Syria.
 
Sepanjang tahun lalu, terutamanya semasa respons kami terhadap pandemik COVID-19 di timur laut Syria, MSF menyaksikan sendiri bagaimana keputusan Majlis Keselamatan PBB untuk tidak memperbaharui mekanisme bantuan rentas sempadan PBB melalui lintasan sempadan Al-Yarubiyah. Mengundang penderitaan ketara kepada orang ramai, menghalang bantuan penting yang menyelamatkan nyawa daripada sampai ke timur laut Syria melalui Iraq. Senario ini tidak boleh berulang di barat laut tahun ini.

MSF menyeru ahli tetap dan tidak tetap Majlis Keselamatan PBB untuk memperbaharui resolusi rentas sempadan UNSCR, serta memulihkan semula titik rentas sempadan lintasan Bab al-Salam ke barat laut dan lintasan Al-Yarubiyah ke timur laut. Rentas sempadan kekal satu-satunya saluran kemanusiaan yang boleh diharap untuk menampung keperluan semakin meningkat di utara Syria.

 

Categories