Kematian luar biasa dan keruntuhan hospital di Peru yang dilanda COVID-19
Kakitangan Doctors Without Borders memeriksa ubat-ubatan dan peralatan yang baru mereka terima untuk menyokong campur tangan COVID-19 yang dilancarkan baru-baru ini di wilayah Huaura, utara Lima, Peru. Kapasiti tempatan untuk rawatan perubatan dan terapi oksigen tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan. © Jean-Baptiste Marion/MSF
Gelombang baharu COVID-19 yang kejam melanda Peru sejak beberapa minggu lalu, mengakibatkan hospital sesak dan angka kematian memuncak, sementara akses kepada vaksinasi menjadi cabaran utama bagi tindak balas tersebut. Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières(MSF) bergabung dengan pihak berkuasa kesihatan di utara Lima untuk memperkukuh pengurusan wabak di kawasan itu.
Gelombang maut COVID-19 melanda Peru, di mana hospital bergelut dan mengalami kekurangan bekalan oksigen yang kritikal , sementara kadar jangkitan didorong keberadaan varian P1, yang biasanya disebut sebagai varian Brazil. Menurut data WHO, pada minggu pertama April, Peru, dengan populasi sekitar 33 juta, melaporkan purata hampir 10,000 kes baharu dan 300 kematian setiap hari. Jumlah kematian menunjukkan peningkatan lebih 50 peratus berbanding minggu sebelumnya. Akibatnya, negara ini kini mengalami jumlah lebihan kematian tertinggi di dunia berbanding populasi penduduk. Kakitangan perubatan sudah mencapai kemampuan maksimum, malah lebih, sementara sumber rawatan intensif tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan. Semua ini diburukkan lagi kekurangan akses kepada vaksinasi yang sangat diperlukan: hanya tiga peratus penduduk menerima sekurang-kurangnya dos pertama. Semua ini menghalang sistem penjagaan kesihatan daripada mendapat tindak balas wabak yang mencukupi.
Menghadapi lonjakan jumlah pesakit COVID-19
Setelah penilaian dilakukan awal tahun ini, Doctors Without Borders melancarkan campur tangan kecemasan dengan kerjasama pihak kesihatan di daerah Huaura, utara Lima, di mana rumah sakit wilayah di ibu kota daerah, Huacho, berdepan kekurangan kritikal dalam menghadapi lonjakan jumlah pesakit COVID-19.
"Campur tangan kami mempunyai dua objektif utama", kata Jean-Baptiste Marion, ketua misi Doctors Without Borders. "Kami ingin membantu menghilangkan tekanan di hospital Huacho dan sistem rawatan kesihatan setempat melalui kemudahan tambahan, di mana kami dapat merawat pesakit COVID-19 dan memberi mereka oksigen apabila diperlukan. Hari ini, banyak pesakit tidak kritikal pergi ke hospital Huacho, membanjiri kemudahan tersebut. Juga, untuk melengkapkan aktiviti ini, kami bekerjasama dengan rangkaian komuniti untuk meningkatkan usaha pengesanan awal, mengenal pasti pesakit dan memberi mereka rawatan diperlukan sebelum keadaan bertambah buruk dan mereka berakhir dalam keadaan kritikal.
Tindak Balas Doctors Without Borders
Pasukan Doctors Without Bordersn juga menyokong unit rawatan intensif hospital Huacho, untuk memperkemas pengurusan pesakit dan membantu dalam setiap peringkat aliran pesakit. Pendekatan diambil Doctors Without Borders tertumpu pada fasiliti pesakit dalam menempatkan 50 katil yang dihubungkan dengan hospital Huacho dan rangkaian pusat rawatan kesihatan tempatan. Separuh daripada tempat tidur ini dilengkapi kemudahan untuk pengasingan yang dipantau secara klinikal, sementara separuh lagi dapat memberi oksigen kepada pesakit, termasuk untuk pesakit dalam keadaan teruk.
Negara ini kini mencapai jumlah kumulatif lebih 1.7 juta kes COVID-19 dan lebih 57,000 kematian. Masalah utama diperhatikan pasukan Doctors Without Borders di lapangan adalah bahawa pesakit bisanya enggan mendapatkan rawatan perubatan di hospital ketika mereka mula menunjukkan gejala, memilih amalan swasta, (yang mungkin tidak selalu dapat menawarkan tahap rawatan diperlukan) atau bahkan memilih untuk berubat sendiri. Akibat daripada sistem kesihatan yang melampaui kemampuan adalah buruk: Ramai orang di bandar-bandar beratur semalaman dan tidur di atas tanah kasar untuk mengisi tangki oksigen mereka dari beberapa pusat simpanan yang beroperasi, dengan harapan dapat merawat saudara-mara mereka di rumah.
Atas sebab ini, Doctors Without Borders bekerjasama dalam aktiviti jangkauan masyarakat pihak berkuasa tempatan, untuk memastikan pesakit COVID-19 di wilayah tersebut dikenal pasti seawal mungkin dan melalui saluran yang betul sejak awal, ketika mendapatkan rawatan kesihatan.
"Meningkatkan pemeriksaan dan pengurusan pesakit adalah keutamaan kini", demikian kesimpulan Jean-Baptiste Marion. "Tanpa sokongan segera dalam akses vaksinasi, sulit untuk mengharapkan keadaan bertambah baik dalam waktu dekat."