Kisah Wanita di Laut
Miriam dari Côte d'Ivoire antara yang terselamat di atas kapal Geo Barents. Laut Mediterranean, Disember 2022. © Mahka Eslami
Pengalaman diceritakan empat mangsa yang terselamat ini adalah perkara biasa dalam kalangan wanita dan lelaki yang diselamatkan oleh Geo Barents, kapal penyelamat Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) di Mediterranean tengah. Sempena Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac, Tales of Women at Sea (Kisah Wanita di Laut) bertujuan mengangkat suara wanita yang diselamatkan, serta berkongsi cerita daripada lelaki yang terselamat tentang wanita penting dalam hidup mereka. Melalui potret dan testimoni, mangsa yang terselamat menerangkan keadaan yang menyebabkan mereka menyeberangi Mediterranean tengah, laluan penghijrahan laut paling membawa maut di dunia. Kisah mereka disertakan testimoni daripada kakitangan wanita Doctors Without Borders, yang menerangkan motivasi mereka untuk kerja mencari dan menyelamat yang menyelamatkan nyawa, dan ikatan dirasai dengan mangsa yang terselamat di Geo Barents.
Sesiapa sahaja yang menyeberangi laut untuk melarikan diri daripada situasi berbahaya atau mencari kehidupan lebih baik berada dalam kedudukan yang terdedah, namun wanita berdepan beban tambahan disebabkan diskriminasi jantina dan, selalunya, keganasan berasaskan jantina, di sepanjang laluan mereka. Wanita mewakili hanya sebahagian kecil - sekitar lima peratus - daripada mereka yang melakukan perjalanan berbahaya dari Libya ke Itali.
Di atas Geo Barents, wanita yang terselamat kerap mendedahkan amalan seperti perkahwinan paksa atau bersunat pada alat kelamin (dilalui sama ada diri sendiri atau anak perempuan mereka) sebagai antara sebab mereka terpaksa meninggalkan rumah. Wanita juga menghadapi risiko khusus semasa perjalanan mereka - Pasukan perubatan Doctors Without Borders melaporkan wanita secara khusus lebih berkemungkinan menderita akibat kesan terbakar bahan api semasa lintasan Mediterranean, kerana mereka cenderung diletakkan di tengah-tengah bot yang dianggap paling selamat. Ramai wanita yang diselamatkan juga melaporkan mengalami pelbagai bentuk keganasan, termasuk keganasan psikologi dan seksual serta pelacuran paksa.
"Wanita, jangan lagi menerima keganasan!" Nota daripada Decrichelle, seorang wanita Cameroon berusia 32 tahun. Laut Mediterranean, 2022. © Mahka Eslami
Dalam kalangan wanita ini ialah Decrichelle, yang melarikan diri dari perkahwinan paksa kepada suami yang ganas dengan bayinya. Mereka meninggalkan negara asal di Nigeria dan melalui Niger ke Algeria. Apabila tiba di padang pasir, anak perempuan Decrichelle jatuh sakit dan dia tidak dapat berbuat apa-apa untuk merawatnya kerana tidak mempunyai akses kepada penjagaan atau ubat. Gadis muda itu meninggal dunia, dan Decrichelle terpaksa meninggalkannya sebelum meneruskan perjalanan ke Algeria: "satu kesedihan yang teramat sukar dan tidak dapat diubati" untuknya.
Decrichelle pernah cuba menyeberangi laut tetapi ditangkap dan dihantar ke penjara, di mana dia dibebaskan serta-merta, hanya untuk dibawa dengan teksi ke rumah pelacuran. Beberapa rakan Cameroon membantunya melarikan diri. Selama enam bulan, dia tinggal di campos (bangunan terbiar atau ruang terbuka yang besar berhampiran laut tempat penyeludup mengumpulkan pendatang) sebelum mengumpulkan wang untuk membayar tiket untuknya menyeberang lagi.
Di sebalik kesukaran dihadapi wanita di laluan penghijrahan dan di Libya, pasukan Doctors Without Borders di atas Geo Barents sering menyaksikan ikatan kukuh terjalin antara mangsa yang terselamat di geladak wanita. Wanita berkumpul untuk menyokong satu sama lain dengan tugas harian dan penjagaan anak.
"Saya ingin memberitahu para wanita: ia bukan salah anda. Anda adalah orang yang sama seperti anda sebelum ini. Malah diri anda lebih kuat,” kata Lucia, timbalan penyelaras projek di atas Geo Barents, yang dirinya sendiri pernah dirogol. "Saya fikir ia benar-benar mengharukan untuk melihat wanita-wanita ini, yang benar-benar melarikan diri dari apa yang saya alami selama sejam dalam hidup saya, dan dalam perjuangan mereka, kekuatan dan harapan mereka, [mereka tidak menghentikan] perjuangan ini," tambahnya.
Timbalan penyelaras projek Lucia bercakap tentang kekagumannya terhadap keberanian dan ketabahan dilihatnya pada mangsa yang terselamat dan bagaimana mereka memberi inspirasi kepadanya untuk menjalani kehidupannya walaupun mengalami trauma sendiri. Laut Mediterranean, Januari 2023. © Nyancho NwaNri
Sementara itu, apabila mangsa lelaki yang terselamat ditanya mengenai orang yang mereka tinggalkan atau sebab mereka melalui perjalanan itu, selalunya watak seorang wanita disebut dalam kisah mereka. Ahmed, 28 tahun, dilahirkan di Sudan kepada ibu bapa Eritrea yang berpindah ke Sudan demi mengelak daripada perang. Setelah sepanjang hidupnya menjadi pelarian, Ahmed tidak pernah merasakan bahawa dia berada di Sudan. Dia ingin keluar, tetapi sebagai orang yang tidak mempunyai dokumen, dan tidak dapat kembali ke Eritrea kerana takut akan kerahan tentera dan rejim diktator yang menindas, dia memutuskan untuk ke Libya dan menyeberangi Laut Mediterranean ke Eropah.
Ibu Ahmed satu-satunya yang menyokongnya apabila dia memutuskan untuk menukar agama daripada Kristian kepada Islam, walaupun diganggu ahli keluarganya yang lain.
"Jika anda, kehidupan, telah memilih untuk mencabar saya, saya adalah pahlawan yang bersedia untuk berjuang untuk mencapai matlamatnya." Nota daripada Ahmed, seorang warga Eritrea kelahiran Sudan yang diselamatkan di atas Geo Barents. Laut Mediterranean, Januari 2023. © Nyancho NwaNri
“[Memeluk Islam] mendatangkan kesan kepada, menjejaskan persahabatan saya... pasti [saya menghadapi masalah kerana itu]. Pada mulanya, dari keluarga... pada mulanya, saya berahsia... sehingga keluarga saya tahu; maka gangguan itu bermula. Tetapi ibu saya menerima saya. Dia memberitahu saya, ‘Apa sahaja yang membuatkan anda selesa, lakukannya.’” Ahmed berkata ibunya adalah salah satu sebab dia dapat melakukan perjalanan dari Sudan melalui Mesir dan ke Libya. “Dia mempunyai peranan yang sangat besar dalam hidup saya. Dia sentiasa menyokong dan memotivasikan saya, mendoakan yang terbaik untuk saya. Dia adalah inspirasi saya… Saya berharap dapat bertemu dengannya lagi.”
Nejma, pengantara budaya di atas Geo Barents, menerangkan ikatannya dengan mangsa yang terselamat seperti Decrichelle dan Ahmed: “Saya orang Afrika dan saya orang Timur Tengah. Saya seorang ibu. Saya seorang wanita. Terdapat banyak perkara yang menghubungkan kita bersama. Mungkin juga hakikat bahawa saya saya terpaksa melarikan diri. Itu sebahagian besar daripadanya. Saya fikir ia membantu saya memahami di mana kedudukan seseorang pada masa kami menemui mereka; ia satu pemahaman yang buku tidak boleh ajar pada saya.”
Pengantara budaya Nejma bercakap dengan mangsa terselamat Ekesili Emenike di Geo Barents. Di samping merapatkan bahasa dan budaya, Nejma, yang juga seorang pelarian, meluangkan masa dengan mangsa yang terselamat secara individu dan kolektif untuk menjawab soalan mereka dan memberi nasihat serta sokongan yang sangat diperlukan. Laut Mediterranean, Januari 2023. © Nyancho NwaNri
Sebagai seorang pelarian, Nejma berkongsi perkara yang membantunya untuk bergerak ke hadapan di lokasi dia melarikan diri. "[Masyarakat yang terselamat perlu] mengekalkan kekuatan... sebaik turun di Eropah, ia bukanlah penghujung perjalanan," katanya. “Ia adalah cabaran berbeza: untuk tidak melepaskan siapa mereka, untuk tidak melupakan siapa mereka, dari mana mereka berasal. Untuk berbangga dengan asal usul mereka. Kerana anda tidak akan tahu ke mana hendak pergi jika anda tidak tahu dari mana anda datang. Dan saya mahu adik-beradik saya dari Afrika dan Timur Tengah, atau di mana-mana sahaja, ingat siapa mereka. Ia akan memudahkan mereka untuk bergerak ke hadapan.”
Doctors Without Borders serta aktiviti mencari dan menyelamat
Doctors Without Borders telah menjalankan aktiviti mencari dan menyelamat di Mediterranean tengah sejak 2015, mengendalikan lapan kapal mencari dan menyelamat berbeza, secara bersendirian atau bekerjasama dengan NGO lain. Sejak 2015, pasukan Doctors Without Borders telah memberikan bantuan menyelamatkan nyawa kepada lebih 85,000 orang yang mengalami kesusahan di laut. Doctors Without Borders melancarkan semula aktiviti mencari dan menyelamat di Mediterranean tengah pada Mei 2021, menyewa kapalnya sendiri, Geo Barents, untuk menyelamatkan mereka yang dalam kesusahan, untuk menyediakan rawatan perubatan kecemasan kepada mereka yang diselamatkan, dan untuk mengangkat suara mangsa yang terselamat dari lintasan laut paling membawa maut di dunia. Sejak Mei 2021, pasukan Doctors Without Borders di atas kapal Geo Barents telah menyelamatkan 6,194 orang, menemukan 11 mayat dan membantu kelahiran seorang bayi.