Kenyataan: Doctors Without Borders menilai tindak balas ketika konflik Ukraine memuncak
Pasukan Doctors Without Borders di Ukraine sangat bimbang dengan kesan konflik terhadap rakyat dan komuniti Ukraine. Kami melihat di jalan raya puluhan ribu orang ketakutan dan sedang berpindah.
Perubahan drastik dalam konteks bermakna kami terpaksa mengambil keputusan menyakitkan untuk menghentikan aktiviti kami, termasuk perawatan HIV di Severodonetsk, penjagaan TB di Zhytomyr, dan peningkatan akses penjagaan kesihatan di Donetsk di timur Ukraine, di mana kami sudah menyediakan penjagaan kesihatan yang amat diperlukan kepada komuniti dilanda konflik. Walaupun semua program ini kini kebanyakannya dihentikan, kami melakukan semua yang termampu untuk memastikan sedikit kesinambungan penjagaan untuk pesakit kami. Keperluan itu sudah sedia tinggi memandangkan orang ramai melalui konflik lebih 8 tahun, dan kami bimbang dengan kesan pertempuran berpanjangan ke atas pesakit, yang kebanyakannya warga emas dan menderita penyakit kronik. Sejurus sebelum ketegangan memuncak, kami berhubung dengan beberapa hospital di wilayah Donetsk dan Luhansk untuk menyediakan latihan dalam perubatan kecemasan dan persediaan pembedahan, dan semalam, pasukan kami menyediakan satu kit mangsa besar-besaran ke sebuah hospital di Mariupol. Ketika permusuhan berterusan, memastikan akses orang ramai kepada penjagaan kesihatan dan ubat-ubatan menjadi lebih kritikal.
Pasukan kami sedang mengkaji bagaimana mereka boleh menyesuaikan aktiviti Doctors Without Borders untuk bertindak balas.
Situasi ini berkembang dengan pantas, jadi kami menggerakkan respon kesediaan kecemasan am supaya bersedia menghadapi pelbagai potensi keperluan. Pasukan kami di Belarus dan Russia bersedia memberikan bantuan kemanusiaan sekiranya diperlukan dan kami sedang berusaha untuk menghantar pasukan ke negara jiran lain untuk bersiap sedia, sama ada untuk tindak balas di Ukraine atau untuk memberikan bantuan perubatan kemanusiaan kepada pelarian yang mencari suaka di luar negara. Pusat bekalan kami sedang berusaha menyediakan kit perubatan untuk dihantar secara pantas. Kita perlu melihat dalam tempoh akan datang akses yang boleh dilakukan dengan cara selamat dan seimbang untuk bantuan kemanusiaan.