Hari Pelarian Sedunia 2023: #ImagineRohingya - Sebuah kisah bergambar
© Olivier Malvoisin/MSF
‘Saya tidak tahu apa makna hidup seorang lelaki. Semua yang saya tahu hanyalah di sini.’ - Jamal, Kem 2W, 01/06/2023. © Olivier Malvoisin/MSF
Rohingya adalah kumpulan etnik tidak bernegara, kebanyakan mereka beragama Islam. Mereka hidup berabad lamanya bersama masyarakat Buddha di Rakhine, Myanmar, namun disebabkan kitaran keganasan bersasar yang berulang dan kehilangan hak mereka berterusan, hampir sejuta Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh. Kem Cox's Bazar kini merupakan kem pelarian terbesar di dunia.
Setakat ini, 2023 sekali lagi mencabar buat pelarian Rohingya yang tinggal di kem pelarian. Jumlah pembiayaan pada 2022 paling sedikit disalurkan untuk tindak balas krisis pelarian Rohingya sepanjang tempoh lima tahun lalu. Akibatnya, Rohingya setakat ini terpaksa melalui dua kali pemotongan catuan makanan tahun ini. Mereka juga berdepan wabak penyakit disebabkan kemudahan air dan sanitasi yang tidak mencukupi, termasuk wabak kudis tidak terkawal yang mana Doctors Without Borders bangkitkan kebimbangan mengenainya kira-kira lebih setahun lalu. Kudis adalah penyakit kulit disebabkan hama mikroskopik yang meresap ke dalam lapisan atas kulit di mana ia hidup dan bertelur - ini menyebabkan kegatalan teruk, tanpa henti, serta ruam seakan-akan jerawat pada kebanyakan orang. Kudis biasanya menyerang kanak-kanak tetapi jika tidak dirawat ia boleh merebak dengan cepat kepada seluruh keluarga.
Pada 13 Mei, taufan kuat ‘Mocha’, membadai kem, menjejaskan ribuan keluarga dan merosakkan tempat berteduh diperbuat daripada buluh di beberapa kawasan. Beberapa hari selepas taufan berlalu, kami bertemu Jamal di kem 2W, bersebelahan hospital Kutupalong Doctors Without Borders. Jamal tinggal bersama isteri dan dua anaknya yang masih kecil di khemah diperbuat daripada buluh selama bertahun-tahun. Ketika taufan melanda, dia tiada pilihan kecuali berlindung di dalamnya sementara menunggu ia berlalu, mengharapkan semuanya selamat. Jamal juga seorang jurugambar. Dia merakam kehidupan di kem, "berharap untuk meningkatkan kesedaran tentang keadaan hidup pelarian Rohingya". Selepas taufan melanda, dia keluar berjalan di sekitar kem untuk merakamkan kerosakan menggunakan telefonnya "untuk menunjukkan kepada dunia bagaimana mereka menghadapinya", katanya.
‘Anda tahu, bukannya kami memilih untuk bergantung kepada bantuan kemanusiaan? Namun di sini, anda perlu ingat, kami tidak diiktiraf untuk bekerja. Bukan suatu pilihan, anda faham.’ - Rahim, Hospital Kutupalong, 03/2023. © Olivier Malvoisin/MSF
Meskipun hidup tanpa sebarang prospek untuk pulang dengan selamat ke rumah masing-masing di Myanmar, Rohingya tidak dibenarkan bekerja atau menerima pendidikan formal serta tidak mempunyai alternatif selain bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk memenuhi keperluan asas mereka. Mereka bergelut dengan ketidakpastian tentang masa depan, untuk diri sendiri dan anak-anak mereka. Pada 2022, jumlah pembiayaan paling sedikit dalam tempoh lima tahun lalu disalurkan kepada krisis pelarian Rohingya, menjejaskan penyediaan perkhidmatan asas seperti catuan makanan yang dipotong sebanyak dua kali tahun ini.
“Pemotongan catuan satu lagi tamparan. Perkataan biasa ialah "kami ambil apa sahaja yang kami dapat". Tiada apa yang boleh kita lakukan mengenainya. Keadaan di sini lebih meruncing tahun ini, bukan sahaja disebabkan pemotongan catuan makanan. Pada 2020 mereka mengenakan halangan, kami tidak boleh bekerja secara sah di Bangladesh, jadi ramai menempuh perjalanan berisiko ke Malaysia. Lebih baik mati dengan berharap, berbanding hidup di sini tanpa ada apa-apa. Dengan pemotongan catuan, perut yang kosong, sesiapa pun akan mencuba apa sahaja, dengan apa cara sekalipun yang mungkin” kata seorang wanita lain yang ditemui pada 2 Mac 2023, di kem.
‘Benar, kami berada dalam ketakutan ketika taufan Mocha. Sebatang pokok tumbang ke atas tempat kami berlindung tetapi saya membaikinya sendiri. Tempat perlindungan kami sangat tidak kukuh.’ - Abul, Kem 2E, 31/05/2023. © Olivier Malvoisin/MSF
Bulan Mei terbukti sangat mencabar sekali lagi di kem pelarian terbesar di dunia di Bangladesh, di mana hampir satu juta pelarian Rohingya tinggal di sebalik pagar. Dengan musim tengkujuh bermula lebih awal daripada jangkaan, taufan kuat, dipanggil 'Mocha', melanda kem pada 13 Mei. Kerosakan disebabkan taufan memburukkan lagi keadaan hidup Rohingya kerana mereka terus terdedah kepada risiko bencana alam yang kerap berlaku tanpa kemungkinan untuk meninggalkan kem untuk berteduh di lokasi yang lebih selamat.
Apabila ditanya mengenai memori paling menggembirakan ketika di Myanmar, golongan wanita seringkali merujuk sesuatu berkaitan kediaman mereka..’ - Seorang sukarelawan Rohingya, Pusat Budaya Rohingya, Kem 18. © Olivier Malvoisin/MSF
Rohingya adalah kumpulan etnik tidak bernegara, kebanyakan mereka beragama Islam. Mereka hidup berabad lamanya bersama masyarakat Buddha di Rakhine, Myanmar, namun disebabkan kitaran keganasan bersasar yang berulang dan kehilangan hak mereka berterusan, hampir sejuta Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh. Kem Cox's Bazar kini merupakan kem pelarian terbesar di dunia.
Walaupun hidup tanpa prospek untuk pulang dengan selamat ke rumah mereka di Rakhine, pesakit kami serta komuniti pelarian Rohingya yang lebih besar sering bercerita kepada kami mengenai kerinduan mereka terhadap kehidupan di Myanmar
‘Saya sudah siapkan satu beg sebagai persediaan jika berlaku kebakaran (…). Pelbagai insiden, kebakaran, pemotongan bekalan makanan, ia membuatkan saya terjaga pada waktu malam. Saya dapat melihat impaknya melalui kelakuan serta cara saya bercakap dengan orang lain.’ - Rihanna, Kem 09, 01/03/23. © Olivier Malvoisin/MSF
Rihanna tinggal di kem pelarian terbesar di dunia di Cox's Bazar, Bangladesh. Dia berkongsi tempat perlindungan diperbuat daripada buluh dengan tujuh yang lain: ibunya, kakaknya dan anak-anak mereka. Pada 7 Mac 2023, kebakaran besar berlaku di kem berhampiran, memusnahkan ratusan tempat perlindungan. Kami bertemu Rihanna beberapa hari selepas kejadian dramatik itu. Dia berkongsi tentang kelemahan dan kerentanan hidup di kem, terdedah kepada pelbagai unsur dan berasa tidak selamat.
Antara sebab paling biasa untuk mengunjungi program kesihatan mental di kemudahan Doctors Without Borders kami ialah kebimbangan yang dikaitkan dengan situasi putus asa, kurang rasa selamat dan ketidakpastian tentang masa depan. Tahun ini sahaja, Rohingya melalui dua kali pemotongan catuan makanan disebabkan pengurangan dana yang menjejaskan krisis pelarian Rohingya. Pemotongan catuan makanan meningkatkan risiko kekurangan zat makanan dan wabak maut lain manakala Rohingya hampir bergantung sepenuhnya kepada bantuan makanan. Baru-baru ini juga terdapat pemotongan catuan sabun, pada masa sama tinjauan sektor kesihatan dijalankan di kem-kem menunjukkan 40% prevalen kudis di kem.
‘Suatu yang tidak dapat diterima bahawa wabak kudis dibiarkan berlarutan sebegitu lama.’ - Karsten Noko, Ketua Program Doctors Without Borders, Bangladesh, 06/2023. © Olivier Malvoisin/MSF
Hampir 40 peratus mereka di kem pelarian Rohingya mempunyai kudis berdasarkan hasil tinjauan prevalen dijalankan oleh sektor kesihatan kem tahun ini. Di sesetengah kem, angka ini setinggi 70 peratus. Ini memberi cerminan kepada apa yang dilihat Doctors Without Borders di klinik kami di mana kami menjalankan lebih 200,000 konsultasi untuk kudis sejak Mac tahun lalu. Kudis menyebabkan kegatalan teruk, tanpa henti, serta ruam seperti jerawat pada kebanyakan orang. Kudis biasanya menyerang kanak-kanak tetapi jika tidak dirawat ia boleh merebak dengan cepat kepada seluruh keluarga.
Bertindak balas terhadap keputusan ini, Karsten Noko, Ketua Program Doctors Without Borders di Bangladesh, berkata pada 7 Jun 2023:
“Suatu yang tidak dapat diterima bahawa wabak kudis dibiarkan berlarutan sebegitu lama, menyebabkan kesakitan, penderitaan dan rasa hina kepada ramai orang. Mereka ini dipaksa keluar dari rumah mereka disebabkan penganiayaan dan keganasan. Mereka tinggal di kem di sebalik pagar. Mereka tidak mempunyai status undang-undang dan tiada hak untuk bekerja. Mereka tiada pilihan selain bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan. Namun pemotongan pembiayaan berulang kali mengurangkan lagi bantuan yang tersedia untuk mereka.
Semua angka ini menjadi menunjukkan kesannya. Kami benar-benar menyeru sektor kesihatan, penderma dan semua aktor lain yang boleh membantu menjayakan perkara ini, untuk membangunkan dan melaksanakan tindak balas yang komprehensif serta pelbagai serampang yang akhirnya menangani kedua-duanya iaitu rawatan dan pencegahan kudis secara besar-besaran, dan situasi air dan sanitasi yang mengerikan yang membolehkan wabak ini merebak di luar kawalan."
‘Kami tidak mempunyai ruang yang mencukupi. Saya sudah cuba sedaya upaya untuk mengekalkan standard kebersihan, namun ia sukar. Kami masih berkongsi tempat tidur, kami berkongsi pakaian, segalanya. Sekarang, kami juga berkongsi kudis.’ - Taher, Kem 15, 02/03/2023. © Olivier Malvoisin/MSF
Kudis, sejenis penyakit kulit, semakin meningkat dalam kalangan pelarian Rohingya yang tinggal di kem di Cox's Bazar, Bangladesh. Peningkatan mendadak dalam kes kudis dikaitkan secara langsung dengan keadaan hidup di kem, di mana orang ramai berkongsi ruang kecil dan sempit serta ada yang tidak mempunyai akses mencukupi kepada air untuk memenuhi keperluan harian mereka pada masa yang sama dengan pemotongan catuan sabun bulanan awal bulan ini.
Selama lebih setahun, Doctors Without Borders cuba menguruskan wabak ini, namun bilangan pesakit kudis melebihi kapasiti Doctors Without Borders untuk bertindak balas secara bersendirian.
Ajmot Ullah, seorang lagi pesakit berusia 26 tahun yang menghidap kudis, memberitahu kami pada Mac 2023:
“Isteri saya menghidap kudis beberapa tahun lalu. Dia mengunjungi fasiliti Doctors Without Borders, menerima rawatan dan akhirnya sembuh. Kini seluruh keluarga saya kembali menghidap kudis. Anak lelaki kami yang berusia empat tahun mengalaminya sejak Disember lalu. Pada mulanya, dia mengalami ruam pada tangannya, yang kemudian merebak ke seluruh badannya. Kami membelanjakan wang untuk khidmat doktor dan di farmasi tempatan berdekatan. Dia akhirnya sembuh, tetapi kudis kembali menyerang dengan cepat. Dia kurang tidur; banyak menangis kerana sakit, dan seluruh badannya gatal-gatal, terutamanya pada waktu malam. Dua anak lelaki saya yang lain juga mengalami penyakit kudis sekarang, manakala saya dan isteri mengalami simptom kudis lagi. Ia menjadi mimpi ngeri bagi keluarga saya”.
‘Tiada pelan istimewa untuk tahun hadapan. Tidak ada. Harapan memang bagus, namun lebih penting, sudah cukup baik jika ada sedikit pendidikan untuk anak-anak saya..’ - Jamal, Kem 2W, 01/06/2023. © Olivier Malvoisin/MSF
Rohingya tidak ada prospek untuk pulang dengan selamat ke rumah mereka di Myanmar. Mereka terikat kepada kem di Cox's Bazar. Mereka tidak mempunyai kebenaran untuk bekerja atau bergerak dan mempunyai sedikit akses kepada pendidikan. Ini menjadikan mereka hampir sepenuhnya bergantung kepada perkhidmatan diberikan aktor kemanusiaan di kem, walaupun mereka lebih suka bertanggungjawab untuk masa depan mereka sendiri. Kami mempunyai tanggungjawab sebagai komuniti kemanusiaan untuk memastikan pembiayaan dan sumber yang berterusan untuk menyediakan Rohingya keadaan hidup bermaruah dan selamat sehingga keadaan mereka berubah dan boleh mengawal kehidupan masing-masing.