Gaza: Pesakit dan Kakitangan Perubatan Terperangkap di Hospital yang Terbakar – SERANGAN MESTI DIHENTIKAN SEKARANG
Seorang pegawai pertahanan awam Palestin yang cedera dalam serangan Israel diberikan resusitasi kardiopulmonari di atas pengusung di Hospital Al-Shifa di Semenanjung Gaza. Gaza, wilayah Palestin, Oktober 2023. © Ali Jadallah/Anadolu via AFP
Sejak 24 jam lalu, hospital di Gaza menjadi sasaran pengeboman tanpa henti. Kompleks hospital Al-Shifa, kemudahan kesihatan terbesar di mana kakitangan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) masih bekerja, beberapa kali dibom, termasuk jabatan bersalin dan pesakit luar, mengakibatkan ramai yang mati dan cedera.
Pertempuran di sekitar hospital tidak berhenti. Pasukan Doctors Without Borders dan ratusan pesakit masih berada dalam hospital Al-Shifa. Doctors Without Borders dengan segera mengulangi gesaannya untuk menghentikan serangan terhadap hospital, menggesa gencatan senjata segera serta perlindungan kemudahan perubatan, kakitangan perubatan dan pesakit.
“Kami sedang dibunuh di sini, sila lakukan sesuatu” mesej dikirim salah seorang jururawat Doctors Without Borders dari bilik bawah tanah hospital Al-Shifa pagi ini, di mana dia dan keluarganya berlindung daripada pengeboman berterusan. “empat atau lima keluarga sedang berlindung sekarang di ruang bawah tanah, tembakan sangat dekat, anak-anak saya menangis dan menjerit ketakutan.”
“Situasi di al-Shifa benar-benar teruk. Kami menyeru Kerajaan Israel untuk menghentikan serangan tanpa henti ini ke atas sistem kesihatan Gaza. Kakitangan dan pesakit kami berada dalam hospital Al-Shifa di mana pengeboman teruk tidak berhenti sejak semalam”, kata Ann Taylor, Ketua Misi Doctors Without Borders di Wilayah Palestin yang Diduduki.
Pasukan Doctors Without Borders merawat seorang lelaki di hospital Al Shifa yang cedera parah selepas serangan udara. Gaza, wilayah Palestin, 19 Oktober 2023 © MSF
Hospital Al-Shifa adalah kompleks hospital utama di Semenanjung Gaza, dengan 700 katil, menyediakan penjagaan kecemasan dan pembedahan. Pada masa ini tiada kemudahan lain di Semenanjung yang boleh menerima dan merawat sebegitu ramai pesakit yang mengalami kecederaan kompleks, kadangkala mengancam nyawa. Walaupun terdapat serangan dan masalah kekurangan yang kerap, kakitangan berjaya memastikan hospital beroperasi. Semalam, hospital Al-Shifa kehilangan kuasa elektrik. Ambulans tidak lagi boleh bergerak untuk mengambil mangsa yang cedera, dan pengeboman tanpa henti menghalang pesakit serta kakitangan daripada berpindah. Ketika berita ini ditulis, kakitangan kami sedang menyaksikan mereka yang cuba melarikan diri dari hospital ditembak.
Kami tidak dapat keluar kerana sejak pagi [semalam] hingga sekarang, kami telah membedah kira-kira 25 pesakit. Jika saya tiada di sini atau pakar bedah yang lain, siapa yang akan menjaga pesakit? Ada seorang pesakit yang perlu dibedah, seorang lagi sudah tidur [dibius].Dr Mohammed Obeid, Pakar Bedah MSF
"Ramai pesakit yang dibedah dan mereka tidak boleh berjalan. Mereka tidak boleh pindah. Kami memerlukan ambulans untuk memindahkan mereka, kami tidak mempunyai ambulans untuk memindahkan semua pesakit ini" kata Dr Mohammed Obeid, Pakar Bedah Doctors Without Borders di hospital Al-Syifa.
Doctors Without Borders mengecam pembunuhan orang awam yang kini terperangkap di hospital Al-Shifa oleh tentera Israel. Perlu ada gencatan senjata segera dan tanpa syarat daripada semua pihak yang bertelagah; bantuan kemanusiaan mesti dibekalkan ke seluruh Semenanjung Gaza sekarang.
Doctors Without Borders terputus hubungan dengan seorang pakar bedah, yang bekerja dan berlindung di hospital Al-Quds bersama keluarganya. Kemudahan kesihatan lain, termasuk hospital Al Rantisi yang turut disokong Doctors Without Borders pada masa lalu, dilapor dikelilingi kereta kebal Israel
Kakitangan Doctors Without Borders merawat seorang pesakit yang mengalami kecederaan muka di hospital Al Shifa di Bandar Gaza. Gaza, wilayah Palestin, 19 Oktober 2023 © Mohammad Masri
Ribuan orang cedera sejak 7 Oktober, kebanyakannya berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan pembedahan kompleks serta rawatan berterusan selama berminggu-minggu, atau mungkin berbulan-bulan. Ini hanya boleh dilakukan dengan gencatan senjata sepenuhnya dan bekalan bantuan kemanusiaan tanpa syarat termasuk akses kepada makanan, bahan api dan air; kelangsungan hidup penduduk di Gaza bergantung padanya.