Skip to main content

Semenanjung Gaza: Hospital Nasser mesti dilindungi ketika hospital utama terakhir itu bergelut di tengah-tengah serangan maut pada Julai

Nasser Hospital maternity department is providing some 25-30 safe deliveries a day. Palestinian Territories, June 2024. © Mariam Abu Dagga/MSF

Jabatan bersalin Hospital Nasser menguruskan kira-kira 25 hingga 30 kelahiran selamat setiap hari. Angka ini lebih tinggi berbanding sebelum perang, kerana ia kini satu daripada beberapa kemudahan bersalin yang masih beroperasi di selatan Gaza. Wilayah Palestin, Jun 2024. © Mariam Abu Dagga/MSF

Sebarang peningkatan dalam pertempuran berhampiran hospital akan menghalang akses pesakit dan kakitangan perubatan, menjadikan mustahil untuk premis itu menyediakan penjagaan. Sistem kesihatan musnah sepenuhnya dan memindahkan ratusan pesakit serta bekalan perubatan, sama ada tergesa-gesa atau tidak, adalah satu tugas yang mustahil.
Jacob Granger, Penyelaras Projek

"Ia akan membawa kesan buruk kepada orang di kawasan itu, yang tidak mempunyai tempat lain untuk pergi," kata Granger. "Menutup hospital Nasser bukanlah satu pilihan."

Hospital Nasser menyediakan penjagaan untuk kira-kira 550 pesakit, termasuk mereka yang mengalami luka terbakar yang teruk dan kecederaan trauma, bayi baru lahir serta wanita hamil. Mereka yang kini dimasukkan ke hospital memerlukan rawatan berterusan yang menyelamatkan nyawa, termasuk yang memerlukan tahap rawatan peringkat tinggi, terapi oksigen atau pemantauan rapi. Sebagai hospital utama terakhir di selatan Gaza, hospital Nasser turut menyediakan sokongan penting, termasuk pengeluaran oksigen, kepada beberapa kemudahan kesihatan lain di kawasan sekitar.

Pencerobohan hospital Nasser akibat perang berlaku ketika pasukan Doctors Without Borders di Nasser dan di hospital Al-Aqsa dibanjiri sejumlah besar pesakit yang cedera yang tiba pada waktu sama. Pada Julai sahaja, keadaan ini berlaku 10 kali secara berasingan, susulan serangan dan pertempuran, selalunya di kawasan di mana mereka yang kehilangan tempat tinggal berlindung.

Baca testimoni daripada Pengurus Aktiviti Jururawat kami

Alice Worsley - Pengurus Aktiviti Kejururawatan Doctors Without Borders di Hospital Al Aqsa (Deir El Balah) pada 27 Julai

 

“Kami menerima amaran lima minit bahawa terdapat letupan berhampiran dan cukup pantas kami melihat ramai pesakit tiba, semuanya pada masa yang sama, pelbagai kecederaan berbeza dan ramai dalam keadaan sangat kritikal dengan kecederaan yang jelas tidak dapat diselamatkan. Saya melihat banyak kecederaan kepala yang ketara, keretakan tulang terbuka pada tengkorak, beberapa keretakan pada muka. Saya juga melihat kecederaan akibat letupan yang memerlukan amputasi sebahagian dan seluruh anggota badan. Seperti biasa terdapat kecederaan akibat terkena serpihan.

Kira-kira 50% daripada pesakit yang kami jumpa adalah kanak-kanak, ramai yang mengalami kecederaan serius yang memerlukan penjagaan kritikal. Kami ada seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang 80% permukaan badannya melecur. Seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia tiga atau empat tahun mengalami kecederaan muka yang ketara dan kami terpaksa memasukkan tiub untuk membantunya bernafas. Jururawat yang menyokong saya dengan pesakit ini adalah ahli keluarga kanak-kanak itu sendiri. Dia memberitahu saya bahawa ibu kanak-kanak berkenaan terbunuh dalam serangan sama hari ini. Kanak-kanak kecil itu mempunyai kesan pada lengannya, bermakna dia jelas pernah cedera dalam peperangan ini tidak lama dahulu. Jadi untuk kali ini, sekurang-kurangnya, ia kali kedua kanak-kanak ini telah cedera dalam satu peristiwa.

Hospital itu mempunyai lebihan ratusan pesakit di dalamnya berbanding biasa. Kami tidak mempunyai sebarang ruang di ICU. Jabatan kecemasan pula tidak lagi boleh berfungsi seperti biasa dan teratur berikutan semua katil sudah digunakan. Ia keadaan yang terdesak, kebanyakan pesakit yang kami terima hari ini terpaksa kami uruskan mereka di atas lantai atau dua kanak-kanak diletakkan atas satu katil, disebabkan tiada katil di ER.

Selalunya jururawat dan doktor yang bekerja di hospital berada di ER menjaga ahli keluarga mereka sendiri yang cedera, yang mana ia amat menyedihkan.”

"Setiap hari pada bulan Julai menyaksikan satu demi satu kejutan," kata Dr Javid Abdelmoneim, ketua pasukan perubatan Doctors Without Borders. “[Pada 24 Julai] Saya melalui kawasan belakang tirai, dan terdapat seorang gadis kecil bersendirian, yang mati sendirian. Dan itulah hasil daripada sistem kesihatan yang runtuh: seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, mati bersendirian di atas troli di bilik kecemasan. Dalam sistem kesihatan yang berfungsi, dia pasti akan diselamatkan."

Menurut Kementerian Kesihatan, paras darah dalam tabung darah di hospital Nasser sangat rendah selepas lima gelombang kemasukan pesakit yang berturut-turut, dengan kira-kira 180 orang terbunuh dan 600 cedera. Satu daripada sepuluh orang yang menawarkan diri untuk menderma darah semasa Doctors Without Borders menyokong aktiviti pengumpulan darah Kementerian Kesihatan, tidak layak untuk menderma kerana anemia atau malnutrisi. Di hospital Al-Aqsa, jabatan kecemasan tidak dapat berfungsi dengan baik kerana dipenuhi pesakit. Sebelum perang, hospital Al Aqsa mempunyai kira-kira 220 katil untuk pesakit. Pada waktu ini, hospital itu mempunyai 550 - 600 pesakit yang dimasukkan ke wad.

"Hospital Al-Aqsa sudah mempunyai beberapa ratus pesakit melebihi kapasiti katilnya," kata Alice Worsley, pengurus aktiviti jururawat Doctors Without Borders. Kapasiti berlebihan itu berlaku selepas menerima pesakit daripada serangan Israel ke atas sekolah Khadija di Deir Al-Balah pada 27 Julai.

"Situasinya terdesak: tindak balas paling berdedikasi sekalipun tidak selalu dapat menyelamatkan nyawa tanpa bekalan, katil dan kakitangan perubatan yang mencukupi."

Pada 22 dan 27 Julai, tentera Israel mengeluarkan dua arahan pemindahan di Khan Younis, mengakibatkan satu lagi perpindahan besar-besaran sekali gus mengecilkan lagi ruang yang boleh dituju orang ramai. Menurut OCHA, antara 22 hingga 25 Julai, kira-kira 190,000 rakyat Palestin dipindahkan di Khan Younis dan Deir Al-Balah. Sejak permulaan perang, dianggarkan 1.7 juta orang telah dinasihatkan berpindah ke kawasan seluas 48km persegi, mewakili 13 peratus daripada Semenanjung Gaza, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Ketika apa yang dikatakan sebagai zon kemanusiaan terbukti tidak selamat di Gaza, kewujudan kawasan sedemikian tidak mengenepikan kewajipan pihak bertelagah untuk melindungi orang awam - di mana sahaja mereka berada. Selama hampir 10 bulan, kami telah melihat bahawa tiada tempat di Gaza yang selamat.

Doctors Without Borders menyeru semua pihak untuk memastikan akses selamat kepada rawatan dan mengelakkan pemindahan hospital Nasser, yang akan membahayakan ratusan pesakit.

 

Sudikah anda menyokong tugas tindak balas kecemasan kami?

Bantu kami menyediakan penjagaan kesihatan yang menyelamatkan nyawa ketika kecemasan dengan melakukan sumbangan hari ini.