Gaza: Arahan pemindahan dan pengeboman teruk sekitar hospital jadikan pilihan penjagaan kesihatan untuk orang awam terhad
Di selatan Gaza, Doctors Without Borders mendirikan klinik dalam Hospital Lapangan Rafah Indonesia pada Disember 2023. Dengan jabatan pesakit luar berkapasiti 30 katil, ia menyediakan penjagaan selepas pembedahan kepada pesakit yang dipindahkan dari semua bahagian di kawasan terkepung itu untuk mengosongkan katil di bilik kecemasan di hospital lain. Wilayah Palestin, Disember 2023. © MSF
Baitulmaqdis, 12 Januari 2024 – Sejak tiga bulan lalu, serangan habis-habisan ke atas Semenanjung Gaza oleh Tentera Israel secara drastik mengurangkan pilihan bagi orang ramai untuk mendapatkan rawatan perubatan. Bilangan lokasi selamat untuk organisasi menyediakan penjagaan kesihatan kepada orang ramai kini hampir tidak wujud. Arahan pemindahan dan serangan berterusan ke atas kemudahan kesihatan berulang kali memaksa organisasi seperti Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) untuk mengosongkan hospital dan meninggalkan pesakit.
"Kami semakin terperangkap dalam perimeter yang sangat ketat di selatan Gaza, di Rafah, dengan pilihan yang semakin berkurangan untuk menawarkan bantuan perubatan kritikal, sedangkan keperluannya meningkat mendadak," kata Thomas Lauvin, Penyelaras Projek Doctors Without Borders di Gaza.
Ketika serangan ke atas Gaza meluas, kami terpaksa mengosongkan beberapa kemudahan kesihatan di utara Gaza, kemudian di Kawasan Tengah. Hari ini kegiatan kami terhad dengan kebanyakannya bekerja di selatan, kerana kami tidak boleh bekerja di tempat lain. Pendek kata, kami melarikan diri keluar dari hospital. Kami dipaksa meninggalkan pesakit.Thomas Lauvin, Koordinator Projek
Sistem penjagaan kesihatan di Gaza hampir runtuh. Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan hanya 13 daripada 36 hospital di Gaza masih berfungsi secara separa: sembilan di selatan dan empat di utara. Dua hospital utama di selatan Gaza beroperasi tiga kali ganda kapasiti katil mereka dan kehabisan bekalan asas serta bahan api.
Pada 6 Januari, pasukan Doctors Without Borders terpaksa sekali lagi mengosongkan hospital. Pasukan kami meninggalkan hospital Al-Aqsa di Kawasan Tengah Gaza, selepas Tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan untuk kawasan kejiranan sekitar hospital. Pemindahan secara paksa ini menyekat akses kami ke kedai farmasi kami sendiri, menjadikan persekitaran semakin teruk untuk aktiviti perubatan.
"Meninggalkan hospital Al-Aqsa dan pesakit kami adalah satu keputusan yang cukup meruntun hati dan ia pilihan terakhir kami," kata Enrico Vallaperta, Rujukan Perubatan Projek Doctors Without Borders di Gaza. “Serangan dron, tembakan penembak tepat dan pengeboman di kawasan berhampiran hospital menjadikan ruang itu terlalu tidak selamat untuk digunakan. Keadaan tidak menentu membuatkan kami berasa tidak berupaya; hampir tiada ruang selamat walaupun untuk memberikan penjagaan perubatan yang minimum kepada orang ramai”.
Jururawat membantu menukar balutan dan pemulihan luka di bilik rawatan klinik Al-Shaboura di Rafah, Gaza. Wilayah Palestin, Disember 2023. © MSF
Kemudahan perubatan dan kawasan sekitarnya berulang kali diserang Tentera Israel dan terbabit dengan arahan pemindahan di bahagian berbeza di Gaza, terutamanya di utara, menjadikan akses kepada penjagaan kesihatan serta penyediaannya terlalu berbahaya. Beberapa hospital di mana Doctors Without Borders bekerja melalui situasi ini: hospital Indonesia di utara Gaza terpaksa dipindahkan pada Oktober. Hospital Al-Shifa, yang terbesar di Gaza, ditembak dan kakitangannya terpaksa berpindah pada November. Kemudian hospital Al Awda, hospital rakan kongsi Doctors Without Borders sejak 2018, diserang dan tiga orang doktor, dua daripadanya dalam kalangan kakitangan kami terbunuh.
Kini, corak ini berulang di selatan, yang menempatkan lima kali ganda penduduk berbanding sebelum perang, dan tempat yang lebih sedikit untuk menyediakan penjagaan kesihatan kepada orang ramai.
Selatan Gaza menjadi sasaran pengeboman teruk sejak gencatan senjata November gagal dan keperluan untuk kecemasan, rawatan surgikal dan pasca pembedahan sangat besar di kawasan itu. Kekurangan kapasiti hospital menyebabkan pesakit tidak mendapat rawatan mencukupi dan keadaan kebersihan yang betul, mengakibatkan peningkatan jumlah kes jangkitan luka dan prosedur perubatan dijalankan dalam keadaan ekstrem. Di sebalik kecederaan kritikal, ramai wanita yang menjalani pembedahan c-section dibenarkan pulang hanya enam jam selepas bersalin bagi memberi ruang kepada wanita hamil lain, dengan kemasukan sebahagian lagi ditolak dan bersalin dalam khemah.
Pengurus aktiviti perubatan berbincang dengan pesakit di klinik Al-Shaboura, Rafah. Wilayah Palestin, Disember 2023. © Mohammad Abed
Doctors Without Borders kekal komited untuk menyediakan rawatan perubatan di Gaza dan menyeru hospital, kakitangan perubatan dan pesakit diberikan perlindungan. Pasukan kami kini menyediakan penjagaan pra dan pasca bersalin di hospital Emirati di Rafah, membantu rakyat Gaza dengan rawatan fisioterapi dan pasca pembedahan di hospital lapangan Rafah Indonesia, serta menawarkan konsultasi penjagaan kesihatan primer, pembalutan luka dan sokongan kesihatan mental di klinik Al-Shaboura, juga di Rafah. Kami menyokong hospital Gaza Eropah dalam kapasiti pembedahan kecil, manakala pasukan kecil jururawat kami membantu pesakit yang memerlukan rawatan membalut luka. Di Al Awda di utara Gaza dan hospital Nasser di Khan Younis, segelintir kakitangan Doctors Without Borders bekerja dalam keadaan amat sukar, termasuk kekurangan makanan dan bekalan perubatan akibat serangan udara dan pertempuran di kawasan berdekatan.
Doctors Without Borders mengulangi gesaan kami ke arah gencatan senjata segera yang akan menyelamatkan nyawa orang awam dan memulihkan aliran bantuan kemanusiaan serta mewujudkan semula sistem penjagaan kesihatan yang mana kelangsungan hidup penduduk Gaza bergantung kepadanya.
Sudikah anda menyokong tugas tindak balas kecemasan kami?
Bantu kami menyediakan penjagaan kesihatan yang menyelamatkan nyawa ketika kecemasan dengan melakukan sumbangan hari ini.