Doctors Without Borders menggerakkan tindak balas di Ukraine dan negara-negara berdekatan
Tapak penginapan sementara di Korczowa, tenggara Poland, untuk mereka yang melarikan diri dari Ukraine sejak konflik bermula. Poland, 28 February, 2022. © MSF
Ketika ratusan ribu orang terpaksa melarikan diri, Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières pula berusaha mengatur gerak aktiviti tindak balas kecemasan di Ukraine dan menempatkan pasukan di Poland, Moldova, Hungary, Romania dan Slovakia. Pasukan juga bersedia untuk bertindak balas di Russia dan Belarus.
Ketika konflik berterusan di Ukraine, Doctors Without Borders menghantar pasukan ke Poland, Moldova, Hungary, Romania dan Slovakia untuk menilai keperluan mereka yang menyeberangi sempadan dan bertindak balas terhadap keperluan kemanusiaan. Pasukan juga berada di Belarus dan Russia bersedia untuk memberikan bantuan kemanusiaan.
Di Ukraine, pasukan Doctors Without Borders mengedarkan kit kecederaan akibat perang di Mariupol. Kami juga menyediakan latihan teleperubatan bagi rawatan trauma untuk 30 pakar bedah dari timur Ukraine.
Pasukan kecemasan kami sudah berada di sempadan Poland-Ukraine dan berusaha membawa masuk kakitangan serta bekalan penting ke Ukraine dan menyediakan aktiviti tindak balas kecemasan merentasi kedua-dua belah sempadan. Pasukan juga akan menjalankan penilaian di sepanjang sempadan Ukraine dengan Russia dan Belarus.
Pemandangan tempat menderma pakaian dan makanan di bandar sempadan Poland Medyka di mana warga Ukraine telah tiba, meninggalkan rumah mereka berikutan konflik itu Poland, 28 February, 2022. © MSF
Dengan pertempuran aktif berterusan, menentukan tahap sebenar keperluan perubatan di Ukraine kekal mencabar. Doctors Without Borders bersedia mendepani pelbagai senario, yang akan membolehkan kami meningkatkan respons kami.
Pasukan kami di pusat pemeriksaan sempadan Ukraine-Poland menyaksikan orang ramai menyeberanginya berjalan kaki, menaiki kereta dan bas, ramai yang letih dan kepenatan, dan sesetengahnya mempunyai anak berusia seawal 25 hari.
Ramai daripada yang menyeberangi sempadan Poland memberitahu kami bahawa mereka menghabiskan masa berjam-jam berbaris dalam suhu beku. Ada mengalami dehidrasi dan yang lain pula mengalami hipotermia. Kami menyumbangkan barangan perlindungan asas kepada tempat perlindungan penerimaan tetamu di Poland dan berusaha meningkatkan respons kami.