Skip to main content

Bangladesh: perkhidmatan air dan sanitasi lemah mendedahkan komuniti Rohingya kepada penyakit

A Rohingya woman fills a pot with drinking water at a water point in Kutupalong-Balukhali camp in Cox’s Bazar district. Bangladesh, July 2022. © Elizabeth Costa/MSF

Seorang wanita Rohingya mengisi periuk dengan air minuman di titik air di kem Kutupalong-Balukhali di daerah Cox’s Bazar. Bangladesh, July 2022. © Elizabeth Costa/MSF

Kajian maklum balas komuniti air dan sanitasi 2022, selesai pada Jun, selepas menilai perkhidmatan air, sanitasi dan kebersihan di kem, di mana hampir sejuta orang Rohingya masih tinggal selepas melarikan diri dari kitaran keganasan yang disasarkan berturut-turut di Myanmar.

Penilaian itu, disusuli penemuan kajian serupa dijalankan MSF pada 2018, mendapati kualiti air di kem meningkat ketara, menunjukkan sistem pengurusan sisa berfungsi. Namun, ia memberi penekanan kepada infrastruktur sanitasi yang tidak mencukupi dan ketersediaan air yang tidak mencukupi.

Latar belakang  

Pada 2017, lebih 700,000 komuniti Rohingya diusir susulan kempen keganasan bersasar besar-besaran di Myanmar dan menyeberangi sempadan ke Cox’s Bazar, Bangladesh, di mana mereka menyertai lebih 200,000 Rohingya yang sudah sedia berlindung di sana beberapa tahun sebelumnya. Pihak berkuasa Bangladesh membina tempat perlindungan daripada buluh dan plastik untuk menempatkan pendatang baharu di atas kawasan hutan berbukit seluas 25 kilometer persegi, kawasan yang bertukar menjadi kem pelarian terbesar di dunia.

Untuk menyediakan akses kecemasan kepada air dan sanitasi untuk Rohingya, lubang bor digali, titik air didirikan dan tandas dipasang.

Selain antara penyedia utama penjagaan perubatan di kem, MSF menjadi antara pihak utama yang menyokong pembangunan dan penyelenggaraan kemudahan air dan sanitasi sejak 2017. Pada 2020, kami menyesuaikan aktiviti air dan sanitasi kami untuk memastikan kemampanan jangka panjang perkhidmatan ini. Ini membabitkan penyerahan sebahagian besar aktiviti air dan sanitasi kami kepada organisasi tempatan, termasuk rangkaian air yang luas menggunakan tenaga suria untuk membekalkan air minuman bersih. Kami terus bekerjasama rapat dengan pengendali air dan sanitasi yang berkaitan di kem untuk memberikan sokongan dalam menangani jurang penyelenggaraan kritikal dalam perkhidmatan ini.

Doctors Without Borders pada mulanya menjalankan kajian maklum balas komuniti pada 2018 untuk memahami ketersediaan dan kualiti perkhidmatan air dan sanitasi di kem, serta untuk mengenal pasti jurang. Pada 2022, selepas menyaksikan peningkatan yang jelas dalam pesakit yang memerlukan rawatan untuk jangkitan kulit, seperti kudis, dan penyakit bawaan air, seperti cirit-birit berair akut, MSF memutuskan untuk mereplikasi kajian 2018 untuk memahami bagaimana perkhidmatan telah berkembang dan apakah jurang yang kekal.

Access to clean water and toilet facilities are one of the most critical issues for the million Rohingya refugees living in Cox’s Bazar’s mega-refugee camp and more efforts are needed to improve access to clean water and toilet facilities.Bangladesh, June 2022. © Saikat Mojumder/MSF

Akses kepada kemudahan air bersih dan tandas adalah salah satu isu paling kritikal bagi jutaan pelarian Rohingya yang tinggal di kem pelarian mega Cox's Bazar dan lebih banyak usaha diperlukan untuk menambah baik akses kepada kemudahan air bersih dan tandas. Bangladesh, June 2022. © Saikat Mojumder/MSF

Kajian

Kajian maklum balas komuniti air dan sanitasi 2022 adalah sebahagian daripada mekanisme pemantauan dan maklum balas komuniti yang tertumpu pada akses kepada perkhidmatan air, kebersihan dan sanitasi di kem pelarian Cox's Bazar. Kajian 2018 menyediakan garis asas untuk menganalisis keadaan air dan sanitasi.

Tujuan kedua-dua penilaian adalah untuk menentukan akses kepada perkhidmatan air dan sanitasi untuk pelarian Rohingya, serta untuk mengenal pasti jurang dalam penyediaan perkhidmatan dan kesan kesihatan yang berkaitan dengan jurang ini. Ia berdasarkan metodologi pensampelan jaminan kualiti lot yang sama (LQAS)[1], yang membolehkan ia dibuat perbandingan antara penemuan 2018 dan 2022, mengenal pasti bidang penambahbaikan pada situasi itu sejak 2018, menentukan di mana keadaan merosot, menunjukkan jurang yang berterusan, dan mengemukakan cadangan.

Pada 2018, sejumlah 399 isi rumah di 21 kem diminta memberikan maklum balas dalam tempoh 35 hari sepanjang Oktober dan November. Pada 2022, MSF menemui 361 penghuni isi rumah di 19 kem, selama 18 hari sepanjang Januari dan Mac.

poster health impacts of inadequate water supply and sanitation in refugee camps in Bangladesh.

Penemuan Utama

Kajian itu menunjukkan berlaku peningkatan dalam kualiti air pada 2022 berbanding 2018, dan sistem pengurusan sisa yang berfungsi. Bagaimanapun, ia juga mengenal pasti pengurangan bilangan tandas yang berfungsi dan kemerosotan dalam kutipan sisa.

Tiga perempat daripada isi rumah ditemu bual melaporkan bahawa tandas melimpah. Lebih separuh berkata terdapat najis yang kelihatan dan bekalan air mereka terhad. Satu perempat daripada isi rumah juga menunjukkan kekurangan bekas untuk pelupusan sampah.

  • Sejumlah 99% responden menunjukkan bahawa mereka mempunyai akses kepada kualiti air yang lebih baik, berbanding 53% pada 2018, disebabkan oleh pemasangan rangkaian air dan penggunaan pengklorinan. Bagaimanapun, 56% menyatakan bahawa air tidak selalu tersedia.
  • Walaupun lebih banyak pintu boleh berkunci dipasang selain penutup untuk bukaan, 76% responden menyatakan bahawa tandas melimpah, berbanding 38% pada 2018. Dilaporkan bahawa tandas tidak dinyah enapcemar atau diselenggara tepat pada masanya.
  • Daripada keseluruhan responden, 24% juga melaporkan kekurangan bekas untuk pelupusan sisa isi rumah.

Keputusan berkaitan kesihatan  

Kajian berkenaan menunjukkan berlaku kemerosotan kesihatan pada mereka yang dikaitkan dengan keadaan tidak bersih di kem.

  • Daripada isi rumah yang ditemu bual, 31% melaporkan jangkitan kulit (peningkatan daripada hanya 7% pada 2018).
  • Sejumlah 21% isi rumah melaporkan cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia 5 tahun.

Pengumpulan air tercemar di kem-kem itu didapati mewujudkan persekitaran pembiakan nyamuk yang menyebarkan malaria dan denggi. Sepanjang Jun dan Julai 2022 sahaja, fasiliti MSF telah memasukkan 248 pesakit denggi ke fasiliti kami untuk rawatan. Pada 2018, jangkitan utama denggi jarang berlaku di Daerah Cox's Bazar.

Water and sanitation facilities built by MSF in Jamtoli camp for Rohingya refugees, Cox’s Bazar, Bangladesh. © Anthony Kwan/MSF

 

Kemudahan air dan sanitasi yang dibina oleh Doktor Tanpa Sempadan di kem Jamtoli untuk pelarian Rohingya, Cox’s Bazar. Bangladesh, 2019. © Anthony Kwan/MSF 

Kesimpulan dan cadangan

  • Dapatan kajian maklum balas menunjukkan bahawa walaupun kualiti air telah bertambah baik, terdapat akses kepada air yang tidak mencukupi.
  • Keadaan sanitasi keseluruhan di kem telah merosot sejak empat tahun lalu, menimbulkan risiko kesihatan kepada pelarian dan menjejaskan keupayaan mereka untuk hidup dengan bermaruah.
  • Pembuangan sisa yang tidak sempurna dari tempat perlindungan orang ramai berisiko menarik tikus dan menjadikan tempat perlindungan itu berpotensi sebagai tempat pembiakan nyamuk, sekali gus mengundang penyakit seperti denggi.

Tindakan segera diperlukan untuk menangani risiko baharu dan muncul semula ini yang dikaitkan dengan perkhidmatan air, kebersihan dan sanitasi yang tidak mencukupi.

Doctors Without Borders mencadangkan supaya:

  • Organisasi kemanusiaan yang menyediakan perkhidmatan air dan sanitasi perlu secara rutin dan sistematik menyelenggara kemudahan sanitasi untuk memastikan kebolehgunaannya. Di samping meningkatkan kualiti dan ketersediaan air, organisasi juga mesti menjamin kefungsian mereka. Rawatan klinikal tidak mencukupi untuk menangani penyakit bawaan vektor seperti denggi: semburan asap dan pengurusan sumber larva diperlukan.
  • Penderma menyumbang kepada penyediaan perkhidmatan air dan sanitasi yang berkesan dan mencukupi untuk komuniti Rohingya dengan memasukkan piawaian operasi dan penyelenggaraan kemudahan dalam keperluan pembiayaan yang dikaitkan dengan akauntabiliti.
  • Pihak berkuasa pengurusan kem terbabit dalam memudahkan penyelarasan yang lebih tegas dan pelaksanaan yang berkesan terhadap tindak balas air dan sanitasi, serta menghapuskan sekatan ke atas penyediaan air di kem untuk memastikan semua komuniti mempunyai akses yang sama kepada air yang mencukupi.

Doctors Without Borders sedang bekerjasama dengan penyedia air, sanitasi dan kebersihan di Cox's Bazar, dan penderma yang berkaitan, untuk meningkatkan kualiti dan ketersediaan perkhidmatan air, sanitasi dan kebersihan. Doctors Without Borders percaya semua pihak berkepentingan mesti berusaha untuk membangunkan penyelesaian kolaboratif untuk situasi kemanusiaan ini.

Kami telah berkongsi penemuan dan cadangan utama dengan agensi dan organisasi yang mengetuai respons air dan sanitasi, serta rakan kongsi yang menyampaikan perkhidmatan. Selain itu, Doctors Without Borders menghubungi penderma dan pegawai pengurusan kem untuk membincangkan hasil laporan dan cadangan kami tentang cara mereka boleh memudahkan pelaksanaan dan penyelarasan.

Pada titik penting ini di mana pihak-pihak yang bertindak balas di Cox's Bazar sedang membangunkan strategi mereka untuk tempoh mendatang, adalah penting untuk Doctors Without Borders dan responden lain segera mengesahkan komitmen mereka untuk menambah baik perkhidmatan air, sanitasi dan kebersihan supaya kesihatan masyarakat Rohingya di Bangladesh tidak semakin merosot