Pengeboman Israel yang kuat mendorong Gaza ke arah malapetaka
Menara Al-Shorouq di Gaza runtuh selepas serangan udara Israeli, Mei 12, 2021. © Fady Hanona/MSF
Berikutan keganasan di Baitulmaqdis yang menyebabkan ratusan rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak tercedera, organisasi perubatan antarabangsa Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) mendapati penggunaan kekerasan oleh polis Israel tidak boleh diterima dan mengingatkan tentang kesan kemusnahan terhadap sebarang ketegangan di Semenanjung Gaza.
"Pengeboman Israel sangat berat dan lebih kuat berbanding kempen pengeboman sebelumnya," kata Hellen Ottens-Patterson, Ketua Misi Doctors Without Borders di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT). "Pengeboman tanpa henti memusnahkan banyak rumah dan bangunan di sekeliling kami. Keadaan tidak selamat untuk keluar, dan tiada siapa juga selamat di dalam, orang ramai terperangkap. Pekerja kesihatan kecemasan mengambil risiko luar biasa tetapi perlu untuk bergerak."
Sejak petang 10 Mei hingga pagi 13 Mei, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan serangan udara Israel membunuh 67 orang, termasuk 17 kanak-kanak, dengan hampir 400 cedera. Pihak berkuasa Israel melaporkan kematian tujuh orang akibat roket dan peluru berpandu dilancarkan kumpulan militan Palestin di Gaza dalam tempoh sama.
Serangan udara ke atas Gaza baru-baru ini menyusuli hari keganasan di Baitulmaqdis. Pada malam Isnin 10 Mei, pasukan Doctors Without Borders menyokong Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) memeriksa dan menstabilkan ratusan pesakit yang cedera disebabkan polis Israel, yang kebanyakannya mengalami luka akibat peluru getah, bom perenjat dan trauma senjata tumpul.
“Pasukan kami menangani kecederaan serius dialami lelaki, wanita dan kanak-kanak disebabkan polis Israel,” kata Ottens-Patterson. "Mereka merawat kanak-kanak seawal usia 12 tahun yang cedera akibat terkena peluru getah. Keganasan itu paling teruk pernah disaksikan oleh pasukan Doctors Without Borders di Baitulmaqdis dalam beberapa tahun."
Ini bukan kali pertama Doctors Without Borders menyaksikan kesan buruk keganasan di Gaza. Konfrontasi tentera sebelum ini antara Israel dan Gaza, mengakibatkan kecederaan dan kematian ribuan orang awam Palestin, kebanyakannya kanak-kanak.
"Selepas setiap peperangan, setiap 'ketegangan', setiap gelombang protes, kami merawat mereka yang tercedera disebabkan tindakan angkatan tentera Israel di klinik dan hospital kami," kata Koordinator Perubatan Doctors Without Borders, Dr Natalie Thurtle. "Kami melihat setiap hari ketidakupayaan dan kesakitan jangka panjang ditimbulkan melalui keganasan ini, dan kami tahu semakin lama keganasan semasa ini berterusan, semakin ramai yang akan tercedera, dan semakin banyak mereka akan menderita walaupun lama selepas pengeboman berhenti."
"Sekatan 14 tahun Israel ke atas Gaza bermakna sistem kesihatan di sini berdepan banyak kekurangan perkara yang diperlukan untuk merawat pesakit walaupun pada waktu biasa. Sedangkan setiap beberapa tahun ia terpaksa menangani kemasukan besar mereka yang cedera: 11,000 cedera semasa perang 2014; lebih daripada 7,000 tembakan semasa protes pada 2018 dan 2019; dan kini sudah beratus-ratus cedera dalam pengeboman dan berpuluh mati sejak Isnin."
Doctors Without Borders, berada di Semenanjung Gaza sejak lebih 20 tahun, bersedia menyokong pihak berkuasa kesihatan tempatan untuk menyediakan rawatan perubatan penting kepada mereka yang memerlukannya. "Tahap keganasan dan kecederaan dialami sejak beberapa hari kebelakangan ini tidak dapat ditanggung dan tidak boleh diterima. Kami amat prihatin terhadap keselamatan penduduk awam," kata Ottens-Patterson.