Palestin: Peneroka yang tidak dikawal mengundang kepayahan tidak pernah berlaku kepada rakyat Palestin
Hussam Odeh duduk di sekatan jalan raya diletakkan tentera Israel di kawasan kejiranan luar rumahnya di Huwara. Palestin, April 2023. © Samar Hazboun
Ketika penempatan Israel berkembang di seluruh Tebing Barat, insiden membabitkan peneroka sentiasa berada pada tahap tertinggi. Dengan pasukan Israel gagal mencegah keganasan dan kadangkala membenarkannya, rakyat Palestin lebih terdedah kepada kekejaman berbanding sebelum ini. Di kawasan dengan kehadiran ramai peneroka, episod pertengkaran berlaku di mana-mana, dengan setiap keluarga mengenali sekurang-kurangnya seorang yang diganggu, diserang atau ditangkap berkaitan pertembungan dengan peneroka.
Anak perempuan Yasser Abu Markhiyeh, Jana, berusia dua setengah tahun ketika batu terkena pada di muka dan kakinya. Jana sedang duduk di pangkuan bapanya yang sedang menghirup kopi di teres rumah mereka di bandar Hebron, Tebing Barat. Kemudian, peneroka Israel dari rumah berhampiran mula melontar batu ke arah rumah lelaki Palestin berusia 51 tahun itu dari jalan.
“Pintu masuk sebelum ini mempunyai pemandangan jelas ke luar rumah sebelum askar Israel memasang tembok pelindung, jadi saya hampir tidak menyedari peneroka berada di sana,” katanya, merujuk tembok dipasang untuk menghalang rumahnya dari jalan yang sering digunakan peneroka.
Pakar psikologi Doctors Without Borders membantu Yasser dan Jana menghadapi episod dan serangan berulang yang mereka hadapi di rumah kerana berdekatan kediaman peneroka. Jana kini berusia tujuh tahun, kini menghidap strabismus (keadaan di mana kedua-dua mata tidak memandang pada tempat sama pada masa yang sama) yang memerlukan beberapa siri pembedahan dengan sekurang-kurangnya satu lagi pada beberapa tahun mendatang.
Yasser Abu Markhiyeh menunjukkan mata anak perempuannya yang rosak ketika serangan peneroka seaktu dia dia masih kecil, di rumahnya di Hebron. Palestin, Mei 2023. © Samar Hazboun
Kejiranan Yasser dan Jana di Tel Rumeida adalah kawasan padat dengan peneroka dalam bahagian Hebron yang dikenali sebagai H2, sebuah enklaf di bawah kuasa Israel dan dihuni kira-kira 700 peneroka yang tinggal berdekatan dengan penduduk Palestin.
Walaupun sebelum ini menjadi kediaman kepada populasi kecil Yahudi yang mendahului Negara Israel, aktiviti penempatan di Hebron menjadi sangat sengit sejak permulaan pendudukan Israel di Tebing Barat pada 1967. Perjanjian 1997 memberikan penguasaan kepada Pihak Berkuasa Palestin terhadap 80 peratus bandar namun mengekalkan 20 peratus daripada H2 di bawah pendudukan Israel untuk mengembangkan dan melindungi kawasan penempatan yang ditubuhkan.
Jalan Shuhada, di Old City yang berdekatan, menggambarkan kesan penempatan di H2. Pernah menjadi hab komersial yang meriah, ia perlahan-lahan berubah menjadi bandar hantu sebaik pusat pemeriksaan ditubuhkan, di mana permit untuk memasuki kawasan itu diwajidkan kepada rakyat Palestin, dan kedai ditutup satu persatu. Kedai aiskrim bapa Yasser satu daripadanya, dan kini kosong dengan semua peralatan mahalnya tidak digunakan selepas tentera Israel menutupnya dan menghalangnya daripada kembali.
H2 adalah gejala kepada trend yang menjejaskan seluruh Tebing Barat: dengan bilangan peneroka di kawasan itu meningkat daripada 183,000 pada 1999 kepada 465,000 hari ini (tidak termasuk 220,000 di Baitulmaqdis Timur), begitu juga bilangan askar Israel yang ditugaskan untuk melindungi mereka, selain bilangan sekatan kehadiran yang mereka kenakan ke atas kehidupan seharian rakyat Palestin.
Kehadiran peneroka dan tentera ini mencetus insiden, yang selalunya membabitkan keganasan, di mana rakyat Palestin seringkali kalah, dengan kesan diterima sama ada membabitkan kerosakan harta benda sehinggalah kematian. Peningkatan penempatan di Tebing Barat menyebabkan apa yang dipanggil keganasan peneroka ini terus meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, daripada 195 kecederaan pada 2008, kepada 304 kecederaan direkodkan pada 2022, berdasarkan rekod Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA). Bilangan insiden menjangkau 1,049 serangan dilakukan peneroka terhadap penduduk Palestin antara Januari hingga September 2022, meningkat 170 peratus berbanding pada 2017, lapor NGO Perancis Première Urgence Internationale. Angka insiden pada tahun ini pula nampaknya bakal memecahkan rekod itu. Pada April 2023, peneroka menyerang gembala dengan batu berhampiran Ramallah, menebang 50 pokok zaitun berhampiran Nablus, dan mengejar dua kanak-kanak lelaki Palestin di Bukit Hebron Selatan yang membawa keluar ternakan untuk meragut, antara kejadian dilaporkan.
"Kami melihat insiden besar peneroka menyerang orang di kawasan ini semasa kami menyediakan perkhidmatan perubatan dan kesihatan mental di kawasan itu, terutamanya berhampiran penempatan seperti H2," kata Mariam Qabas, penyelia promosi kesihatan Doctors Without Borders di Hebron.
Bersama-sama, komponen ini mewujudkan gangguan kesihatan mental yang membawa kepada "banyak kes Gangguan Tekanan Pasca Trauma, kebimbangan umum, kemurungan, kanak-kanak yang sangat takut untuk ke sekolah dan banyak lagi."
Mariam, 56, pernah menjadi sasaran peneroka yang membaling batu ke arahnya bersama seorang lagi kakitangan Doctors Without Borders ketika mereka menunggu di luar pintu rumah pesakit di H2. Dia masih ingat rasa tidak berdaya dan kecewa terhadap pesakitnya.
"Bagaimana kami boleh menyokong orang-orang ini sedangkan kami tidak dapat melindungi diri sendiri daripada serangan ini, walaupun dengan vest Doctors Without Borders?"
Tentera Israel membenarkan peneroka dengan berpihak kepada mereka semasa pertengkaran tanpa mengira siapa yang menghasut mereka. Mariam teringat suatu ketika, selepas sekumpulan peneroka menanggalkan plat dari kereta Doctors Without Borders di Hebron, dia bertengkar dengan mereka untuk mendapatkan kembali plat itu. Seorang askar yang berdiri berhampiran mengacukan pistolnya ke arahnya serta pasukan itu dan mereka terpaksa pergi.
"Masalahnya di sini ialah anda akan menemui peneroka dan askar pada masa sama, dan askar melindungi peneroka," katanya.
Dalam kes Yasser, melaporkan serangan ke atas anak perempuannya kepada polis Israel tidak menjanjikan apa-apa. Dia masih kerap terserempak dengan lelaki yang membaling batu di sekitar H2. "Saya boleh mengenali mereka walaupun mereka ketika itu masih muda."
Sebahagian daripada mereka berkhidmat dalam tentera manakala yang lain bekerja di Megan David Adom (perkhidmatan ambulans kebangsaan Israel). Dia pernah bersemuka dengan seorang daripada mereka yang kini petugas perubatan mengenai anak perempuannya, yang kemudian menafikan kejadian itu dengan alasan ia tindakan terburu-buru oleh seorang lelaki muda.
Yasser, bekas pemandu teksi, pernah meletakkan keretanya di luar rumah namun terpaksa mula meletakkannya di kawasan jalan selepas pusat pemeriksaan dibuka berhampiran rumahnya. Yasser masih ingat waktu awal kehadiran peneroka apabila jalan itu dibuka. Kemudian beberapa beg pasir dan penghadang lalu lintas kayu yang dikawal tentera muncul. Kini, pintu pagar besi yang besar menyekat akses ke kawasan kejiranan untuk kereta, manakala pejalan kaki mesti masuk melalui pintu putar.
Hari ini, Jana dan adik-beradiknya perlu menyeberangi pusat pemeriksaan dan askar yang berkawal di situ setiap hari untuk ke sekolah, dan keluarga itu secara berkesan diasingkan daripada komuniti mereka. Rakan-rakan dan saudara-mara takut melawat kawasan kejiranan kerana kehadiran peneroka serta tentera dan disebabkan keganasan yang mungkin berlaku sekiranya bertembung dengan mereka, sekali gus menambah beban pengasingan sosial akibat keganasan peneroka dan tentera.
Kemarahan dan amukan di utara Tebing Barat
Di kawasan sekitar bandar Nablus di Tebing Barat utara, penempatan haram di bawah undang-undang antarabangsa ditubuhkan di puncak bukit di kawasan pedalaman berhampiran bandar. Di sana juga, insiden mencapai tahap rekod pada 2022, manakala 2023 membawa salah satu pencerobohan peneroka yang paling dramatik. Di bandar Huwara yang terletak berhampiran, ratusan peneroka, sebahagiannya membawa pisau dan senjata api, mengamuk pada Februari 2023 selepas seorang lelaki Palestin yang bersenjata menembak mati dua peneroka. Serbuan membawa kepada keganasan sewenang-wenangnya yang menyebabkan seorang awam terkorban, lebih seratus cedera dan banyak kerosakan material terhadap harta benda Palestin, daripada pecah tingkap hinggalah kereta terbakar.
Hussam Odeh daripada generasi baharu dan tidak melalui zaman tanpa kehadiran peneroka berdekatan. Dia tinggal berhampiran jalan utama Huwara, di mana trafik meningkat dengan ketara dalam beberapa bulan kebelakangan ini selepas tentera Israel menggunakan blok simen besar untuk meningkatkan kawalan akses ke bandar itu.
Sebuah kamera keselamatan Israel memantau rumah penduduk Palestin di Tel Rumeida, Hebron. Palestin, Mei 2023. © Samar Hazboun
Meskipun baru berusia 15 tahun, Hussam amat menyedari dinamik kuasa di Tebing Barat. Dari tingkap apartmennya dia dapat melihat askar di atas bumbung bangunan di seberang jalan, yang menggunakannya sebagai titik pemerhatian di atas bandar. "Kami mengenali mereka, dan kami boleh membezakannya," katanya kepada kakitangan Doctors Without Borders, yang melawat bangunannya untuk memberikan sokongan kesihatan mental kepada ibu saudaranya dan sepupunya yang lebih muda.
Sekolah menengah Hussam, Sekolah Menengah Lelaki Huwara, sangat dekat dengan penempatan. Pada Oktober 2022, ketika Hussam dan rakannya bermain bola sepak di halaman sebelum waktu pertama, dia mula mendengar pekikan dan jeritan. “Kami diberitahu peneroka menyerang sekolah itu. Mereka mempunyai senjata api dan Molotov koktel,” katanya. Tentera akhirnya menyuraikan peneroka dan menghantar semua orang pulang, namun dua pelajar dihantar ke hospital kerana luka akibat lemparan batu.
Hussam bermain sebagai pertahanan kanan dalam pasukan bola sepak Nablus dan pernah menempuh perjalanan 10 kilometer untuk menjalani latihan menggunakan pengangkutan awam. Dengan ketegangan yang meningkat, dia mahupun rakan sepasukannya dari Huwara tidak menghadiri latihan selama berbulan-bulan berikutan khuatir pergerakan melepasi pemeriksaan mungkin bertukar bahaya. “Insya-Allah, saya akan kembali untuk bermain bola sepak semula,” katanya.
Mustafa Mlikat, seorang lelaki Badwi yang baru-baru ini berpindah ke kampung berhampiran Douma dari kawasan Jericho untuk melarikan diri dari gangguan peneroka, juga kesal dengan peningkatan keganasan daripada peneroka. Walaupun tidak pernah menyenangkan, keadaan itu tidaklah seteruk masa lalu, kata pengembala berusia 50 tahun itu. Dia masih ingat apabila peneroka dari kawasan luar bandar menumpangkannya atau orang Badwi lain ketika dalam perjalanan mereka ke bandar. Kemudian, peneroka membina sebuah rumah di sebelahnya. "Mereka akan mengganggu kami sepanjang masa... mereka membina rumah di sebelah kami, mereka mula mengganggu kambing biri-biri kami, mereka melarang kami menggunakan tanah yang kami gunakan untuk melepaskan kambing biri-biri kami meragut."
Mustafa Mlikat berdiri bersama anak-anaknya di sebelah runtuhan rumahnya yang dirobohkan tentera Israel, di Douma. Palestin, April 2023. © Samar Hazboun
Ahli komunitinya di Muarrajat mula menjual lembu masing-masing dan meninggalkan kawasan itu, dia pun mengambil tindakan sama. Dengan alat khas dipasang pada belakang pikapnya, dia membawa kawanan 50 biri-biri dan semua harta bendanya melalui beberapa perjalanan dan berpindah ke sebidang tanah yang sengaja pilih berikutan kedudukannya agak jauh dari penempatan. Kisah Muarrajat bukan kes terpencil. Pada 22 May 2023, seluruh komuniti pengembala berhampiran Ramallah, Ein Samiya, memilih untuk menempatkan semula 178 ahlinya, disebabkan perobohan rumah oleh tentera Israel dan kehilangan kawasan ragut disebabkan penempatan.
Masyarakat Badwi amat terdedah kepada keganasan peneroka kerana sebagai pengembala kehadiran mereka menghalang penempatan di kawasan luar bandar yang didambakan petani peneroka. “Mereka mahu semua kawasan di mana orang Badwi berada untuk peneroka. Semua orang Badwi menjadi sasaran,” katanya.
Meskipun selepas membina sebuah rumah di Douma, askar Israel memusnahkannya pada Februari 2023, dengan alasan tiada permit bangunan. Di tengah-tengah runtuhan yang sebelum ini adalah rumahnya, dia dipaksa hidup dalam khemah yang sukar didiami sepanjang bulan pada musim panas, dia tidak tahu lagi apa perlu dilakukan. Pada hari hujan sepanjang April, kain khemah mengepak kuat ditiup angin manakala Shireen dan Mirella, dua pekerja Doctors Without Borde menggunakan imej untuk membantu anak perempuan Mustafa, Jinan meluahkan kesan emosi akibat kemusnahan rumahnya.
"Kesihatan mental rakyat Palestin terjejas bukan hanya disebabkan peristiwa traumatik yang nyata ini, tetapi juga berikutan keadaan mereka yang sentiasa berwaspada, leka dan kurang perancangan untuk masa depan yang berpunca daripada pendudukan," kata Mirella, pengurus aktiviti kesihatan mental Doctors Without Borders di Nablus.
Petugas Doctors Without Borders menjalankan sesi kesihatan mental dengan Jinan, yang mana rumahnya dirobohkan tentera Israel, di Douma. Palestin, April 2023. © Samar Hazboun
Tertekan antara penempatan yang semakin berkembang yang mana kelakuan penghuninya tidak dapat diramal, Youssef*, seorang warga Palestin dari Nablus, berasa lebih selesa berhadapan dengan tentera berbanding peneroka. "Kami merasakan tentera Israel mengikut beberapa peraturan, sekurang-kurangnya majoritinya," jelasnya. "Peneroka tidak terikat dengan peraturan sedemikian, dan jika mereka marah, tiada siapa tahu apa yang mereka boleh lakukan."
Pada usia 50 tahun, dia melihat penempatan berkembang dan menjadikan tugasnya sebagai pemandu lebih sukar apabila bilangan jalan yang boleh dilalui rakyat Palestin semakin berkurangan. Dia kesal dengan status quo yang berlaku di Tebing Barat sejak Perjanjian Oslo 1993. “Pendudukan adalah punca segala-galanya. Tanpanya tiada keganasan, tiada pembunuhan.”
Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) telah berada di Tebing Barat sejak 1988. Di Nablus, organisasi itu menjalankan projek tertumpu kesihatan mental dengan jangkauan di Qalqilya dan Tubas. Doctors Without Borders juga menjalankan program kesihatan mental di bandar Hebron, menawarkan perkhidmatan perubatan di H2 dan penjagaan kesihatan asas di Masafer Yatta yang terletak berdekatan melalui klinik bergerak. Projek dibuka baru-baru ini di Jenin menyediakan latihan untuk pelan menangani insiden membabitkan mangsa yang ramai, tindak balas kecemasan serta triage pesakit.
*Nama ditukar untuk melindungi identiti