Skip to main content

Jordan: Perjalanan jauh pemulihan kanak-kanak cedera perang dari Gaza

Gaza patient Amman Hospital

Karam, 17 tahun, sedang menjalani sesi fisioterapi di hospital pembedahan rekonstruktif Doctors Without Borders di Amman. Karam mengalami luka terbakar yang teruk di wajahnya dan bahagian lain tubuhnya serta kecederaan serius pada lengannya selepas rumah keluarganya musnah akibat serangan udara Israel. Jordan, Ogos 2024. © Moises Saman/Magnum Photos

Ketika cahaya matahari menyusup masuk melalui tingkap kecil bilik hospital yang steril, jalur-jalur oren hangat menyentuh wajah Karam yang berusia 17 tahun, menonjolkan parut putih yang meliputi pipi kirinya. Dia bangun perlahan-lahan, ke posisi duduk di hospital yang dikendalikan oleh Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) di Amman, Jordan. Dia menggunakan tangan kanannya untuk memasang sekeping plastik panjang berwarna kulit pada lengan kirinya yang cedera.

“Saya pernah dengar bahawa apabila seseorang meninggal dunia, dia masih boleh mendengar suara orang ketika dikebumikan, mendengar doa dan langkah kaki mereka ketika pergi,” kata Karam.

“Di dalam ambulans, saya boleh merasakan hentakan jalan, tetapi mata saya tidak dapat dibuka. Saya masih boleh mendengar suara, dan saya takut, takut bahawa mungkin saya sudah mati.”

Pada 14 Februari 2024, serangan udara Israel menghancurkan rumah Karam di Gaza, membunuh semua ahli keluarganya kecuali adik perempuannya Ghina yang berusia tujuh tahun, dan bapanya, Ziad. Karam mengalami kecederaan teruk, dengan luka terbakar di seluruh wajah dan tubuhnya.

Hari itu, Hospital Al-Aqsa penuh dengan mangsa yang cedera selepas pengeboman kem Nuseirat di tengah Gaza oleh tentera Israel. Ketika Karam tiba di hospital, pasukan kecemasan cuba menyelamatkannya, tetapi tidak berjaya.

Sejam kemudian, pakcik Karam, seorang jururawat di Hospital Al-Aqsa, menyedari bahawa anak saudaranya masih bernafas. Beliau segera membawa Karam ke bilik pembedahan, di mana kakitangan Doctors Without Borders menjalankan CPR dan pembedahan kecemasan, menyelamatkan nyawanya.

Gaza patient Amman Hospital

Karam, 17 tahun, sedang menjalani sesi fisioterapi di hospital pembedahan rekonstruktif Doctors Without Borders di Amman. Jordan, Ogos 2024. © Moises Saman/Magnum Photos

Ziad, ayah Karam yang bekerja sebagai ahli psikologi untuk UNRWA, sedang bertugas di pusat perlindungan ketika rumah keluarganya di Nuseirat diserang.

“Apabila saya diberitahu tentang serangan itu, saya segera bergegas ke Hospital Al-Aqsa kerana jiran saya memberitahu bahawa Ghina dan Karam telah dibawa ke sana,” kata Ziad. “Sampai di bilik kecemasan, saya melihat mayat bergelimpangan di lantai. Saya menemui anak perempuan saya, Ghina, yang mengalami luka terbakar tahap pertama di wajah, bahu, dan belakangnya.”

Kesan bom yang menimpa rumah Ziad begitu kuat sehingga serpihan rumah tersebut terbenam ke dalam tanah. Bom itu membunuh 13 ahli keluarga Ziad, termasuk isterinya, anak bongsunya, Mohammed, dan anak sulungnya, Tareq, yang terperangkap di Gaza disebabkan perang ketika pulang dari Rusia, dimana dia belajar kursus pergigian.

Apabila Karam dibawa ke bilik kecemasan, saya tidak menyedari itu adalah anak saya. Dia langsung tidak kelihatan seperti manusia. Tiada pakaian yang tersisa padanya. Tubuhnya hitam sepenuhnya. Matanya tertutup.
Ziad, bapa Karam

Selepas menstabilkan keadaan Karam, kakitangan Doctors Without Borders dan Kementerian Kesihatan di Hospital Al-Aqsa menjalankan enam pembedahan plastik ke atas tubuhnya yang terbakar teruk. Selama tujuh hari, Karam berada dalam koma.

Karam kemudian dipindahkan ke hospital terapung Emirati di Al-Arish, Mesir, sebelum diterbangkan ke hospital pembedahan rekonstruktif Doctors Without Borders di Amman, di mana dia kini sedang menerima pemulihan menyeluruh, bersama adik perempuannya dan pesakit lain yang telah dipindahkan dari Gaza untuk rawatan perubatan.

Ribuan yang memerlukan rawatan perubatan khusus terperangkap di Gaza

Jumlah pesakit dari Gaza yang menerima rawatan penting di hospital Doctors Without Borders di Amman hanya mewakili sebahagian kecil daripada ribuan yang memerlukan bantuan di seluruh Gaza.

“Kami tahu daripada pengalaman kami di hospital pembedahan rekonstruktif di Amman, di mana kami telah merawat mangsa-mangsa perang dari rantau ini selama hampir 20 tahun, bahawa sehingga empat peratus daripada mangsa kecederaan perang biasanya memerlukan pembedahan rekonstruktif,” kata Moeen Mahmood Shaief, Ketua Misi Doctors Without Borders di Jordan.

“Bagi kes Gaza, kita sedang bercakap tentang hampir 100,000 orang yang telah cedera sejak 7 Oktober, oleh itu kita melihat sehingga 4,000 orang di Gaza yang memerlukan pembedahan rekonstruktif dan pemulihan menyeluruh,” katanya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, 41,000 orang telah terkorban di Gaza dalam tempoh hampir 12 bulan sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023, dan 95,000 orang telah cedera, sekurang-kurangnya 14,000 daripadanya memerlukan pemindahan perubatan.

Namun, proses yang membolehkan pesakit yang cedera dirujuk ke luar negara untuk rawatan adalah panjang dan rumit. Kriteria pihak berkuasa Israel untuk meluluskan permohonan tidak jelas, dan pesakit sering terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan jawapan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, hampir 60 peratus permohonan untuk pemindahan perubatan dari Gaza ditolak. Ini termasuk permohonan untuk memindahkan kanak-kanak yang cedera dan penjaga mereka, menurut Doctors Without Borders.

“Daripada lapan kes yang kami mohon untuk pemindahan perubatan pada bulan Ogos, hanya tiga yang diluluskan bersama penjaga mereka oleh pihak berkuasa Israel,” kata Dr Hani Isleem, Penyelaras Projek Doctors Without Borders untuk pemindahan perubatan Gaza.

“Kami akan memohon semula untuk kumpulan seterusnya, tetapi jelas 100 peratus bahawa mereka tidak akan meluluskan kesemua pesakit. Mungkin mereka curiga untuk membenarkan orang dewasa keluar dari Gaza, tetapi kecurigaan itu tidak menjelaskan penolakan untuk memindahkan kanak-kanak.”

Doctors Without Borders menggesa pihak berkuasa Israel untuk memastikan pemindahan perubatan bagi rakyat Palestin yang memerlukan rawatan perubatan khusus, termasuk penjaga mereka, serta menggesa negara-negara lain untuk menerima dan memudahkan rawatan di luar Gaza, sambil memastikan semua pesakit dan penjaga mereka dijamin pulang ke Gaza dengan selamat, secara sukarela, dan bermaruah.

Gaza patient Amman Hospital

Hazam, 8 tahun, berjalan di sebelah ibunya Eman dan kakaknya Deema di lorong hospital pembedahan rekonstruktif Doctors Without Borders di Amman. Hazam mengalami kecederaan serius pada 10 Oktober 2023, apabila rumah bersebelahan dengan rumahnya dibom. Hazam berada di jalan ketika objek logam jatuh mengenai kakinya, mencederakannya. Jordan, Ogos 2024. © Moises Saman/Magnum Photos

Kisah Deema dan Hazem

Deema, 11 tahun, dan keluarganya sedang berlindung di rumah mereka di Bandar Gaza ketika rumah jiran mereka terkena serangan udara pada 10 Oktober 2023. Deema berada di tingkat empat, memegang anak saudaranya yang masih bayi di dalam pelukannya, ketika bangunan itu runtuh di sekeliling mereka. Deema jatuh dari tingkat empat ke tingkat bawah.

“Semuanya gelap gelita di bawah runtuhan,” kata Deema. “Saya tidak boleh membuka mata dan hampir tidak dapat bernafas. Saya tidak mendengar sesiapa, dan saya tidak boleh bercakap, debu dan batu-bata menutupi wajah saya. Saya yakin bahawa saya akan mati.”

“Saya berjaya menggerakkan tangan saya di bawah runtuhan dan menggunakan kabel untuk memberi isyarat kepada orang ramai bahawa saya berada di situ. Saya dapat mendengar suara orang, dan saya merasakan udara di kaki saya, dan tidak lama kemudian orang ramai menarik saya keluar dan bergegas membawa saya ke ambulans. Hingga kini, mereka masih belum menemui anak saudara saya yang masih bayi.”

Tujuh puluh lima orang terbunuh dalam serangan itu, termasuk abang Deema yang berusia 14 tahun, Hamza. Adiknya, Hazem, yang sedang bermain bola sepak di luar, juga cedera parah apabila bangunan itu runtuh. Selepas debu reda dan pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian, Deema dan Hazem segera dibawa ke Hospital Al-Shifa, di mana mereka menerima rawatan kecemasan.

Disebabkan serangan bom yang berterusan di Bandar Gaza, Deema, Hazem, dan ibu mereka, Eman, tinggal di Hospital Al-Shifa selama enam bulan, makan, tidur, dan menerima rawatan di sana bersama ribuan rakyat Palestin lain yang berlindung di dalam hospital tersebut.

Pada 18 Mac 2024, tentera Israel mengepung hospital itu, memaksa ribuan orang yang berada di dalam untuk melarikan diri. Dalam huru-hara pemindahan, Deema terpisah dari ibunya dan Hazem, yang terpaksa berpindah ke selatan. Sementara itu, Deema berjaya bersatu semula dengan bapanya dan berlindung bersama beliau di Sekolah Asma’a di Bandar Gaza, di mana mereka tinggal selama 45 hari.

“Kami tinggal di dalam bilik darjah bersama kira-kira 50 keluarga,” kata Deema. “Kami hampir tidak mempunyai makanan atau air, dan tiada elektrik atau gas, jadi kami terpaksa menyalakan api. Bahu saya patah, dan saya langsung tidak boleh menggerakkannya, dan saya hampir tidak dapat berjalan pada waktu itu.”

Pada awal bulan Mei, Deema akhirnya berjaya pergi ke selatan Gaza, di mana dia bertemu semula dengan ibunya dan Hazem di Rafah. Seminggu kemudian, mereka dipindahkan secara kecemasan perubatan, pertama ke Mesir dan kemudian ke hospital Doctors Without Borders di Amman, di mana Deema dan Hazem terus menerima rawatan pembedahan rekonstruktif, fisioterapi, dan sokongan kesihatan mental.

Deema mengalami tulang patah pada tulang paha kanan dan bahu, serta luka terbuka di dahinya akibat serangan di rumahnya. Di Amman, dia menjalani fisioterapi setiap hari dengan pasukan fisioterapi Doctors Without Borders untuk membantu penyembuhan tulangnya sebelum alat fiksator luaran di kakinya boleh dikeluarkan. Dengan masa, dia berharap dapat memulihkan sepenuhnya fungsi anggota badannya.

"Saya tidak dapat menggerakkan pergelangan kaki atau lengan saya ketika pertama kali tiba di Jordan, tetapi dengan bantuan pembedahan dan fisioterapi, kini saya boleh menggerakkannya semula," kata Deema. "Namun, sukar bagi saya memikirkan masa depan selagi masih ada perang di Gaza."

Kesan kesihatan mental terhadap mangsa perang di Gaza

Pasukan kesihatan mental Doctors Without Borders yang merawat pesakit di hospital Amman telah mendapati bahawa sebelum bermulanya perang, rakyat Palestin dari Gaza sudah mengalami kemurungan dan kekecewaan, sering kali berkaitan dengan pengangguran, kemiskinan, dan kadar ketagihan yang tinggi, selain daripada kecacatan dan amputasi akibat perang-perang terdahulu. Namun, sejak 7 Oktober, kesihatan mental penduduk Gaza telah merosot dengan ketara.

"Banyak pesakit yang datang dari Gaza ke hospital Amman bukan sahaja mengalami gangguan tekanan pasca-trauma, tetapi juga sindrom tekanan akut," kata Dr. Ahmad Mahmoud Al Salem, Pakar Psikiatri Doctors Without Borders di hospital Amman. "Ini bermaksud pesakit biasanya mengalami banyak mimpi ngeri dan kilas balik, serta mood yang rendah, kesukaran untuk tidur, dan cenderung untuk menghindari segala ingatan."

Ramai rakyat Palestin di Gaza telah menyaksikan pemusnahan rumah mereka dan pembunuhan ahli keluarga mereka, dan ramai juga yang mengalami kecederaan yang mengubah hidup. Lebih daripada itu, mereka sentiasa mendengar berita kehilangan ahli-ahli keluarga lain dan rakan-rakan.

Ini bukan trauma biasa. Ini adalah bencana besar yang menyeksa jiwa, dan secara psikologi, fikiran mereka tidak mampu menanggung segala tekanan ini.
Dr. Ahmad Mahmoud Al Salem, Psikiatri

Pasukan kesihatan mental di hospital Doctors Without Borders di Amman menyediakan terapi komprehensif kepada pesakit yang telah mengalami trauma akut. Kanak-kanak ditawarkan sokongan psikologi secara peribadi, serta aktiviti pendidikan dan terapi pekerjaan untuk membantu mereka merasa lebih berkeyakinan. Kes-kes yang lebih teruk dirujuk kepada Dr. Al Salem untuk sokongan psikiatri dan rawatan perubatan.

Remaja adalah kumpulan yang sangat terdedah kepada tekanan akut dan kecederaan yang mengubah kehidupan mereka, kata Dr. Al Salem.

"Remaja boleh mengalami kesengsaraan yang mendalam, kerana mereka baru sahaja memulakan pembentukan personaliti dan identiti diri," katanya. "Mereka mula memahami peranan mereka dalam dunia, dan mereka bertanya kepada diri sendiri: 'Adakah saya akan menjadi produktif suatu hari nanti, adakah saya menarik, adakah saya mampu mencari rezeki?'"

Menurut Dr. Al Salem, pesakit remaja yang mengalami luka ngeri yang mengubah hidup memerlukan psikoterapi jangkamasa panjang, bukan sahaja untuk menangani kenangan yang menyakitkan dan trauma mental, tetapi juga untuk membina semula harga diri dan belajar hidup dengan ketidakupayaan.

"Kanak-kanak ini memerlukan sokongan untuk membina semula harga diri dan keyakinan diri mereka," kata Dr. Al Salem. "Kami cuba bekerjasama dengan mereka untuk memperkasakan mereka melalui terapi pekerjaan dan menunjukkan bagaimana mereka boleh berkembang dan pulih. Namun, ia memerlukan masa."

Satu saat pada satu masa

Bagi pesakit muda Palestin di hospital Doctors Without Borders di Amman, masa depan kekal gelap dan tidak menentu. Masih tiada tempat yang selamat di Gaza, dan walaupun mereka mungkin dapat kembali secara fizikal ke Gaza suatu hari nanti, prospek mereka suram. Semua orang telah kehilangan ahli keluarga, rumah, dan sekolah mereka.

A patient plays in the MSF reconstructive surgery hospital in Amman, Jordan. © Moises Saman/Magnum Photos

Hazem, 8 tahun, bermain di hospital pembedahan rekonstruktif Doctors Without Borders di Amman, Jordan, di mana dia sedang menerima rawatan selepas cedera dalam serangan udara di Gaza. Jordan, Ogos 2024.© Moises Saman/Magnum Photos

Deema ingin kembali ke sekolah dan bertemu keluarganya, namun tidak sehingga perang berakhir dan Gaza dibangunkan semula.

"Saya cuma berharap dapat kembali ke sekolah dan menyelesaikan pelajaran saya, dan selepas itu, saya ingin menjadi jurutera," kata Deema. "Saya berharap Gaza dapat kembali seperti dahulu kala. Kami tidak mahu menjadi pelarian atau dihalau keluar, kami cuma mahu kembali kepada kehidupan kami sebelum perang."

Lima bulan selepas serangan dahsyat terhadap rumahnya, Karam kini boleh berjalan semula. Dia mampu menggerakkan lengan kirinya dan mata kirinya perlahan-lahan mulai terbuka – satu pemulihan yang hampir ajaib memandangkan pada awalnya dia disangka mati oleh kakitangan perubatan di Hospital Al-Aqsa.

Hari ini, Karam tersenyum apabila dia melepaskan tongkatnya di jabatan fisioterapi dan memegang bar penstabilan selari untuk melangkah beberapa langkah ke hadapan. Sebelum perang, dia bercita-cita untuk menjadi doktor gigi seperti abangnya, Tareq, tetapi selepas mengalami kecederaan, dia tidak pasti sama ada impian itu dapat dicapai.

"Saya mengambil langkah demi langkah," kata Karam. "Jika perang berakhir, insya-Allah, kami akan kembali ke Gaza. Itu tanah air saya, di situlah saya membesar. Kawan-kawan saya ada di sana. Tetapi buat masa ini, saya berada di sini dan mahu pulih, satu saat demi satu saat."



Adakah anda bersedia menyokong kerja kecemasan kami?

Bantu kami memberikan rawatan perubatan yang menyelamatkan nyawa semasa kecemasan dengan menyumbang hari ini.