Di Jenin dan Tulkarem, tentera Israeli menyebabkan penjagaan kesihatan tidak dapat diakses ketika ia amat diperlukan
Pemandangan sebuah jalan di Jenin, Tebing Barat. Wilayah Palestin, Mei 2024. © Oday Alshobaki/MSF
Pencerobohan ketenteraan oleh tentera Israel di Tebing Barat semakin meningkat dari segi keganasan dan kekerapan sejak permulaan perang di Gaza pada Oktober 2023. Kakitangan perubatan dan paramedik berulang kali diserang, diganggu, disekat dan dihalang ketika mereka cuba merawat orang ramai yang cedera. Antara 21-23 Mei 2024, Bandar Jenin dan kem pelariannya melalui pencerobohan ketenteraan selama 42 jam, salah satu corak serbuan kejam yang terkini dan paling lama.
Itta Helland-Hansen adalah Penyelaras Projek Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) di Jenin dan Tulkarem, dua perbandaran terletak di Utara Tebing Barat, Palestin. Berikut, beliau menceritakan apa yang berlaku pada hari itu.
"Pencerobohan ini bermula jam 8 pagi, ketika kanak-kanak sedang tiba di sekolah dan orang ramai dalam perjalanan ke tempat kerja. Salah seorang mangsa pertama adalah Dr Jabarin, seorang pakar bedah yang ditembak di belakang dan terbunuh ketika berjalan menuju tempat kerja di Hospital Khalil Suleiman. Dia tiba di atas pengusung, dan rakan-rakan setugasnya terpaksa memikul beban tambahan akibat kehilangannya sepanjang pencerobohan itu. Secara keseluruhan, tentera Israel membunuh dua belas rakyat Palestin semasa serbuan ini.
Pencerobohan di Jenin menjadi lebih kerap, dan ia sangat tidak boleh diramal, berlarutan dari beberapa jam ke beberapa hari. Pencerobohan secara khusus menyasarkan Kem Jenin, yang menempatkan lebih 23,000 pelarian Palestin. Penembak tepat ditempatkan di sekitar kem dan bandar. Pasukan tentera dalam kenderaan berperisai besar menghalang jalan raya dan menyekat akses kepada ambulans.
Perjalan untuk sampai ke Hospital Khalil Suleiman boleh mengambil masa berjam-jam lamanya, yang mana biasanya hanya dua minit berjalan kaki dari pintu masuk Kem Jenin. Memandangkan jalan ke hospital mungkin bertukar perangkap maut, , ramai memilih untuk tinggal di rumah dengan meskipun dengan kecederaan dan keadaan yang kebiasannya mereka akan mendapatkan rawatan perubatan akut untuknya."
"Dalam kebanyakan projek Doctors Without Borders, kami mengurangkan jurang dalam penjagaan kesihatan. Di sini, penjagaan kesihatan tersedia di hadapan, tetapi apabila ia paling diperlukan, ia secara sengaja dijadikan supaya tidak dapat diakses. Semasa pencerobohan di Jenin dan Tulkarem, kami menyaksikan corak berterusan dan sistematik serangan terhadap petugas penjagaan kesihatan serta sekatan terhadap ambulans.
Setiap paramedik yang saya bercakap dengannya menjelaskan situasi di mana mereka diganggu secara peribadi, diserang secara fizikal dan dihalang semasa cuba memberikan rawatan perubatan kecemasan. Ramai diugut, ditahan, diserang secara fizikal selain ada juga yang ditembak.
Di Jenin, kami mengendalikan pembinaan kapasiti untuk doktor dan jururawat di jabatan kecemasan Hospital Khalil Suleiman. Di Tulkarem, kami melakukan perkara sama di Hospital Thabet Thabet. Namun memandangkan pesakit disekat daripada sampai ke hospital tepat pada masanya, kami turut melatih pekerja ambulans, serta sukarelawan perubatan dan paramedik di kem. Sasaran kami untuk membolehkan mereka memastikan orang yang cedera hidup lebih lama. Kami terpaksa membangunkan pendekatan baharu untuk mewujudkan langkah-langkah yang melangkaui tugas menyelamatkan nyawa serta-merta, supaya pesakit boleh bertahan sehingga mereka dapat mengakses rawatan mencukupi dengan selamat.
Kami juga menyediakan beberapa titik untuk penstabilan, bilik ringkas dengan beberapa katil serta bekalan perubatan penting, di kem Jenin dan Tulkarem. Tetapi disebabkan titik penstabilan ini diserang dan dirosakkan tentera Israel semasa serbuan mereka, beberapa sukarelawan perubatan tidak lagi berasa selamat bekerja di sana. Oleh itu, kami beralih dengan memberikan kit perubatan mudah alih kepada sukarelawan."
Itta Helland-Hansen adalah Penyelaras Projek Doctors Without Borders di Jenin dan Tulkarem, Tebing Barat. Wilayah Palestin, Mei 2024. © Oday Alshobaki/MSF
"Sebagai tambahan, kami memulakan latihan "menghentikan pendarahan" di kem, mengajar residen bukan perubatan cara merawat luka dan menggunakan tourniquet. Semasa semua latihan ini, kami dianjukan soalan oleh suri rumah, berkaitan fakta, sama ada peluru perlu dikeluarkan sebelum mengenakan tekanan, atau berapa lama lengan boleh dipasang torniquet sebelum adanya risiko amputasi. Semua soalan ini menceritakan banyak perkara tentang realiti membimbangkan di Jenin dan Tulkarem, di mana sekatan akses kepada penjagaan kesihatan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian yang terpaksa ditanggung orang ramai.
Pencerobohan turut membawa kemusnahan besar-besaran. Rumah dibom atau dirobohkan, jalan raya dimusnahkan, sistem air dan sanitasi dirobek, dan bekalan elektrik terputus. Kami menderma dua tuk-tuk, saiznya menyamai kereta golf kecil, yang digunakan sebagai ambulans mini dalam Kem Jenin. Tuk-tuk menyelamatkan nyawa ini menggunakan bateri, oleh itu sukarelawan mesti mencatu penggunaannya kerana mereka tidak tahu berapa lama serbuan akan berterusan dan bila mereka berpeluang boleh mengecasnya semula. Kami tidak boleh menambah jana kuasa atau panel solar pada persekitaran itu, kerana ini hanya akan mewujudkan sasaran lain.
Walaupun berterusan diganggu dan bimbang dengan keselamatan nyawa sendiri, sukarelawan paramedik terus bekerja dan merawat mereka yang cedera. Mohammed, salah seorang sukarelawan di Kem Jenin, memberitahu saya bagaimana dia dipukul pada pergelangan tangan oleh penembak tepat pada jam pertama pencerobohan terbaharu. Dia berhasil kembali ke hospital, dirawat, dan kembali bekerja. Sesetengah sukarelawan menyatakan mereka berasa lebih selamat apabila tidak memakai jaket paramedik mereka. Apa yang mereka hadapi adalah pengabaian secara terang-terangan terhadap misi perubatan dan kehidupan manusia. Kami tidak pernah menganggap jaket perubatan sebagai kalis peluru, tetapi ia tidak sepatutnya menjadi sasaran."
Satu pasukan Doctors Without Borders sedang melakukan pemeriksaan penilaian di kem Jenin bersama ahli jawatankuasa kem dan sukarelawan paramedik untuk menilai kerosakan dan keperluan berikutan pencerobohan tentera Israel yang kejam pada 21-23 Mei 2024. Wilayah Palestin, Mei 2024. © Oday Alshobaki/MSF
"Sewaktu satu lagi pencerobohan baru-baru ini, di kem Nur Shams di Tulkarem, sukarelawan paramedik Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin yang dilatih oleh Doctors Without Borders ditembak pada kaki semasa berlari ke arah seorang pesakit. Ketika itu dia memakai vestnya, jelas menunjukkan statusnya sebagai anggota perubatan. Ia mengambil masa lebih tujuh jam sebelum dia dibenarkan untuk sampai ke hospital dan mendapatkan rawatan diperlukannya. Di sini, orang ramai merasakan bahawa mereka tidak dipandang, tidak penting, tidak layak diberikan perhatian, dan diabaikan oleh dunia.
Semasa pengebumian Dr Jabarin hampir berlangsung, saya bertanya kepada Dr Abu Baker, pengarah Hospital Khalil Suleiman, apa yang kami sebagai Doctors Without Borders boleh lakukan untuk membantu memperbaiki keadaan mereka. 'Perkara paling penting yang boleh anda lakukan', katanya, 'adalah memberitahu dunia apa yang berlaku di sini."
Situasi di Tebing Barat
Peperangan berterusan di Gaza telah meningkat dan memburukkan lagi keganasan dan sekatan dikenakan pihak berkuasa Israel ke atas rakyat Palestin yang tinggal di Tebing Barat. Antara 7 Oktober 2023 dan 10 Jun 2024, 521 rakyat Palestin, termasuk 126 kanak-kanak, terbunuh di Tebing Barat, sebahagian besar daripadanya dilakukan tentera Israel. Hampir 74 peratus daripada kematian (lebih 380 rakyat Palestin) berlaku semasa operasi oleh tentera Israel di bandar, kampung dan kem pelarian, khususnya di wilayah Jenin dan Tulkarem. Selain itu, sejak Oktober 2023, lebih 480 serangan terhadap penjagaan kesihatan turut dilaporkan di Tebing Barat.