Skip to main content

Gaza: Serangan ke atas pekerja kemanusiaan jadikan pemberian bantuan penting hampir mustahil

Doctors Without Borders health worker attends people at the waiting area in Al-Shaboura clinic.

Petugas kesihatan Doctors Without Borders melayan orang ramai di kawasan menunggu di Al-Shaboura clinic. Wilayah Palestin, Disember 2023. © Mohammad Abed

Sekatan ketat Israel ke atas Gaza menghalang kemasukan bekalan penting ke dalam wilayah terkepung itu. Pada masa sama, pemberian bantuan dalam kawasan terbabit hampir mustahil kerana Israel tidak menghiraukan sepenuhnya perlindungan dan keselamatan misi perubatan dan kemanusiaan serta kakitangan mereka menyebabkan orang ramai terputus daripada menerima bantuan yang menyelamatkan nyawa. Realiti ini menjadikan tindak balas kemanusiaan di Gaza ibarat ilusi semata-mata.

Realiti ketiadaan ruang kemanusiaan dan kekurangan bekalan yang kita saksikan di Gaza benar-benar mengerikan. Sekalipun tidak terkorban akibat dibom, orang ramai masih menderita akibat kekurangan makanan serta air dan nyawa mereka terancam akibat kekurangan rawatan perubatan.
Lisa Macheiner, Penyelaras Projek

Kakitangan perubatan dan kemanusiaan dipaksa memperjudikan nyawa mereka

Tiada tempat yang selamat di Gaza, baik untuk orang awam mahupun bgai pihak yang cuba memberikan bantuan penting kepada mereka. Tindakan Israel yang terang-terangan dan sepenuhnya tidak menghiraukan perlindungan kemudahan perubatan atau pekerja kemanusiaan Gaza menjadikan penyediaan penjagaan dan bantuan menyelamatkan nyawa sebagai tugas yang hampir mustahil

Dalam tempoh lima bulan lalu, kemudahan penjagaan kesihatan tertakluk kepada arahan pemindahan dan berulang kali diserang, dikepung serta diserbu. Kakitangan perubatan dan pesakit ditangkap, didera dan dibunuh semasa memberikan rawatan kepada pesakit. Ini termasuk lima kakitangan kami sendiri daripada Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF). Beberapa ahli keluarga kakitangan kami juga telah terbunuh.

Dalam salah satu contoh kekejaman terbaharu yang menyasarkan kemudahan penjagaan kesihatan, hospital Nasser, hospital terbesar di selatan Gaza, telah dikepung selama berminggu-minggu. Selepas bedilan menghujani jabatan ortopedik, membunuh dan mencederakan beberapa orang, kakitangan Doctors Without Borders dipaksa melarikan diri dan meninggalkan pesakit. Seorang kakitangan Doctors Without Borders ditahan di pusat pemeriksaan oleh tentera Israel ketika cuba meninggalkan perkarangan itu. Kami mengulangi seruan kami kepada pihak berkuasa Israel untuk berkongsi maklumat tentang keberadaannya dan untuk melindungi kesejahteraan serta maruahnya.

Doctors Without Borders shelther in Al-Mawasi, Khan Younis, Gaza, which was shelled by Israeli forces.

Pada malam 20 Februari 2024, tentera Israel menjalankan operasi di Al-Mawasi, Khan Younis, Gaza, di mana sebuah tempat perlindungan yang menempatkan kakitangan MSF dan keluarga mereka dibedil. Wilayah Palestin, Februari 2024. © Mohammed Abed

Medical

Kakitangan perubatan yang kekal berada dalam hospital berkenaan menggambarkan situasi yang mengerikan, di mana pesakit terperangkap dengan makanan terhad dan tiada bekalan elektrik atau air yang mengalir.

“Setiap petang, saya mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan Palestin saya. Setiap pagi, saya takut saya tidak akan melihat mereka dalam mesyuarat pagi berikutnya, "kata Macheiner. "Setiap hari kami berasa semakin kehabisan pilihan - untuk merawat mereka yang cedera, mendapatkan bekalan perubatan, atau menyediakan air yang sangat diperlukan orang ramai."

Pada lewat petang 20 Februari, sebuah kereta kebal Israel membedil tempat perlindungan Doctors Without Borders di Al-Mawasi, mengorbankan dua ahli keluarga kakitangan Doctors Without Borders dan mencederakan tujuh yang lain. Tentera Israel telah dimaklumkan dengan jelas mengenai lokasi tepat tempat perlindungan yang membuktikan bahawa tiada tempat selamat di Gaza dan mekanisme nyahkonflik tidak boleh dipercayai.

Sekatan dan kekurangan perlindungan konvoi bantuan

Utara atau selatan, pihak yang bertindak balas terhadap kemanusiaan tidak ada jaminan keselamatan untuk menjalankan tugas dan konvoi mereka disekat serta dilengahkan dengan teruk di pusat pemeriksaan, menjadikan ia mustahil untuk sampai kepada mereka yang sangat memerlukan.

Utara Gaza sebahagian besarnya terputus daripada bantuan selama berbulan-bulan, menyebabkan orang ramai terperangkap dan tiada pilihan selain cuba bertahan dengan jumlah makanan, air dan bekalan perubatan yang sedikit. Seluruh kawasan kejiranan dibom dan dimusnahkan. Walaupun keupayaan Doctors Without Borders terhad untuk melihat keseluruhan keadaan kemanusiaan dan kesihatan di utara, beberapa kakitangan kami masih terperangkap di sana.

Keadaan di utara Gaza adalah bencana dan ia semakin teruk. Tiada hospital meskipun untuk rawatan asas, dan farmasi tiada langsung bekalan ubat-ubatan. Anak-anak saya sakit selama berminggu-minggu kerana kekurangan air bersih dan makanan yang elok, dan keadaan mereka semakin teruk.
Jururawat Doctors Without Borders

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, antara 1 Januari dan 12 Februari, separuh daripada misi yang dirancang rakan kemanusiaan untuk menyampaikan bantuan dan menjalankan penilaian di kawasan utara Wadi Gaza dinafikan akses oleh pihak berkuasa Israel. Program Makanan Sedunia (WFP) adalah pertubuhan kemanusiaan terbaharu yang terpaksa menghentikan bantuan menyelamatkan nyawa ke utara Gaza, menyatakan keadaan tidak membenarkan pengagihan makanan yang selamat.

The number of trucks entering Gaza

Bilangan trak yang memasuki Gaza menurun daripada purata 300 kepada 500 trak setiap hari sebelum perang, kepada purata hanya 100 trak setiap hari. Wilayah Palestin, November 2023. © MSF

“Orang ramai tidak dapat menerima lebih banyak penderitaan”

Sebagai sebahagian daripada pengepungan penuh dan tidak berperikemanusiaan oleh Israel di Gaza, pengurangan bekalan bantuan menyebabkan kira-kira dua juta orang di Gaza terjerumus ke dalam situasi terdesak. Bilangan trak yang memasuki kawasan itu menurun daripada purata 300 kepada 500 trak setiap hari sebelum perang, kepada purata hanya 100 trak setiap hari antara 21 Oktober dan 23 Februari. Pada 17 Februari, hanya empat trak dibenarkan masuk ke Gaza.

Prosedur pentadbiran berpanjangan dan tidak dapat diramal untuk penghantaran bantuan ke Gaza menghalang akses kepada peralatan menyelamatkan nyawa dan bekalan untuk kemudahan penjagaan kesihatan. Ia boleh mengambil masa sehingga satu bulan untuk bekalan memasuki Gaza kerana setiap kotak dalam setiap trak diserahkan untuk saringan. Jika pihak berkuasa Israel menolak walaupun satu item semasa proses saringan, keseluruhan kargo mesti dikembalikan ke Mesir. Tanpa senarai rasmi item larangan, Doctors Without Borders secara konsisten dinafikan untuk membawa masuk penjana kuasa, alat penulen air, panel solar dan pelbagai peralatan perubatan.

"Setiap saat bekalan ditangguhkan, dan setiap kali apa-apa item disekat, ia menyebabkan penderitaan yang lebih dahsyat dan tidak tertanggung," kata Macheiner. "Bekalan ini bermakna perbezaan antara hidup dan mati buat ramai orang."

Di Rafah, selatan Gaza, kira-kira 1.5 juta orang yang dipindahkan secara paksa hidup dalam keadaan mengerikan. Mereka kekurangan asas yang diperlukan untuk terus hidup. Wanita terpaksa menggunakan sisa pakaian sebagai tuala wanita, dan orang ramai tinggal di khemah berlumpur tanpa tilam atau pakaian hangat.

"Mereka yang mempunyai kondisi kronik seperti kanser, diabetes atau epilepsi hampir tidak mempunyai akses kepada ubat dan ubat," kata Dr Hossam Altalma, seorang doktor di Doctors Without Borders yang bekerja di klinik Al-Shaboura. "Orang ramai terdesak dan sanggup membayar apa sahaja harga untuk mendapatkan ubat."

Pasukan Doctors Without Borders terus menyediakan penjagaan kemanusiaan dan perubatan di Gaza setakat termampu termasuk pembedahan, penjagaan selepas pembedahan, penjagaan bersalin, sokongan kesihatan mental dan pengagihan air. Namun ini semua hanya setitik di lautan berbanding keperluan orang ramai. Doctors Without Borders sekali lagi menyeru ke arah gencatan senjata segera dan berterusan, jaminan keselamatan yang bermakna untuk pekerja kemanusiaan, dan penamatan sekatan yang tidak berperikemanusiaan, untuk memastikan orang ramai menerima bantuan menyelamatkan nyawa.

 

Rakyat di Gaza tidak dapat menanggung lebih banyak penderitaan. Rasa selamat buat mereka ibarat sudah hilang, sama ada kerana berterusan diancam mati akibat dibom pada waktu malam atau ketidakpastian untuk mereka terus mendapatkan makanan atau minuman.
Lisa Macheiner, Penyelaras Projek

Sudikah anda menyokong tugas tindak balas kecemasan kami?

Bantu kami menyediakan penjagaan kesihatan yang menyelamatkan nyawa ketika kecemasan dengan melakukan sumbangan hari ini.