Skip to main content

Gabungan Time for Five lancar petisyen global sasar pembuat ujian perubatan Cepheid dan syarikat induk Danaher

Time for $5 banner

Washington, DC, 22 Mac 2024 - Menjelang Hari Tuberkulosis (TB) Sedunia, organisasi kemanusiaan perubatan antarabangsa Doctors Without Borders melakukan bantahan bersama-sama aktivis kesihatan global lain di luar ibu pejabat syarikat AS Danaher, pemilik syarikat pembuat diagnostik Cepheid, menuntut mereka menurunkan harga kepada AS$5 bagi semua ujian perubatan 'GeneXpert' yang dijual mereka di negara berpendapatan rendah dan sederhana, untuk penyakit seperti , HIV, hepatitis, jangkitan seksual (STI) dan Ebola. Pengujian adalah langkah pertama untuk memastikan pesakit mendapatkan rawatan yang mereka perlukan dan mencegah jangkitan lanjut penyakit berjangkit. Protes itu serentak dengan pelancaran petisyen global yang menyasarkan Cepheid dan Danaher. Gabungan 'The Time for Five' terdiri daripada 150 organisasi di seluruh dunia, termasuk Doctors Without Borders, Partners in Helath dan Treatment Action Group.

"Kami di sini untuk menuntut penamatan amalan mengaut untung dalam ujian perubatan yang menyelamatkan nyawa," kata Hanna Darroll, Pegawai Kempen Kesihatan Global untuk Doctors Without Borders Amerika Syarikat.

“Danaher dan Cepheid mendapat manfaat daripada sekurang-kurangnya $252 juta pembiayaan awam untuk membangunkan ujian ini, namun mereka kemudian berpaling dan mengenakan harga terlalu tinggi, bermakna jutaan orang di negara berpendapatan rendah dan sederhana tidak berupaya untuk didiagnos dengan betul dan ditawarkan rawatan yang mereka perlukan untuk terus hidup. Penyelidikan kami menunjukkan Danaher boleh mengenakan bayaran $5 bagi setiap ujian dan masih memperoleh keuntungan besar, jadi kami di sini untuk memberitahu Cepheid dan Danaher: sudah tiba masanya untuk lima!”

Doctors Without Borders menerbitkan kajian pada 2019 menganggarkan setiap kartrij ujian GeneXpert boleh dijual dengan untung pada harga $5 berdasarkan jumlah jualan yang sekian lama dicapai Cepheid dan Danaher. Sebagai tindak balas kepada tekanan diberikan gabungan Time for Five dan aktivis TB dalam talian pada September 2023, Danaher mengumumkan ia akan menurunkan harga ujian utama yang digunakan untuk mendiagnosis TB daripada $10 kepada $8, satu langkah pertama yang penting. Ia juga mengumumkan akan melakukan pengesahan kos pengeluaran sebenar setiap tahun oleh pihak ketiga yang diiktiraf antarabangsa dan menyesuaikan harga sewajarnya, namun butiran mengenainya belum diperoleh. Menurut Dana Global, pengurangan harga itu dijangka menghasilkan penjimatan tahunan sebanyak $32 juta, membolehkan pembelian tambahan 3.6 juta ujian setiap tahun. Ini bermakna ramai lagi penghidap TB akan menerima diagnosis dan rawatan tepat pada masanya, sekali gus membolehkan lebih banyak nyawa diselamatkan. Namun Cepheid dan Danaher terus mengenakan bayaran antara $15 dan $20 untuk jenis ujian sama yang digunakan untuk mendiagnosis bentuk TB paling membawa maut, TB yang rintang dadah lanjutan ($15), HIV ($15), hepatitis ($15), STI ($16-$19) dan Ebola ($20). Harga ini 200% hingga 400% lebih tinggi berbanding $5 anggaran kos ditanggung Cepheid dan Danaher untuk menghasilkan satu ujian.

Cepheid-public-funding_ENG

"Adalah tidak wajar Danaher menjana pendapatan berpuluh-puluh bilion setiap tahun, termasuk daripada hasil jualan GeneXpert, ketika mereka yang memerlukan ujian ini untuk didiagnosis dan memulakan rawatan yang betul tidak boleh mengaksesnya kerana harganya terlalu mahal," kata Saloni Fruehauf, Pengurus Kempen untuk Kempen Akses Doctors Without Borders. “Ramai antara kita masih ingat bagaimana ketika pandemik COVID tidak dapat mengakses ujian perubatan kritikal untuk mengetahui sama ada kita sudah dijangkiti, atau kita boleh meneruskan kerja atau aktiviti, dan perasaan ini cukup mengerikan. Kami menyeru semua penyokong kami dan sesiapa sahaja yang ingin menghentikan amalan mengaut untung yang membawa maut ini supaya menandatangani petisyen kami dan menyertai gesaan kami kepada syarikat terbabit untuk melakukan perkara yang betul dan menjadikan semua ujian ini $5 untuk negara berpendapatan rendah dan sederhana.”

GeneXpert adalah ujian kritikal yang digunakan untuk mendiagnosis penyakit di 'peringkat penjagaan,' bermaksud berdekatan dengan tempat tinggal orang ramai dan di lokasi yang selalunya makmal tidak tersedia. Ia digunakan untuk mendiagnosis HIV pada bayi baru lahir yang terdedah kepada virus berkenaan, namun hari ini, separuh daripada bayi ini tidak diuji dengan ujian yang disyorkan WHO seperti GeneXpert. Ujian ini juga digunakan untuk mendiagnosis virus hepatitis C, yang sangat penting sekarang kerana terdapat penawar untuk mereka yang didiagnosis. GeneXpert juga digunakan untuk mendiagnosis pelbagai STI dan Ebola. Untuk TB dan bentuk rintang dadahnya (DR-TB), GeneXpert sangat berkesan, walaupun masih terlalu sedikit yang mempunyai akses.

Tuberculosis in Tondo, Manila, Philippines, March 2023 © Ria Kristina Torrente

Tony, 69, menyahkuman tangannya menggunakan cecair pembasmi kuman selepas menyerahkan sampel kahaknya di tapak saringan TB mudah alih Doctors Without Borders di gelanggang berbumbung Barangay 133 di Tondo, Manila, Filipina, Mac 2023. © Ria Kristina Torrente

“Ujian GeneXpert adalah revolusi yang berkesan untuk DR-TB, kerana ia boleh memberikan anda keputusan dalam beberapa jam berbanding kebiasaan yang mengambil masa sehingga tiga bulan kerana kami terpaksa menghantar sampel ke makmal wilayah yang jauh dan menunggu mereka untuk membiak bakteria, ” kata Dr Muhammad Shoaib, Penyelaras Perubatan untuk Doctors Without Borders di Pakistan. “Tidak ramai yang mempunyai akses kepada ujian GeneXpert dan harga tinggi merupakan faktor utama – di Pakistan, kami mempunyai anggaran 15,000 kes DR-TB setiap tahun, namun hanya 3,500 kes didaftarkan, menunjukkan terdapat jurang besar antara bilangan yang memerlukan ujian ini dan berapa ramai yang benar-benar menerimanya. Dengan pembiayaan untuk TB yang merosot, kami sangat memerlukan lebih banyak ujian yang mampu dibayar.”

62% penghidap TB yang dimaklumkan kepada WHO pada 2022 tidak dapat mengakses ujian diagnostik molekul pantas yang disyorkan WHO seperti GeneXpert, sebaliknya didiagnosis menggunakan penilaian kahak menggunakan mikroskop, satu teknik yang berusia lebih 100 tahun, atau hanya berdasarkan penilaian gejala klinikal tanpa sebarang ujian.

"Sebelum datang ke klinik kami, seorang budak lelaki berusia 11 tahun dengan DR-TB didiagnosis secara salah dan dirawat dua kali dalam empat tahun, namun tidak pernah sihat," kata Dr. Shoaib. “Sebaik sahaja dia datang kepada kami, kami dapat memberinya ujian yang betul dan memberikannya rawatan yang berkesan serta-merta, dan kini dia kembali ke sekolah. Sebagai seorang doktor, sangat penting untuk dapat mendiagnosis orang, termasuk kanak-kanak, dan menawarkan mereka rawatan TB yang betul dengan cepat, demi kesihatan mereka sendiri, dan juga untuk mencegah TB merebak kepada orang yang rapat dengan mereka."

Doctors Without Borders membeli ujian GeneXpert bernilai lebih $2 juta setiap tahun untuk digunakan dalam program perubatannya di sekitar 70 negara.