Tentera dan peneroka Israel meningkatkan keganasan ke atas rakyat Palestin di Tebing Barat
Foto masjid yang musnah di kem pelarian Jenin, akibat serangan udara pada 22 Oktober yang mengorbankan dua rakyat Palestin. Palestin, 25 Oktober 2023. © Faris Al-Jawad/MSF
Jam menunjukkan 2.30 pagi dan para doktor sedang berkumpul di luar pintu masuk hospital Jenin di Tebing Barat di wilayah Palestin yang diduduki. Gema tembakan sedikit reda diikuti suara lelaki menjerit dan seretan tayar ketika beca roda tiga, atau tuk-tuk, membelok ke pintu pagar hospital. Tidak lama kemudian, mayat berdarah mula kelihatan terkumpul di atasnya.
Susuk lelaki muda dengan lubang peluru pada perut dan bawah paha mereka dibaringkan di atas pengusung dan ditolak ke bilik kecemasan, di mana mereka diperiksa, dibalut dan dikejarkan ke dewan bedah.
""Kebanyakan pesakit yang kami terima ditembak pada bahagian perut dan kaki. Sesetengahnya hancur pada hati dan limpa manakala yang lain mengalami kecederaan vaskular yang teruk. Kami mempunyai satu kes yang sangat menyedihkan mengenai seorang lelaki yang berjalan di luar pintu masuk hospital ketika dia ditembak di kepala oleh penembak tepat. Keganasan berterusan dan kebanyakan pesakit yang kami terima mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.
-- Dr Pedro Serrano, doktor unit rawatan rapi Doctors Without Borders
Sejak perang membawa maut meletus di Gaza pada 7 Oktober, keganasan berlebihan berlaku di seluruh Tebing Barat. Di Jenin, doktor kecemasan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) dipanggil ke hospital awam hampir setiap malam, ketika Israel melakukan pencerobohan dengan kereta kebal dan tentera darat menyerang bandar itu. Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, tentera Israel membunuh 30 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 162 lagi di Jenin City sahaja sepanjang bulan lalu.
Paramedik tempatan di kem pelarian Jenin perlu menggunakan tuk-tuk, yang didermakan oleh Doctors Without Borders, untuk menyelinap melalui lorong-lorong sempit kem untuk mengumpulkan mangsa yang cedera. Tentera Israel sering menghalang pintu masuk kem, menjadikannya hampir mustahil untuk ambulans masuk dan keluar dengan mangsa yang cedera parah tepat pada masanya untuk menyelamatkan nyawa mereka.
Di luar hospital, sebuah ambulans yang berlubang ditembusi peluru dikelilingi oleh sekumpulan paramedik dengan pandangan kelu ke arah malam yang sibuk. Seorang daripadanya berkata mereka ditembak ketika cuba untuk sampai kepada orang yang cedera di kem, memaksa mereka mengosongkan ambulans dan berlindung di atas tanah selama 20 minit sehingga tentera Israel pergi.
Kesan kemusnahan boleh dilihat bukan hanya melalui mereka yang cedera akibat tembakan dan serpihan di hospital Jenin, namun juga pada bandar itu sendiri, di mana infrastruktur dan bangunan simbolik Palestin dirobek dan dimusnahkan jentolak serta kereta kebal.
Pencerobohan dan insiden ganas bukanlah unik bagi Jenin. Di seberang Tebing Barat, 165 rakyat Palestin terbunuh sejak 7 Oktober dan lebih 2,400 cedera, menurut pihak berkuasa Palestin.
Di samping itu, seramai 6,000 warga Gaza yang mempunyai pekerjaan di Israel sebelum perang, tetapi permit kerja mereka telah dibatalkan, kini mendapati diri mereka tinggal di pusat perpindahan di seluruh Tebing Barat, menurut Kementerian Buruh Palestin.
Pasukan Doctors Without Borders mengunjungi pusat perpindahan ini untuk menderma bekalan perubatan, termasuk ubat untuk penyakit tidak berjangkit, serta menawarkan sokongan kesihatan mental. Sesetengah pesakit memberitahu kakitangan Doctors Without Borders bahawa mereka dipukul, dihina dan didera semasa ditahan tentera Israel dalam beberapa minggu sejak 7 Oktober.
“Kami merawat beberapa pesakit yang menunjukkan tanda-tanda diikat dan dipukul, dilaporkan dilakukan tentera Israel. Mereka melaporkan diseksa selama beberapa jam sebelum ditinggalkan di sempadan Tebing Barat.””
-- Yanis Anagnostou, Doctors Without Borders pengurus aktiviti kesihatan mental Doctors Without Borders di Jenin
Pakaian dipenuhi darah dan muka surat yang ditanda untuk kerja rumah dibentangkan di kawasan di mana serangan udara dilapor mengorbankan dua kanak-kanak, dua dewasa dan sekitar dua dozen yang lain cedera parah di kem pelarian Jenin. Palestin, 25 Oktober 2023. © MSF/Faris Al-Jawad
Keganasan dan pemindahan secara paksa
Di pentadbiran Hebron, di selatan Tebing Barat, keganasan membabitkan tentera dan peneroka Israel, pemindahan secara paksa dan sekatan ke atas pergerakan rakyat memberi kesan kepada setiap aspek kehidupan seharian rakyat Palestin. Penduduk tempatan memaklumkan pasukan Doctors Without Borders, yang sudah bekerja di kawasan itu sejak 2001, bagaimana mereka berasa tidak selamat walaupun berjalan di kejiranan sendiri serta bagaimana akses mereka kepada perkhidmatan asas, termasuk pasar makanan dan penjagaan kesihatan, sangat terhad.
Sejak 7 Oktober, sekurang-kurangnya 111 keluarga Palestin, terdiri kira-kira 905 orang, tidak mempunyai pilihan selain meninggalkan kediaman mereka di Tebing Barat kerana keganasan dan ugutan oleh tentera dan peneroka Israel, menurut PBB.
Di Bukit Hebron Selatan, dalam kalangan berdozen keluarga yang dipindahkan dari rumah mereka, dua daripadanya terpaksa meninggalkan rumah selepas peneroka membakar kediaman mereka, mencuri panel solar dan tong air, serta memotong paip air. Pasukan kami bertindak balas dengan menyediakan penjagaan kesihatan mental dan kit perpindahan kepada mereka yang terjejas.
Pasukan Doctors Without Borders yang berpangkalan di Hebron juga menyediakan barangan bantuan penting untuk beberapa keluarga , termasuk selimut, tilam dan pemanas, serta menawarkan sokongan kesihatan mental kepada mereka yang terdedah kepada keganasan atau dipindahkan secara paksa dari rumah mereka.
"Seorang wanita, yang rumahnya dibakar, memberitahu saya betapa dia masih rasa tidak selamat, takut dan tidak aman. Dia memberitahu saya: 'Saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkan tanah atau rumah saya seperti ini, tetapi saya tidak boleh mempertaruhkan anak-anak saya dan keluarga saya. Saya tidak nampak masa depan, saya berasa tidak berdaya dan tidak kuat. Ini adalah tindak balas yang benar-benar normal terhadap keadaan luar biasa seperti itu, di mana orang ramai berdepan keganasan dan rasa tidak selamat yang teruk.""
-- Mariam Qabas, penyelia penganjur kesihatan Doctors Without Borders di Hebron
Doctors Without Borders menggesa pihak berkuasa Israel untuk memastikan kawalan di Tebing Barat, untuk menamatkan keganasan dan pemindahan paksa rakyat Palestin serta untuk berhenti melaksanakan langkah-langkah sekatan yang menghalang keupayaan rakyat Palestin untuk mengakses perkhidmatan asas, termasuk rawatan perubatan.
Ketika pengeboman dan hukuman kolektif terhadap penduduk di Gaza berterusan tanpa henti, serta pelanggaran undang-undang dan pertumpahan darah melimpah ke Tebing Barat, keperluan untuk gencatan senjata dan perdamaian kemanusiaan menjadi semakin terdesak berbanding sebelum ini.
Zouhir, seperti kebanyakan penduduk Gaza lain yang berpindah ke Tebing Barat, mengikuti apa yang berlaku di Gaza dari dewan sukan yang sesak di Jenin, tempat di mana dia dan ratusan pekerja lain yang dipindahkan tidur.
“Hari ini, penderitaan kami ialah kami berjauhan dengan anak-anak dan keluarga kami. Kami bercakap dengan anak-anak kami di Gaza dan kami menangis. Saya harap mereka akan menghantar saya kembali ke Gaza, di mana anak dan cucu saya berada. Penderitaan kami ialah kami tidak berdaya, dan kami tidak boleh berbuat apa-apa.
-- Zouhir, penduduk Gaza yang terpaksa berpindah ke seberang Tebing Barat