Ribuan terpaksa melarikan diri ketika serangan tentera Israel semakin hebat dan bantuan disekat di Rafah
Sudah tujuh bulan sejak perang ini bermula. Pejabat Doctors Without Borders terletak dalam runtuhan. © MSF
JERUSALEM/BARCELONA/PARIS/BRUSSELS, 8 Mei 2024 – Tentera Israel telah memulakan serangan ke atas Rafah dan merampas kawalan sempadan, secara efektif memutuskan penghantaran bantuan menyelamatkan nyawa ke Semenanjung Gaza. Ketika ribuan rakyat Palestin terpaksa melarikan diri dari timur Rafah berikutan perintah pemindahan Israel baru-baru ini, organisasi kemanusiaan perubatan antarabangsa Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) menyeru kepada perlindungan orang awam dan pembukaan semula lintasan sempadan Rafah.
Penutupan pintu masuk utama ke Gaza ini menjejaskan tindak balas kemanusiaan, menyebabkan stok termasuk bahan api, makanan, ubat-ubatan, serta air tersangat rendah, dan orang ramai terperangkap di tengah-tengah pertempuran baharu.
“Lintasan Rafah, pusat akses kemanusiaan penting, ditutup sepenuhnya sehingga diberitahu kelak. Ini akan mendatangkan impak yang dahsyat, kerana bantuan yang datang melalui lintasan ini adalah talian hayat untuk seluruh Semenanjung Gaza,” kata Aurelie Godard, Ketua Pasukan Perubatan di Gaza.
"Selepas tujuh bulan perang, yang memaksa 1.7 juta orang meninggalkan rumah mereka, keputusan untuk menutup lintasan ini memburukkan lagi keadaan hidup yang sudah sedia teruk bagi mereka yang terperangkap di Gaza.”Aurelie Godard, Ketua Pasukan Perubatan
Pada 6 Mei, tentera Israel mengarahkan 100,000 penduduk di timur Rafah untuk berpindah ke Al Mawasi, zon antara barat Rafah dan Khan Younis, di mana tempat perlindungan dan sumber juga amat terhad. Rafah sebelum ini ditetapkan oleh tentera Israel sebagai zon selamat untuk orang awam.
"Mereka ini sekali lagi dipindahkan secara paksa, bergerak dari khemah sementara ke tempat lain tanpa tempat tinggal, makanan, air dan rawatan perubatan yang mencukupi," kata Godard. "Mereka berisiko untuk jatuh lebih jauh ke dalam jurang bencana kemanusiaan besar-besaran yang sudah mencapai tahap mimpi ngeri."
Serangan dan perintah pemindahan mengurangkan lagi akses kepada penjagaan kesihatan dalam sistem kesihatan yang sudah sedia musnah, menyebabkan orang ramai hampir tiada pilihan meskipun untuk mendapatkan rawatan perubatan asas.
Awal minggu ini, kakitangan perubatan dan pesakit terpaksa dipindahkan dari Hospital Al-Najjar, manakala Hospital Gaza Eropah (EGH) tidak lagi boleh diakses. Walaupun kami masih menjalankan aktiviti di Hospital Lapangan Indonesian Rafah pada peringkat ini, di mana kami menyokong penyediaan penjagaan selepas pembedahan, pasukan kami telah mula membenarkan pesakit yang memenuhi kriteria diperlukan untuk keluar. Kami juga menangguhkan aktiviti kami di Klinik Al-Shaboura sehingga diberitahu kelak.
"Terpaksa menangguhkan aktiviti pusat kesihatan di mana pasukan kami menjalankan 8,269 konsultasi hanya pada April, atau sebagai contoh melakukan 344 rawatan pembalutan perubatan minggu lalu, adalah malapetaka. Di manakah wanita hamil, kanak-kanak, penghidap penyakit kronik akan mendapatkan penjagaan dan meneruskan rawatan di tempat yang musnah seperti Gaza? Tidak lupa kesannya terhadap kesihatan mental; sebelum penutupan kami menawarkan lebih 130 konsultasi kesihatan mental individu seminggu, dan angka ini hanya meningkat sejak beberapa minggu lalu."Paulo Milanesio, Penyelaras Kecemasan
Doctors Without Borders juga menyerahkan aktivitinya di Hospital Emirati kepada Kementerian Kesihatan (8 Mei) dan memindahkan kakitangan ke Hospital Nasser untuk terus menyokong perkhidmatan materniti di kawasan yang lebih selamat.
"Ini menjadikan bilangan kemudahan penjagaan kesihatan yang terpaksa kami tinggalkan di Gaza kepada 11, dalam masa tujuh bulan sahaja, yang menjadi bukti menunjukkan kekejaman dan pelanggaran undang-undang perang ini," kata Milanesio.
Sejak permulaan perang ini, Doctors Without Borders telah melihat corak serangan sistematik terhadap kemudahan perubatan dan infrastruktur awam. Sistem kesihatan di Gaza sedang dihancurkan ketika mana keperluan terhadapnya memuncak, mendatangkan akibat yang memusnahkan kepada rakyat Palestin.
Kami mengulangi gesaan kami ke arah gencatan senjata segera dan berterusan untuk menghentikan kematian dan kemusnahan selanjutnya di Gaza dan membenarkan bantuan menyelamatkan nyawa mengalir ke dalam kawasan terkepung ini.
Will you support our emergency response work?
Help us provide lifesaving medical care during emergencies by making a donation today.