Skip to main content

Pelarian Yang Memberi Inspirasi Berkongsi Pengalaman Positif Hidup di Malaysia Di Sebalik Pelbagai Cabaran

refugees talk about positive experience in malaysia

Suara Mereka Yang Bertahan: Empat pelarian berani ini berkongsi kisah hidup serta harapan mereka, mendedahkan mengenai cabaran dan kejayaan hidup di Malaysia

Kisah mereka mempamerkan ketabahan dan kekuatan mereka yang luar biasa, serta bagaimana kebaikan masyarakat tempatan di Malaysia membantu mereka mengharungi detik-detik yang sukar. 

Abu Bakkar

Abu Bakkar, seorang pelarian Rohingya berusia 36 tahun dari Myanmar, berkongsi perjalanannya serta kesukaran dihadapi sebaik tiba di Malaysia pada 2013. Dia memaklumkan beberapa bulan pertama cukup sukar kerana tidak dapat mencari tempat untuk mendapatkan barangan keperluan selain membiasakan diri dengan budaya yang berbeza. Namun, dengan bantuan masyarakat setempat, Abu Bakkar berjaya mengatasi cabaran itu. 

"Akhirnya, saya perlahan-lahan menjadi jiran yang baik dengan masyarakat di mana saya tinggal. Masyarakat setempat sangat membantu. Mereka menyediakan makanan dan ia cukup baik," katanya. 

Katanya, dia tidak memilih untuk menjadi pelarian, namun keadaannya memaksa dirinya menjadi begitu. “Bagi saya, saya datang ke sini untuk menyelamatkan nyawa saya. Di Myanmar, kami bukanlah keluarga yang miskin. Kami mempunyai perniagaan, kerja dan rumah. Apa yang saya mahukan ialah kembali ke tanah air saya dan bersatu semula dengan keluarga saya.” 

Buat masa sekarang, dia hanya mampu berangan membayangkan hari di mana dia dapat pulang kembali. 

Abu Bakkar
Jika saya kembali ke Myanmar, saya tidak akan hidup. Saya datang ke sini untuk berlindung dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia – mereka orang yang baik hati.
 Abu Bakkar, pelarian Rohingya

Hajrah

Hajrah, seorang remaja berusia 19 tahun, pelarian yang dilahirkan pasangan Rohingya di Malaysia, berkongsi kisah keluarganya bertahan. 

"Keluarga saya sudah berada di Malaysia selama 30 tahun. Kami meninggalkan Myanmar disebabkan konflik," katanya yang fasih berbahasa Malaysia ketika berkongsi kisahnya. 

Hajrah menghadapi pelbagai kesukaran, termasuk penceraian ibu bapanya dan masalah kewangan. Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana jirannya di Malaysia bermurah hati. 

Hajrah
Suatu hari, jiran saya iaitu seorang mak cik (wanita berusia) memaklumkan dia sanggup membayarkan sewa kami yang tertunggak lima hingga enam bulan ketika itu. Saya sangat bersyukur. Saya tidak akan melupakan kebaikannya.
 Hajrah, pelarian Rohingya

Dia berkata keluarganya tidak mampu untuk membayar sewa bulanan RM300 (sekitar AS$ 65) ketika itu. Satu lagi detik menggembirakan apabila -jiran menawarkan untuk membeli baju raya dan kasut ketika perayaan. "Ia paling bahagia bagi saya dan saya tidak akan melupakannya," katanya. 

Muhib

Muhib, yang baharu tiba di Malaysia 10 tahun lalu, berkongsi pengalamannya sebagai pelarian yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar. 

Mengimbas kehidupan baharunya, Muhib berkata, "Kami, pelarian, melalui hari-hari dan hidup kami di sini. Ada orang jahat, tetapi ada juga orang baik yang membantu kami." 

Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan akses kepada pelbagai hak yang terhad, Muhib menzahirkan rasa terima kasih kepada Malaysia. 

Muhib
Inilah negara di mana saya berlindung. Saya berterima kasih kepada rakyat di negara ini. Mereka orang yang baik.
 Muhib, pelarian Rohingya

Muhib mengimbau kemuncak penularan wabak COVID-19 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Malaysia, suatu yang cukup baik apabila makanan turut diagihkan penduduk tempatan untuk membantu etnik Rohingya yang tinggal di kawasannya. 

Di sebalik pengalaman positif itu, Muhib menggesa pelarian lain yang melarikan diri supaya tidak ke Malaysia berikutan kesukaran mendapatkan penjagaan asas. Katanya dia sendiri memahami mengapa sesetengah orang mungkin tidak sukakan mereka. “Menetap di sini sehari dua, boleh diterima. Namun jika dua atau tiga hari, kemudian empat hari, lima hari, sebulan, tiga bulan, setahun dan kemudian 10 tahun, sudah tentu saya sendiri tidak akan menyukainya,” katanya. 

“Jika saya orang tempatan, saya akan turut merasakan perkara sama -- mengapa kamu menyusahkan negara saya, mengapa kamu menjadi beban kepada negara saya? Malangnya, kami tiada pilihan,” katanya sambil menegaskan kedatangannya ke Malaysia demi menyelamatkan nyawanya. 

Shehnaz

Shehnaz, yang tiba di Malaysia pada 2015, berkongsi pengalamannya sebagai pelarian yang sedikit berbeza kerana memasuki negara ini melalui penerbangan antarabangsa dan bukannya menggunakan bot seperti kebanyakan pelarian Rohingya lain. 

“Saya dilahirkan dan dibesarkan di Rakhine, Myanmar. Saya datang ke Malaysia pada 2015. Pada mulanya, saya terpaksa meninggalkan Myanmar dan datang ke Bangladesh. Saya berada di sana sembilan bulan di mana saya menyediakan semua dokumentasi diperlukan untuk ke Malaysia,” katanya. 

Shehnaz memberi galakan kepada pelarian untuk terus berkongsi pengalaman hidup mereka memandangan ia penting untuk mewujudkan kesedaran tentang pelarian dalam kalangan masyarakat setempat.

Wanita berusia 25 tahun itu berkata, dia banyak berbicara dengan penduduk tempatan yang menganggap Rohingya sebagai sebuah negara dan bukannya kumpulan etnik. Dia berkongsi bagaimana tanggapan salah boleh ditangani melalui dialog terbuka. 

Shehnaz
Saya tidak boleh menyalahkan penduduk tempatan jika mereka tidak tahu mengenai kami. Namun saya menggesa supaya anda membuka hati dan minda untuk mengenali kami.
 Shehnaz, pelarian Rohingya

Dia menekankan kepentingan kebaikan dan kesedaran, kerana boleh menyumbang kehidupan yang lebih mudah dan lebih aman buat pelarian. 

 

Di Malaysia, Doctors Without Borders menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang penting, termasuk penjagaan kesihatan primer, sokongan kesihatan mental, dan tindak balas terhadap keganasan seksual dan berasaskan jantina untuk pelarian dan pencari suaka sejak 2015. Pada 2018, Doctors Without Borders menubuhkan klinik tetap di Butterworth, yang membantu 900 hingga 1,000 pesakit setiap bulan. Doctors Without Borders juga menjalankan klinik kesihatan bergerak di Pulau Pinang serta pelbagai aktiviti di pusat tahanan. 

 

Categories