Penting memastikan bot membawa pelarian Rohingya selamat mendarat demi mengelak kehilangan nyawa
Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) menyedari satu atau lebih kapal yang membawa kira-kira 160 pelarian, kemungkinan besar Rohingya, terapung di laut berhampiran perairan Malaysia. Ramai di atas kapal dilapor meninggal dunia akibat kekurangan makanan atau air. Walaupun MSF tidak mempunyai maklumat mengenai keperluan kesihatan khusus mereka di atas kapal, kemungkinan besar penyediaan bantuan perubatan yang menyelamatkan nyawa akan diperlukan kerana kematian telah pun dilaporkan.
MSF menggesa Kerajaan Malaysia yang baharu untuk segera membenarkan pendaratan selamat pelarian yang menderita kesan krisis kemanusiaan serantau dan melarikan diri untuk mencari keselamatan. Selepas mendarat, perlindungan pelarian, serta akses kepada penjagaan kesihatan dan perkhidmatan sokongan lain mesti dijamin.
Pendaratan selamat menghalang kehilangan nyawa Rohingya yang sedia terancam dengan pelbagai kesan trauma, konflik dan diskriminasi akibat penafian kewarganegaraan di Myanmar selama beberapa dekad. Selain itu, Rohingya diancam keganasan yang menyasarkan mereka di Myanmar dan di negara suaka lain.
MSF juga menyeru kerajaan di rantau ini untuk menunjukkan solidariti bersama Rohingya, memperhebatkan usaha menangani krisis pelarian di tempat asalnya supaya Rohingya tidak perlu mempertaruhkan nyawa mereka untuk mendapatkan perlindungan di tempat lain. Dalam pada itu, masyarakat Rohingya dan pelarian lain harus dibenarkan hidup dalam keadaan selamat dan bermaruah di negara suaka termasuk Malaysia sehingga kemelut itu selesai.
Gesaan Malaysia untuk bertindak terhadap krisis di Myanmar cukup membina dan amat diperlukan. Selaku warga MSF, kami berada di Myanmar dan menyaksikan penganiayaan berterusan terhadap Rohingya yang masih di Rakhine. Inilah punca krisis dan sehingga ia ditangani, orang ramai perlu diberi peluang untuk mendapatkan perlindungan di Malaysia dan negara lain di rantau ini. MSF bersedia menyokong Kerajaan Malaysia melalui pendaratan selamat dan akses kepada penjagaan kesihatan. DDirk van der Tak, Ketua Misi