Skip to main content

Malaysia: Kekurangan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan ibu meletakkan pelarian wanita dalam risiko

Women from the Rohingya community in Malasysia registering at the triage area of Doctors Without Borders clinic in Butterworth, Penang. Malaysia, 2022. © Kit Chan

Wanita dari komuniti Rohingya di Malaysia, salah seorang daripada mereka mengandung, mendaftar di kawasan triage klinik Doktor Tanpa Sempadan di Butterworth, Pulau Pinang. Malaysia, 2022. © Kit Chan

Menurut kajian Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada 2019, kadar kematian ibu dalam kalangan pelarian di Malaysia dianggarkan 62 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup, jauh lebih tinggi daripada purata kebangsaan iaitu 36 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup.

Kajian sama mendapati punca utama kematian ibu bersalin dalam kalangan pelarian di Malaysia ialah pendarahan selepas bersalin dan gangguan hipertensi. Yang membimbangkan, tiada data terkini tersedia sejak 2019, dan daripada apa kami saksikan di klinik kami, tidak ada sebab untuk mempercayai keadaan dalam kalangan kumpulan ini bertambah baik.

 

Tiada status perundangan mengehadkan akses kepada penjagaan kesihatan

Malaysia tidak menandatangan Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mempunyai undang-undang domestik yang mengiktiraf serta melindungi pelarian. Ini bermakna pelarian tidak mempunyai status undang-undang di negara ini, yang mengehadkan akses mereka kepada penjagaan kesihatan, pekerjaan dan pendidikan.

Pelarian yang berdaftar dengan UNHCR Malaysia mendapat diskaun 50 peratus kadar warga asing dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan awam, namun kebanyakan pelarian masih tidak mampu, walaupun dikurangkan, bayaran tinggi.

Mengakses kemudahan kesihatan swasta menelan belanja antara RM100 dan RM500 (kira-kira €21 dan €105) untuk pemeriksaan antenatal atau selepas bersalin, manakala kelahiran dan penjagaan obstetrik kecemasan boleh menelan belanja ribuan ringgit di kemudahan kerajaan dan swasta.

Nur**, seorang wanita Rohingya yang merupakan pelarian di Malaysia mengandung anak keduanya, berkongsi bahawa dia tidak mampu membayar penjagaan kesihatan ibu di kemudahan penjagaan kesihatan swasta atau awam, kerana ia terlalu mahal.

“Dengan pendapatan suami saya, sewa dan perbelanjaan keluarga hampir sekadar cukup makan. Jika kami menempah pemeriksaan antenatal di klinik swasta, kami mungkin membelanjakan sehingga MYR 600 (kira-kira €130),” katanya.

Ancaman penangkapan dan penahanan apabila mendapatkan penjagaan kesihatan

Tambahan pula, Pekeliling Kementerian Kesihatan 10/2001 menghendaki penyedia penjagaan kesihatan melaporkan pendatang tanpa izin, termasuk pelarian dan pencari suaka, kepada polis atau perkhidmatan imigresen. Oleh itu, pelarian yang tidak mempunyai dokumentasi UNHCR berisiko menerima ancaman penangkapan dan penahanan apabila mendapatkan rawatan di kemudahan penjagaan perubatan awam, terutamanya apabila mereka tidak mampu membayar kos perubatan, mengundang ketakutan dan ketidakpercayaan terhadap kakitangan penjagaan kesihatan awam.

Halangan selanjutnya dihadapi pelarian untuk mendapatkan penjagaan kesihatan ibu adalah kurangnya kesedaran kesihatan serta kekangan bahasa yang menghalang ramai pelarian wanita hamil daripada mendapatkan penjagaan kesihatan ibu, sehingga melepasi tempoh kehamilan penuh atau tidak sama sekali.

Bagi menangani keperluan pelarian dan pencari suaka di Malaysia, Doctors Without Borders/ Médecins Sans Frontières (MSF) menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer dan kesihatan mental percuma melalui kliniknya di Butterworth, klinik bergeraknya di Pulau Pinang dan dalam aktivitinya di pusat tahanan imigresen.

A Rohingya woman who is six months pregnant is examined by triage nurse at Doctors Without Borders clinic in Butterworth, Penang. Malaysia, 2022. © Kit Chan

Seorang wanita Rohingya yang hamil enam bulan diperiksa oleh jururawat triage di klinik Doktor Tanpa Sempadan di Butterworth, Pulau Pinang, sebagai sebahagian daripada pemeriksaan perubatan pranatal pertamanya. Malaysia, 2022. © Kit Chan

Sokongan MSF support kepada pelarian di Malaysia

MSF merujuk pesakit kepada penjagaan kesihatan menengah dan tertiari dan menyokong peningkatan bilangan mangsa keganasan berasaskan seksual dan jantina, termasuk mangsa penyeludupan manusia, sama ada wanita atau lelaki. Pada 2022, pasukan MSF di Malaysia, telah mengendalikan 4,081 konsultasi penjagaan kesihatan seksual dan reproduktif, termasuk antenatal, penjagaan selepas bersalin dan perancangan keluarga, di kliniknya di Pulau Pinang.

MSF juga merujuk pesakit pelarian tidak berdaftar dengan keperluan perubatan atau perlindungan yang lebih tinggi kepada UNHCR supaya pendaftaran dipercepatkan bagi memudahkan akses mereka kepada penjagaan kesihatan.

Bilangan konsultasi kesihatan seksual dan reproduktif dijalankan kakitangan klinik MSF meningkat dua kali ganda daripada 200 sebulan pada awal 2022 kepada kira-kira 500 konsultasi setiap bulan menjelang akhir tahun. Ini boleh menjadi petunjuk kesedaran lebih tinggi terhadap perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif ditawarkan MSF dalam kalangan pelarian wanita, malah ia juga bermakna keperluan untuk akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan ibu yang mencukupi untuk wanita pelarian terus meningkat.
Dirk van der Tak, ketua misi MSFMalaysia

Khidmat penjagaan kesihatan perlu lebih inklusif untuk pelarian.

“Kami masih menerima bilangan konsultasi untuk tempoh kehamilan lewat yang tinggi di klinik kami. Selain itu, pada suku pertama 2023, kira-kira 15 peratus daripada konsultasi kami adalah berkaitan kehamilan remaja, yang terus menjadi kebimbangan kerana ibu remaja lebih berisiko mendapat komplikasi seperti eklampsia (tekanan darah tinggi yang mengancam nyawa semasa kehamilan), anemia atau peningkatan risiko kesan buruk seperti kelahiran pramatang atau kelahiran mati. Kami tahu bilangan gadis yang kami jumpa di klinik mungkin hanya sebahagian kecil daripada mereka yang memerlukan perkhidmatan.”

Walaupun bilangan konsultasi antenatal meningkat di klinik MSF, ia hanya sebilangan kecil wanita yang mengakses perkhidmatan yang mereka perlukan, berbanding keperluan kesihatan reproduktif keseluruhan bagi semua pelarian di negara ini.

Terdapat 183,790 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia setakat akhir Januari 2023, termasuk 34 peratus wanita. Ramai lagi pelarian dalam komuniti sedang bergelut untuk mengakses penjagaan kesihatan asas. Oleh itu, perkhidmatan penjagaan kesihatan harus dipastikan lebih inklusif untuk pelarian bagi memastikan mereka mendapat akses kepada penjagaan kesihatan ibu yang selamat, mencukupi dan berpatutan
Dirk van der Tak, ketua misi MSFMalaysia

Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) telah menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan utama, khidmat kesihatan mental dan tindak balas terhadap keganasan seksual dan berasaskan jantina kepada pelarian dan pencari suaka di Malaysia sejak 2015. Pada 2018, MSF menubuhkan klinik tetap di Butterworth, yang kini membantu kira-kira 900 hingga 1,000 pesakit setiap bulan.

* Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bertajuk "Kesihatan Ibu Dalam Kalangan Pelarian dan Pencari Suaka di Malaysia: Satu Penilaian Dasar, Perkhidmatan dan Halangan." Laporan itu diterbitkan pada Jun 2020.

** Nama pesakit diubah untuk melindungi identitinya

Categories