Doctors Without Borders mendesak ke arah polisi yang menjaga kesihatan dan maruah pelarian
©Richard Swarbrick/PRESENCE
Kuala Lumpur, Feb 6, 2024: Pertubuhan kemanusiaan perubatan antarabangsa Doctors Without Borders menyatakan kebimbangan serius terhadap laporan terbaru mengenai lebih 100 pelarian melarikan diri dari Pusat Tahanan Bidor pada malam Khamis lalu, termasuk kehilangan tragis dua nyawa. Penahanan tanpa asas pertimbangan wajar dan tanpa had ke atas pelarian menimbulkan cabaran serius dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa. Kami menyeru usaha kolaboratif digerakkan tertumpu kepada penyelesaian berperikemanusiaan dan mampan.
Doctors Without Borders mengendalikan klinik bergerak di beberapa pusat tahanan di Malaysia sejak 2017, menyediakan rawatan perubatan, sokongan kesihatan mental, sumbangan barangan kebersihan dan ubat serta latihan
untuk pegawai imigresen. Kami telah menyediakan hampir 4,000 konsultasi individu di pusat-pusat berkenaan.
Ketua Misi, Froukje Pelsma, berkata keadaan di dalam pusat berkenaan, di mana tahanan dikurung tanpa asas pertimbangan wajar dan tanpa had, telah memberi kesan buruk kepada kesihatan fizikal dan mental tahanan. Insiden terbaru, yang menyamai dengan apa yang berlaku di pusat tahanan Sungai Bakap pada April 2022, sekali lagi memberi penekanan terhadap keperluan untuk menangani nasib komuniti Rohingya dengan belas kasihan dan pemahaman. Ketika ini terdapat kira-kira 2,000 pelarian Rohingya dalam tahanan di Malaysia, yang masih kekal tanpa kerakyatan tanpa sebarang cara untuk mendapatkan status dari segi undang-undang.
"Sambil mengakui kompleksiti dialami pihak berkuasa Malaysia, kami menyokong penyelesaian alternatif yang memastikan kesejahteraan pelarian tanpa menggunakan memerlukan tempoh penahanan yang lama. Pemerhatian kami di pusat tahanan mendedahkan kelaziman tinggi isu kesihatan, termasuk jangkitan kulit, jangkitan saluran pernafasan, masalah pergigian dan cabaran kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan akibat keputusasaan dan tidak berdaya. Isu-isu ini diburukkan lagi dengan keadaan hidup yang buruk, peluang terhad untuk kebersihan diri dan kekurangan rangsangan mental dan fizikal," kata Pelsma.
"Selaras peristiwa terkini ini, kami mengulangi gesaan kami untuk mengkaji semula dasar yang komprehensif berkaitan penahanan pelarian. Penting sekali untuk meneroka alternatif kepada penahanan, dengan mengambil kira kelemahan, trauma sedia ada serta keperluan kesihatan pelarian,"
tambah Pelsma.
Doctors Without Borders memuji usaha kerjasama kerajaan Malaysia dengan organisasi kemanusiaan seperti Doctors Without Borders untuk menangani kebimbangan penjagaan kesihatan dalam pusat tahanan. Bagaimanapun, kami menekankan kepentingan peralihan daripada langkah jangka pendek kepada penyelesaian jangka panjang yang mengutamakan hak dan maruah pelarian
Sebagai sebuah organisasi yang berdedikasi untuk menyediakan rawatan perubatan kepada mereka yang memerlukan, Doctors Without Borders menyeru agar fokus yang diperbaharui terhadap dialog dan kerjasama untuk membangunkan dasar yang melindungi kesihatan dan maruah pelarian sambil menangani kebimbangan sah negara tuan rumah.
"Kita mesti berusaha ke arah pendekatan lebih belas kasihan dan berkesan. Doctors Without Borders bersedia untuk bekerjasama untuk mencari penyelesaian mampan yang menegakkan maruah dan hak mereka yang
mencari perlindungan daripada konflik dan penganiayaan," tambah Pelsma.